Tajuk:Tuhan Lebih Saintifik,
Penulis:Dr. Farhan Hadi
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Alhamdulillah,novel ini dapat saya habiskan dalam kesibukan tugas sebagai seorang pelajar.Novel ini merupakan novel Islamik pertama dan merupakan novel kedua yang pernah saya baca.Seperti yang telah saya katakan,saya bukanlah seorang pencinta novel seperti remaja-remaja yang lain.Namun,nilai-nilai dan cara penulisan yang digunakan oleh penulis dalam merialisasikan novel ini sangat membuka hati saya untuk terus membaca dan cuba memahami apakah yang cuba disampaikan kepada para pembaca.
Novel ini mengisahkan bagaimana seorang pensyarah di sebuah kolej perubatan di ibu kota yang pada mulanya langsung tidak percaya akan kewujudan Tuhan di muka bumi ini dan kemudian berubah secara total ke arah agama yang suci iaitu Islam dan juga beberapa orang pensyarah yang lain yang memainkan watak sampingan.Dr. Donald,merupakan seorang pensyarah muda yang berketurunan India yang mengamalkan serta memperjuangkan fahaman Ateis.Dia sangat yakin dengan fahaman yang dipegangnya dan sering menyelitkan fahamannya di dalam kuliah anatomi kepada pelajar-pelajarnya.Pada masa yang sama,ustaz Hanafi iaitu salah seorang pensyarah di kolej tersebut merupakan seorang yang sangat taksub dengan aliran tradisional dan menolak Sains secara total dan mengaggap segala kemajuan Sains adalah agenda Yahudi dan Kristian untuk menyesatkan orang-orang Islam.
Di awal penceritaan,pelbagai cara telah digunakan oleh Dr. Donald untuk menarik minat pelajar-pelajarnya supaya mengamalkan fahaman ini.Tumpuannya bukan sahaja kepada pelajar bukan Islam,bahkan juga yang beragama Islam.Kebanyakkan pelajar yang tidak mempunyai asas keagamaan yang kuat pastinya akan terjerat dengan soalan-soalan dan hujah-hujah yang digunakan oleh Dr. Donald untuk menghakis kepercayaan mereka terhadap agama masing-masing.
Namun begitu,perjuangannya tidak kekal lama.Semuanya berakhir secara beransur-ansur selepas kehadiran seorang doktor yang juga terkenal sebagai seorang Pakar Islam iaitu Dr. Ahmad Zabidi.Kehebatan Dr. Ahmad Zabidi dalam ilmu agama yang menjadi buah mulut pelajar-pelajar di institusi tersebut telah membuatkan Dr. Donald berasa tercabar dan menarik minatnya untuk berdebat mengenai agama dengan Pakar Islam tersebut.Pada awalnya,Dr. Donald cuba untuk menjerat Dr. Ahmad Zabidi dengan hujah-hujah dan soalan-soalan yang selalu digunakan kepada pelajar-pelajarnya.Atas kekayaan ilmu agama yang dimiliki oleh Dr. Ahmad Zabidi,segala persoalan dan hujah yang diajukan dapat dipatahkannya dengan penuh berhemah.Kemulian dan ketampanan budi yang ditunjukkan oleh Pakar Islam tersebut sepanjang perdebatan telah membuka hati Dr. Donald untuk lebih mengenal Islam.Kehadiran Dr. Ahmad Zabidi juga tidak disenangi oleh ustaz Hanafi.Dr. Ahmad Zabidi juga menerima pelbagai tomahan dan hinaan daripada rakan sekerjanya itu.Pelbagai cara telah digunakan oleh ustaz Hanafi untuk menjatuhkan Dr. Ahmad Zabidi kerana dia beranggapan bahawa pakar Islam tersebut bersekongkol dengan fahaman-fahaman lain untuk menyesatkan pelajar-pelajarnya.
Kemuncaknya,pelbagai dugaan yang dihadapi oleh Dr. Donald dalam usahanya untuk membina hidup yang baru.Antaranya pengislamannya langsung tidak diterima oleh ibunya sendiri dan isteri yang sangat dicintainya turut telah meninggalkannya.Hal ini demikian kerana mereka beranggapan bahawa agama Islam adalah suatu agama yang sangat kolot dan terlalu mengongkong.Tetapi,satu kemalangan telah membuka hati ibunya untuk memeluk agama yang suci ini.Namun begitu,usia pengislaman ibunya tidak lama.Setelah dua minggu memeluk agama Islam,ibunya telah dijemput oleh Maha Pencipta.Walaupun begitu,Dr. Donald tetap bersyukur kerana ibunya pergi mengadap Illahi umpama bayi yang baru dilahirkan dan sempat untuk merasai indahnya akan agama yang suci ini walaupun hanya dua minggu.Dr. Donald kini telah menukar arus perjuangannya daripada fahaman Ateis kepada perjuangan yang lebih barokah iaitu agama Islam.
Secara keseluruhannya,novel ini sangat menarik untuk dibaca terutama sekali kepada yang ingin lebih mengenal Islam.Hujah-hujah yang disampaikan sangat menarik dan secara tidak langsung membuat saya terfikir akan keindahan agama Islam.Segala hujah yang disampaikan juga sedikit sebanyak dapat membantu saya berdepan dengan persolan daripada orang yang bukan Islam serta membantu saya dalam proses dakwah.
NOR HIDAYAH HASAN
A12SCOO94
No comments:
Post a Comment