Tajuk Buku : MURTAD
Penulis : Hasrul Rizwan
Terbitan : FIXI
Novel terbitan FIXI adalah novel
‘independent publisher’ yang pertama saya baca. Sebelum ini saya lebih gemar
membaca buku-buku novel bergenre ‘thriller’ karya Ramlee Awang Murshid terbitan
Alaf 21. Memandangkan ini adalah percubaan pertama saya dalam membaca novel
terbitan FIXI ini, ternyata ianya tidak mengecewakan saya. Malah saya lebih
tertarik dan kagum dengan hasil karya penulis yang memilih untuk menerbitkan
novel ini di bawah ‘independent publisher
Murtad. Pasti anda menganggap novel
ini menceritakan kisah orang-orang yang murtad, bukan? Sebenarnya tidak. Novel
ini mengisahkan tentang sepasang kembar seiras, Adam dan Akhil yang ditugaskan
untuk membunuh orang-orang yang murtad. Hebat, bukan?
Kisah mereka bermula apabila mereka ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Namun, sesuatu perkara telah berlaku sehingga menyebabkan mereka nekad untuk tidak bekerja di syarikat tersebut. Saya amat tertarik dengan novel ini yang menunjukkan keakraban adik-beradik kembar yang sanggup bersusah dan bersenang bersama seperti menghadiri sesi temu ramah bersama-sama dan juga sanggup mengorbankan diri mereka demi menyelamatkan orang yang di dalam kesusahan. Tetapi persoalan di sini, bagaimanakah mereka boleh terjebak dengan pekerjaan sebagai pembunuh?
Mereka mula
terjebak apabila mereka menerima sekeping kad hitam yang pelik tertulis kalimah
syahadah dan sebuah alamat yang mungkin akan memberikan mereka pekerjaan yang lebih
baik. Siapa sangka pemergian mereka ke sebuah gudang lama akan menentukan
kerjaya mereka sebagai pembunuh upahan yang membunuh bukan calang-calang orang
tetapi orang-orang yang murtad. Segala maklumat mengenai orang-orang yang
murtad itu akan diberikan oleh Mr. T yang langsung mereka tak pernah bersua
muka. Sebelum Adam dan Akhil melaksanakan kerja-kerja itu, kesemua orang yang
murtad ini akan didatangi oleh Mr. T supaya
kembali ke jalan Allah sebanyak enam kali. Adam dan Akhil mengambil alih untuk
kali yang ketujuh untuk menamatkan riwayat mereka yang tidak ingin ke pangkal
jalan.
Hidup mereka hanya dipenuhi dengan cabaran dan
darah selama enam tahun mereka melakukan kerja tersebut. Sehinggalah sampai
pada satu tahap, Akhil merasa hidupnya kosong kerana tidak bisa menjalankan
kehidupan seharian seperti manusia lain. Akhirnya mereka mengambil keputusan
untuk menyelesaikan tugas mereka yang terakhir sebelum mereka bersara iaitu
dengan membunuh Ghous yang merupakan seorang murtad yang sangat tegar dan telah
berjaya menyesatkan ramai orang Islam.
Ternyata ianya bukan satu tugas yang mudah.
Pelbagai cabaran harus dilalui sehingga mengorbankan ayah mereka sendiri iaitu
Talhah. Selepas pelbagai pergelutan akhirnya nyawa Ghous disudahi oleh
Zulaikha, seorang gadis yang kematian bapanya disebabkan Ghous. Secara
jujurnya, saya memang tidak sangka yang Zulaikha akan tamatkan riwayat Ghous
dengan tangannya sendiri. Siapa sangka seorang gadis yang ayu dan lemah lembut
tegar untuk melakukan perbuatan itu? Saya agak tertarik apabila Zulaikha
mengungkapkan kata-kata, “ Aku lakukan ini untuk agamaku, bukan kerana dendam” semasa
pistol ditangannya diacukan ke Ghous. Ini menunjukkan Zulaikha tidak mahu
membalas dendam atas kematian ayahnya tetapi dia ingin melakukannya demi
agamanya.
Secara keseluruhannya, novel ini sangat mengujakan
saya dan sekali-sekala membuatkan saya gentar disebabkan cara penulis
menjelaskan keadaan pergelutan yang sangat ‘real’ contohnya bagaimana darah
terpercik dan sebagainya. Hai ini kerana, apabila saya membaca novel ini, saya
seolah-olah sedang melihat suatu ‘action movie’ disebabkan cara penulis
menyampaikan setiap ayat itu umpama ‘shot’ di dalam filem. Saya juga sering
memberikan reaksi seperti sedang menonton filem walaupun saya hanya membaca
buku. Bagi saya, penulis amat bijak kerana menyelitkan sedikit elemen-elemen
lucu melalui dialog yang diutarakan oleh kedua beradik itu. Loghat percakapan Kedah yang agak pekat itu sedikit sebanyak menggelikan hati. Ini menyebabkan saya
tidak rasa bosan apabila membaca buku ini.
Novel ini secara tak langsung telah membuka minda saya tentang gejala
murtad yang mungkin telah banyak berleluasa di negara kita ini. Pada pendapat
saya, penulis ingin mengetengahkan hukuman yang sepatutnya di terima oleh
seorang yang murtad tetapi tidak diletakkan dalam undang-undang sehinggalah
watak Adam dan Akhil yang menjalankan hukuman mereka sendiri tanpa mengikut
syariat yang sebenar.
Namun begitu, terdapat beberapa ’typo’ dan kekeliruan
penulis dalam novel ini tentang watak
Adam dan Akhil. Kesilapan-kesilapan kecil tersebut masih tidak dapat menutup
kehebatan penulisan ini dan ianya masih boleh diperbaiki. Walau bagaimanapun, masih ada persoalan yang belum terungkai di akhir cerita ini. Sambungan daripada novel ini adalah TUHAN yang mungkin akan
menjelaskan persoalan watak Joe yang sepatutnya telah mati dibunuh oleh Akhil
tetapi telah muncul kembali.
NUR ASYIQIN
BINTI MOHD NASARRUDDIN
A12SC0098
No comments:
Post a Comment