Thursday, 20 March 2014


Tajuk : Pedagogi Bahasa Tertindas
Penulis : Zul Fikri Zamir
Penerbit : Dubook Press And Publication

            Assalammualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah setelah hampir dua minggu barulah saya dapat menamatkan bacaan saya. Ini mungkin kerana pembacaan buku bergenre begini begitu asing bagi diri saya. Tetapi setelah saya baca buku begini, saya tertarik dengan cara penyampaian buku ini yang begitu bersahaja tetapi mempunyai maksud yang mendalam.

            Buku ini menonjolkan beberapa watak seperti Widya yang merupakan anak kepada Dr. Hussien. Beliau merupakan salah seorang pelajar TESL di Manchester, London. Selain itu, diperkenalkan juga watak seperti Zulfa dan Datuk Farid. Secara umumnya, buku ini memaparkan isu PPSMI di Malaysia. Menurut kajian, prestasi Matematik dan Sains mengalami penurunan yang mendadak sejak lima tahun yang lepas iaitu sejak diperkenalkan PPSMI kepada sistem pendidikan.

            Dalam buku ini, menceritakan Widya yang sering mengirimkan surat kepada ayahnya Dr. Hussien dalam membincangkan isu ini. Dr. Hussien ada meminta kepada adiknya Datuk Farid untuk membincangkan masalah ini secara terbuka kerana adiknya seorang ahli politik. Tetapi Datuk Farid hanya mengabaikan permintaan ini atas kepentingan politik semata-mata. Lantas, Dr. Hussien membawa diri ke Mekah. Selain itu, Zulfa ada juga berutus-utus surat kepada Widya kerana sedih memikirkan ayahnya, Datuk Farid yang terlalu mementingkan politik daripada kemajuan negara.

            Pengakhiran buku ini apabila Zulfa, Widya dan Dr. Hussien terlibat dalam kemalangan sekaligus meragut nyawa Dr. Hussien dan Widya. Zulfa pula dalam keadaan koma. Ini menimbulkan keinsafan dalam hati Datuk Farid. Lebih-lebih lagi setelah terjumpa surat-surat Widya dan Zulfa. Datuk Farid tekad dalam mempertahankan penggunaan bahasa melayu dalam matematik dan sains.

            Secara keseluruhannya, saya rasa buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca daripada info-info yang diberikan. Jika sebelum ini saya beranggapan PPSMI mampu mempertingkatkan penggunaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar tetapi tidak salah jika kita kekal kepada penggunaan bahasa melayu. Kita sepatutnya mempertahankan bahasa kita kerana bahasa menunjukkan bangsa. Selain itu, jurang di antara penduduk bandar dan luar bandar tidak akan wujud.

            Tetapi, akibat penggunaan bahasa yang tinggi dalam buku ini menyebabkan saya kurang paham apa yang ingin disampaikan oleh penulis sebenarnya. Walaubagaimanapun, dengan cara penulisan penulis, saya dapat memahami buku ini dengan baik.

Noorehan Binti Yaacob
A12SC0093




            

No comments: