Thursday, 20 March 2014

BOOK REVIEW (MENTAL)



Tajuk : Mental
Penulis : Shaz Johar
Penerbit : Fixi

          Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada awalnya, novel terbitan Fixi merupakan novel yang agak asing pada pendengaran saya. Saya telah memilih novel yang bertajuk ‘Mental’ setelah tertarik dengan sinopsisnya. Saya akui muka depan buku ini agak menyeramkan bagi saya pada awalnya tetapi saya berpegang kepada kata-kata ‘jangan menilai sesuatu daripada luarannya’.

          Watak utama novel ini ialah Maya, yang merupakan orang gaji kepada Tuan Jin dan isterinya, Puan Sierra serta dua orang anak mereka yang bernama Rashid dan Rania. Menariknya novel ini adalah kerana setiap watak mempunyai ‘warnanya’ yang tersendiri. Tuan Jin menduakan isterinya, Puan Sierra mengharungi tekanan perasaan, Rashid bencikan anggota badannya sendiri, dan Rania seolah-olah cuba menjadi murtad.

          Walaubagaimanapun harus saya akui ada beberapa babak pada awalnya yang agak keterlaluan. Contohnya babak di mana Maya melakukan hubungan terlarang dengan Tuan Jin tanpa pengetahuan Puan Sierra. Penulis terlalu terbuka apabila bercerita mengenai perkara tersebut dan ianya jelas bertentangan dengan adat dan budaya Melayu. Berbalik kepada novel, kehidupan Maya berubah apabila dia dikejutkan dengan nama Raudhah. Penulis berjaya membuatkan saya tertanya-tanya ‘siapakah Raudhah?’ kerana watak Raudhah seperti mempunyai perkaitan yang sangat kuat dengan diri Maya.

          Seperti yang saya nyatakan, anak kepada Tuan Jin iaitu Rashid bencikan anggota badannya sendiri. Rashid selalu meminta Maya supaya memotong tangan kanannya kerana bagi Rashid tangan kanannya itu membuatkan hidupnya tidak tenang dan gelisah. ‘kenapa tak suka tangan kanan?’ , ‘apa yang pernah terjadi pada tangan kanan Rashid?’ merupakan persoalan-persoalan yang sering berlegar di minda saya. Manakala Rania pula selalu ke gereja dan berlatih menyanyikan choir untuk Sunday Mass di gereja.

          Saya melihat Maya sebagai watak yang kurang jelas pendiriannya. Ada beberapa line atau dialog yang dilontarkan Maya kedengaran agak islamik tetapi kenapa dia melakukan hubungan terlarang dengan majikannya sendiri sedangkan dia tahu ianya berdosa? Kenapa nasihatkan Rania tentang Islam jika dirinya sendiri sudah lama meninggalkan kewajipannya sebagai seorang Muslim?

          Pada pendapat saya penulis berjaya menimbulkan elemen-elemen ingin tahu dalam diri saya kerana dengan adanya elemen ini membuatkan saya ingin meneruskan pembacaan. Sememangnya pengakhiran novel ini adalah sesuatu yang ‘unpredictable’ dan seratus peratus bertentangan dengan andaian saya. Saya sangkakan Tuan Jin, Puan Sierra, Rashid dan Rania sememangnya mempunyai konflik dengan diri mereka tetapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, yang mempunyai konflik dengan diri sendiri adalah Maya.

          Maya telah mengalami kemalangan 5 tahun sebelumnya dan koma untuk tempoh 3 bulan. Selepas tersedar dari koma , Maya telah lupa identiti dirinya yang asal iaitu sebagai Raudhah dan telah hidup sebagai seorang yang bernama Maya. Apa yang mengejutkan saya ialah Maya(atau Raudhah) merupakan isteri kedua Tuan Jin dan bukannya orang gaji yang mempunyai hubungan terlarang dengan Tuan Jin seperti yang diceritakan pada awalnya.

          Yang paling mengujakan adalah apabila saya mendapat tahu bahawa watak Rashid dan Rania sebenarnya tidak wujud! Tuan Jin dan Puan Sierra tidak pernah mempunyai anak kerana Puan Sierra tidak dapat mengandung dan lantaran itulah Tuan Jin mengahwini Raudhah(atau Maya) untuk mendapatkan zuriat. Akibat kemalangan yang dialami Raudhah, bayi kembar di dalam kandungannya telah terkorban.Rashid dan Rania itu hanyalah bayangan Maya seorang sahaja mungkin berpunca daripada stress yang dialami setelah kematian zuriatnya.



          Pada pandangan saya, Shaz Johar merupakan seorang penulis yang berbakat besar,bijak dan kreatif. Penggunaan ayatnya bersahaja, jalan cerita yang tidak terlalu rumit untuk difahami, tidak membosankan,dan yang paling penting, MENTAL. 


Nur Edrina Fazleen binti Mohamed
A12SC0099

No comments: