Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.
Judul Buku : Kechai
Penulis : Amirul Bozu
Penerbit : Dubook Press & Publication
“Kechai”, sebuah karya hasil nukilan seorang penulis yang dilahirkan di Pulau Pinang dan membesar di sebuah penempatan anak-anak Felcra di negeri jelapang padi. Pada hemat saya, karya Amirul Bozu ini merupakan sebuah karya yang sangat unik dan sesuai bagi pembaca yang lambat berfikir seperti saya. Di awal helaian muka surat buku ini, penulis berpesan kepada para pembaca supaya berada dalam posisi yang serius terlebih dahulu sebelum berfikir dan bertindak di penghujungnya. Gaya penulisan yang digunakan sangat membantu dalam perangsangan minda para pembaca sehingga pembaca berasa seolah-seolah berada dalam situasi yang diceritakan.
Buku
ini menampilkan beberapa kisah yang kebanyakannya berlaku dalam kehidupan
seharian kita, justeru memancing emosi dan menenggelamkan jiwa para pembaca
untuk ketawa, marah, berasa jengkel mahupun sedih setelah tamat membaca suatu
kisah. Pelbagai pengajaran yang boleh saya dapati dalam semua kisah yang
diceritakan. Antara kisah-kisah yang menarik bagi saya ialah “Mengejas Nombor Telefon Makwe” dan “Rukun Internet.”
Kisah
“Mengejas Nombor Telefon Makwe”
menampilkan seorang lelaki bertungkus-lumus untuk mengatasi ketidaktenangan
yang menjelma dalam dirinya tanpa diduga. Pelbagai cara yang dilakukan bagi
mencari ketenangan hatinya tetapi usahanya sentiasa gagal sehinggalah lelaki
tersebut menerima satu pesanan ringkasan di telefon mudah alihnya yang berbunyi,
“Oh, u ni hafeez yg I jumpe kat Pavi tadi ek? I igt no sape tadi. I mmg jenis x melayan no x kenal ni. Sori la ye lambat rply. Nk ajk kuar? I ok saje. U ckp saje bila nak ye. ”
Rupa-rupanya
ketidaktenangan yang dialami lelaki tersebut disebabkan dia tidak mendapat
respon dari perempuan yang ingin didekatinya dan semudahnya hilang setelah
menerima pesanan ringkas di atas. Hakikat dalam dunia ini, terdapat segelintir
manusia yang mendefinasikan hiburan sebagai ketenangan kerana mampu melupakannya
daripada kekusutan dan membuatkan emosinya ceria serta berbunga-bunga. Walau
bagaimanapun, hiburan tidak akan kekal lama untuk menenangkan kita sebaliknya
menghanyutkan kita ke alam fantasi yang direka dalam pemikiran kita sendiri.
Bagi
kisah “Rukun Internet” pula, penulis
mengetengahkan realiti yang berlaku dalam masyarakat era ini.
RUKUN INTERNET
1) Kepercayaan
kepada Wikipedia
2) Kesetiaan
kepada Facebook dan Twitter
3) Keluhuran
Youtube
4) Kadaulatan
Instagram
5) Keceluparan
dan Kesasulan
Walaupun ringkas, kisah ini sangat
menarik perhatian untuk dibaca kerana penulis seolah-olah menggunakan gaya
sindiran bagi menyampaikan realiti yang berlaku dalam masyarakat sekarang.
Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya sejurus membaca kisah ini ialah “bravo, sangat benar.” Kadangkala,
teknologi yang maju membuatkan kebergantungan manusia semakin tinggi pada
alatan-alatan yang canggih sehingga boleh dikatakan mencapai tahap ketagih.
Seharusnya, kita perlu jelas bahawa alatan-alatan ini direka oleh manusia
sendiri hanya untuk memenuhi matlamat kehidupan kita di dunia.
Terdapat
banyak lagi kisah kehidupan yang diceritakan oleh penulis dalam buku ini.
Sebelum membuat kesimpulan, sememangnya setiap kisah terkena pada diri saya
sebagai pembaca. Akhir kata, kita seharusnya menjadikan manusia di sekeliling
sebagai cermin bagi diri kita supaya kita sentiasa sedar tindak tanduk kita
dalam sehari-harian kerana cermin akan memantulkan kembali apa yang ada
dihadapannya. Jika tersalah langkah, maka itu yang akan kita lihat dan perlu
dibaiki.
Wallahua’lam. Sekian, wassalam.
Siti Syahirah binti Saroni
A12SC0238
No comments:
Post a Comment