Tajuk : Skandal Libero
Penulis : Naufal Tarmizi
Penerbit : Lejen Press
Tajuk
‘Skandal Libero’ menyebabkan kita tertarik menilai buku ini dari sudut namanya.
Skandal yang bermaksud kejadian mengejutkan dan tidak bermoral yang diketahui
orang lain manakala libero berkaitan dengan peranan pemain di atas padang yang juga dikenali sebagai 'The Sweeper'. Hiasan kulit buku yang
menggambarkan bola yang disepak mengasak pemikiran pembaca untuk berfikir
bahawa buku ini menceritakan tentang skandal yang berlaku dalam dunia bola
sepak.
Buku yang mempunyai
301 muka surat dan 39 bab ini menceritakan tentang perubahan seorang pemain
bola sepak (Aiman Zharif) yang terjebak dengan permasalahan yang dicipta oleh
orang lain disekitarnya menyebabkan dirinya tersedar daripada terus lalai dan
akhirnya memilih jalan untuk lebih dekat dengan Allah dengan menyertai kumpulan
tabligh.
Watak di dalam buku ini diceritakan dengan perwatakan yang
berbeza. Selain Zharif sebagai watak utama, terdapat juga Andrea yang menjadi
permulaan tercemarnya nama Zharif sebagai pemain bola sepak kebangsaan Malaysia,
Nur Airin Nusaibah seorang gadis yang mulanya sangat membenci Zharif tetapi
akhirnya jatuh hati terhadap jejaka tersebut, Fendi rakan baik Zharif yang
sentiasa bersamanya susah dan senang, Haji Tarmizi dan Haji Daud
bertanggungjawab membawa Zharif bangkit semula dari kejatuhan serta terdapat
juga watak Datuk Ariffin dan Datuk Zulkifli yang telah memberi kesan hitam
dalam sejarah hidup Zharif akibat ketamakan dan kerakusan mereka mengejar nama.
Melalui boidata
penulisnya, Naufal Tarmizi, yang berasal dari Slim River, Perak dan
mempunyai latar belakang pendidikan
dalam bidang Syariah dan Undang-undang, ia dipercayai sedikit sebanyak
mempengaruhi jalan cerita ‘Skandal Libero’ ini. Hal ini terbukti apabila hampir
50 peratus jalan ceritanya berlaku di Slim River dan mempengaruhi sedikit
perwatakan Nur Airin Nusaibah iaitu sebagai pendakwa syarie.
Mengenai tema buku ini, saya berpendapat penulis cuba untuk
mengkritik atau menyindir beberapa pihak secara lembut atau sinis. Pertama
sekali dari segi politik, ia secara terang ditunjukkan melalui pergelutan
berebut kuasa dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) antara Datuk
Ariffin dan Datuk Zulkifli sehingga sanggup membunuh, merasuah, mengugut dan
merosakkan masa depan orang lain.
Seterusnya dari segi sukan, penulis cuba menyatakan tentang
kesan dari sikap orang atasan dalam persatuan menyebabkan standard sukan masih
berada di takuk lama, pandangan peminat sukan terhadap sikap pemain yang pada
mereka menyebabkan kejatuhan ranking pasukan serta pandangan penggiat sukan
sendiri(pemain) mengenai masalah perkembangan sukan yang disebabkan oleh ‘orang
dalam’. Sebagai contoh apabila Zharif megulas tentang kelemahan liga Malaysia
yang banyak berkisar tentang pengurusan dan pentadbiran yang tidak teratur.
Penulis juga cuba mengetengahkan cara pemikiran manusia
dalam sesuatu keadaan. Sikap manusia yang suka menyelesaikan masalah dengan
cara mudah. Jika mahu mengelak dari tercabar dengan kehadiran musuh, bunuh
sahaja. Cara hidup orang yang yang hanya tahu bersuara di belakang tetapi tidak
mahu bertindak dicerminkan melalui watak Nusaibah yang mengkritik langkah yang
digunakan pihak berkuasa dalam menangani perhimpunan aman. Penulis
menggambarkan ini dengan ‘gadis itu umpama ikan laga dalam bekas kaca,
memberontak di dalam bekas kaca namun tak mahu pula melompat keluar darinya.’
Disebabkan ini buku yang berkisar tentang pemain bola
sepak, ada juga diselitkan beberapa taktikal permainan untuk menyeronokkan lagi
jalan cerita antaranya Tiki Taka dan Contenaccio. Bagai menjadi kebiasaan untuk
melariskan buku atau novel di Malaysia, kisah cinta antara dua watak utama
iaitu Zharif dan Nusaibah juga ada diselitkan dan pada pengakhiran buku ini, berlangsungnya
majlis pernikahan mereka berdua dan luahan untuk bersama selamanya.
Konklusinya, cerita ini agak menarik untuk dibaca dan
ditulis dengan bahasa yang mudah difahami. Jalan ceritanya juga mudah untuk
difahami tetapi memerlukan sedikit pemikiran bagi memahami maksud tersembunyi
yang ingin penulis sampaikan.
Nadia binti Mohd Jaszari
A12SC0091
No comments:
Post a Comment