TAJUK BUKU: HILANG
PENULIS: DAYANG NOOR
PENERBIT: FIXI
Novel Hilang merupakan karya kedua dari Dayang Noor di bawah terbitan Fixi selepas novelnya yang pertama yang bertajuk “Jerat”. Novel ini merupakan sebuah novel penyiasatan yang boleh dikatakan ala-ala mengikut format penyiasatan Hollywood tetapi berlatarkan Malaysia. Di dalam novel ini, penulis menulis plot yang bergerak pantas yang menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk membaca helaian demi helaian sehingga tamat.
Sejak helaian pertama lagi pembaca telah diperkenalkan dengan watak utama, Shaziman, seorang jurulatih peribadi yang mempunyai kembar seiras yang bernama Ikhsan. Ikhsan hilang secara tiba-tiba tetapi kehilangannya tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana Shaziman khuatir nyawa adik kembarnya akan terancam. Oleh itu, Shaziman mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri dibantu oleh Jo, seorang penyiasat peribadi. Pada masa yang sama, pembaca juga diperkenalkan dengan Khairani, atau Kay, seorang pekerja Kilang yang diam-diam sebenarnya tahu tentang misteri kehilangan Ikhsan.
Pada awalnya, plot cerita ini agak mengelirukan kerana setiap bab diselang-selikan dengan plot kehilangan Ikhsan dan plot Khairani. Ketika itu saya tertanya-tanya apakah kaitannya Ikhsan dan Khairani kerana tiada satu fakta pun yang menunjukkan dua plot ini berkaitan. Tetapi yang menariknya, dua plot ini mula dicantumkan di pertengahan cerita. Watak Khairani mula muncul di plot kehilangan Ikhsan dan watak Ikhsan mula muncul di plot Khairani.
Pada pendapat saya, point utama yang ingin disampaikan dalam novel ini ialah mengenai konspirasi geng kongsi gelap. Jusoh, ketua kumpulan kongsi gelap tergamak memperdaya orang lain agar terikat dengan geng kongsi gelapnya dan tidak teragak-agak untuk mencacatkan atau lebih teruk lagi membunuh sesiapa sahaja yang mengkhianatinya. Khairani merupakan salah seorang yang terperdaya dan akhirnya terpaksa akur dengan setiap permintaan Jusoh untuk melakukan kegiatan-kegiatan haram seperti pengedaran dadah.
Penulis menamatkan kisah ini dengan ‘happy ending’ kerana Ikhsan Berjaya ditemui, Jusoh dan pengikut-pengikutnya berjaya diberkas serta Khairani bebas dari ‘penghambaannya’ kepada Jusoh. Namun begitu, saya kurang setuju dengan pengakhiran cerita di mana pihak polis bersetuju untuk memberi khairani ‘hidup baru’ kerana jasanya membantu pihak polis untuk memberkas Jusoh. Khairani telah menukar namanya kepada Khalida Azwa dan dia gemar melancong bagi mengelakkan dirinya diburu oleh geng Jusoh. Bagi saya, Khairani juga patut dipenjara kerana dia telah bersubahat dengan Jusoh dalam melakukan kegiatan-kegiatan haram tersebut.
Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan novel ini kerana jalan penceritaannya yang unik. Misteri kehilangan Ikhsan disimpan dengan kemas sehingga helaian yang terakhir. Dengan gaya bahasanya yang santai, kisah Shaziman, Jo dan Khairani telah berjaya saya sudahi dalam waktu yang singkat. Novel ini sangat berbeza dari novel-novel cinta yang selama ini saya gemari. Nampaknya Dayang Noor telah berjaya menarik minat saya untuk membaca lebih banyak novel-novel seperti ini :)
Nurhidayah binti Zaid
A12SC0105
No comments:
Post a Comment