
Tajuk : Awek Chuck Taylor
Penulis : Nami Cob Nobbler
Penerbit : Lejen Press
Harga : RM20.00
Bismillahirrahmannirrahim. .
Assalamualaikum. .
Sebenarnya saya tidak berapa
gemar membaca novel. Malahan sekarang
sudah banyak drama yang diadaptasi daripada novel seperti ‘P. S. I love you’, ‘The Wedding Breaker’ dan banyak lagi. Saya lebih gemar menonton daripada membaca. Disebabkan sikap ini saya agak sukar untuk
memilih novel tambahan pula saya lebih mementingkan kecantikan muka buku
daripada membaca sinopsisnya. Tapi, bak kata pepatah, ‘Don’t judge the book by its cover’. Akhirnya saya memilih novel ‘Awek Chuck
Taylor’ atas bantuan rakan saya yang lebih arif dalam dunia pembacaan ini.
Novel ini menceritakan kisah
seorang pemuda bernama Hafiz. Setelah
kecundang di menara gading gara-gara kecewa dengan bekas teman wanitanya, dia memasuki alam persekolahan semula untuk
mengambil STPM. Semasa di kelas, dia mula menyukai Shila dan mengambil
keputusan untuk menjadi secret admirer Shila kerana takut dikecewakan lagi. Setiap hari dia mengarang puisi berbunga-bunga
dan menyelitkannya di celah-celah buku teks Shila. Sementara itu, dia diperkenalkan kepada Mira, si gadis yang
gemar memakai kasut ‘chuck taylor’ yang popular pada waktu itu. Mira merupakan
seorang gadis yang bersifat hipster anarkis, ego, keras kepala dan mudah marah tetapi
kadang kala agak manja. Disebabkan sikap
Mira itu membuatkan Hafiz mula jatuh cinta kepada Mira dan tidak lagi menulis
surat kepada Shila.
Saya tidak gemar watak Hafiz yang
merupakan seorang lelaki yang tidak boleh hidup tanpa teman wanita. Dia merasakan seolah-olah dunianya akan
menjadi gelap dengan ketiadaan teman wanita.
Setelah berpisah dengan Mira, gara-gara Mira
dan keluarganya berpindah ke Kanada dan Mira enggan pulang ke Malaysia, malahan memaksa Hafiz menetap di Kanada
selepas mereka berkahwin, Hafiz terus
bercinta dengan Bella, seorang perempuan
yang hanya dikenali di alam maya dan tidak pernah ditemui di alam realiti. Bella merupakan
seorang perempuan pisau cukur, setiap
hari meminta Hafiz untuk menambah nilai kredit telefonnya sebanyak RM10 dan
sentiasa membuatkan Hafiz berhutang keliling pinggang. Hafiz seringkali mengikut kehendak Bella
kerana dia takut kehilangan Bella. Ini
membuatkan saya rasa menyampah dengan watak Hafiz kerana bagi saya, lelaki yang baik adalah lelaki yang boleh mengubah
sikap seseorang wanita kearah yang lebih baik dan menjadi pemimpin kepada
wanita bukan hanya menurut kata wanita itu 110%.
Ramai wanita yang meminati Hafiz
kerana dia bijak, pandai bermain dengan kata-kata, pemalu dan agak comel. Tambahan pula, sikap Hafiz yang mudah jatuh cinta kepada
wanita yang cantik sangat memualkan
saya. Contohnya, Hafiz mula jatuh cinta kepada Nana, walaupun Nana adalah adik kepada Mira, teman
wanita beliau pada ketika itu. Semasa
bercinta dengan Mira, Hafiz sudah mula
menyukai Nana, begitu juga dengan Nana. Nana pula lebih cantik jika dibandingkan
dengan kakaknya, Mira. Tambahan pula, Nana pandai memasak, sopan santun dan sangat menyayangi haiwan. Setelah
putus dengan Bella, Hafiz bercinta
dengan Nana. Ini menybabkan hubungan
antara Mira dan Nana menjadi tegang.
Saya tidak berapa gemar novel ini
kerana ia sering menekankan soal cinta kerana saya tidak berapa suka kepada
perkara-perkara yang bersifat romantik atau percintaan seperti novel ini.
Tetapi, disebalik novel cinta ini, saya suka dengan gaya bahasa yang digunakan
penulis. Walaupun ia agak kasar dan
tidak bertapis, tetapi ia membuatkan
kita berasa seperti di alam nyata kerana ia merupakan gaya bahasa yang digunakan oleh anak muda
ketika ini.
Saya suka dengan suasana keluarga
Mira yang sentiasa ceria dengan munculnya
watak Aiman, abang kepada Mira. Dia seorang mat rempit yang selalu gagal dalam
bab percintaan. Wataknya agak kasar
tetapi kelakar. Dia juga merupakan kawan
baik Hafiz. Ditambah pula dengan watak
abah Mira, seorang peminat tegar
Liverpool. Disebabkan minat yang berbeza
terhadap pasukan bola sepak, mereka
selalu bertengkar. Hafiz juga sudah
menjadi seperti anak angkat di dalam keluarga ini. Apabila mereka sekeluarga berpindah ke Kanada,
Hafiz mula merasakan kesunyian.
Bagi saya novel ini agak menarik
kerana pengakhirannya tidak seperti yang saya jangkakan. Semasa bercinta dengan Hafiz, Nana berjanji
akan pulang ke Malaysia apabila Hafiz menamatkan pelajarannya. Tetapi, perkara yang tidak disangka-sangka berlaku, Nana meninggal dunia kerana dia mempunyai
alahan kepada kacang. Begitulah
pengakhiran novel ini. Pada pendapat
saya ,jika pengakhiran cerita ini diakhiri dengan cerita yang lebih dramatik, tentu
ia lebih menyayat hati dan meruntun jiwa pembaca.
Novel ini sebenarnya sebuah kisah benar yang dialami oleh
penulis itu sendiri.
Ia menjadi fenomena dalam kalangan remaja dan jualannya mencecah 20,000 naskhah. Tidak cukup dengan itu, kini novel ini turut dipentaskan menerusi penghasilan teater Awek Chuck Taylor yang berlangsung pada 13 sehingga 16 Februari 2014 di PJ Live Art, Jaya One.
NUR FARAHAIN BINTI MOHAMAD
A12SC0101
2 SSCE
Ia menjadi fenomena dalam kalangan remaja dan jualannya mencecah 20,000 naskhah. Tidak cukup dengan itu, kini novel ini turut dipentaskan menerusi penghasilan teater Awek Chuck Taylor yang berlangsung pada 13 sehingga 16 Februari 2014 di PJ Live Art, Jaya One.
NUR FARAHAIN BINTI MOHAMAD
A12SC0101
2 SSCE
No comments:
Post a Comment