Thursday, 27 March 2014

Tajuk: Paranormal
Pengarang: Hani Suraya
Penerbit: FIXI


Buku ini mengisahkan tentang sekumpulan penyiasat yang mempunyai kuasa istimewa tertentu yang dipanggil IDBW Investigations, yang hanya mengambil yang berkaitan dengan misteri serta paranormal. Jalan cerita ini tertumpu terhadap kes-kes yang dijalankan oleh kumpulan ini. Cerita ini bermula apabila mereka didatangi oleh Hakim yang ingin mereka menyiasat percubaan membunuh terhadap anaknya, Maliki yang berumur 3 tahun.
           
            Pada pendapat saya, novel ini boleh dikatakan agak sederhana dari segi jalan ceritanya dan boleh penulis ini boleh dipuji atas usahanya untuk menulis genre seperti ini yang jarang diketengahkan di negara ini. Saya mengatakan bahawa jalan ceritanya agak sederhana kerana saya merasakan ada banyak babak-babak yang tidak penting dimasukkan serta mempunyai banyak jalan cerita yang saya rasa macam tergantung serta terlalu tergesa-gesa seperti penemuan Ridhwan dengan Fairuz yang saya rasa boleh diketengahkan dan diperincikan lagi supaya lebih menarik.
           
            Pada permulaan cerita, ada banyak babak menarik yang membuatkan saya teruja untuk mengetahui tentang kuasa-kuasa istimewa yang dipunyai oleh ahli-ahli IDBW Investigation. Tetapi apabila memasuki pertengahan cerita, ia mula berterabur dan ia menyukarkan saya untuk memahami buku ini seterusnya membuatkan saya rasa malas hendak membaca buku ini. Ini merupakan salah satu buku yang saya baca selama ini yang buat saya rasa begini. Di pertengahan ini konflik di dalam cerita ini makin bertambah dan saya semakin kecewa apabila kuasa istimewa mereka tidak banyak ditonjolkan dalam cerita ini serta saya dapat lihat yang kes Hakim ini diselesaikan secara tergesa-gesa dan tidak disimpulkan dengan baik untuk mencapai tahap kepuasan yang saya inginkan.
           
            Novel ini banyak menggunakan teknik imbas kembali, namun persoalan yang timbul dalam kebanyakannya tidak diungkai oleh penulis dengan sepenuhnya seperti cerita itu tergantung dan tidak tahu akan pengakhiran imbas kembali itu. Saya boleh nampak bahawa penulis cuba untuk menunujukkan semangat setia kawan di antara anggota IDBW Investigation seperti apabila Fairuz dan Norin mempetahankan Mahmud  dari serangan El Chupacabra apabila beliau tengah lemah dan tidak mampu untuk berlawan lagi. Tetapi ada juga perkara-perkara  negatif yang diketengahkan di dalam cerita ini seperti penggunaan dadah serta unsur yang salah dari segi agama yang boleh dinampak di dalam cerita ini di dalam watak Jimmy yang suka menghisap rokok serta weed sehingga dia sanggup berhutang dengan kumpulan Leong untuk membeli benda itu. 

          Gaya penulisan penulis ini agak senang dan mudah untuk difahami terutamanya bagi golongan muda zaman sekarang kerana kadang-kala penulis mencampurbaurkan Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris di dalam novel ini yang kebanyakannya digunakan oleh remaja zaman sekarang. Secara kesuluruhannya cerita ini hanya sederhana dan saya rasakan bahawa sesiapa yang ingin cuba membaca novel ini memerlukan tahap imaginasi yang tinggi untuk dapat mesej yang cuba ditonjolkan oleh penulis tersebut.

Faris Izzuddin Bin Roslin
A12SC0255

No comments: