Tuesday, 18 March 2014

TAJUK:PARANOID
PENULIS:FANDY TAHER
PENERBIT:LEJEN PRESS

Paranoid, sebuah judul yang unik. Novel Paranoid adalah hasil penulisan pertama Fandy Taher terbitan Lejen Press yang diterbitkan pada Ogos 2013. Kenapa saya memilih tajuk “paranoid” ini? Mula-mula saya sendiri pun tertanya-tanya apa itu paranoid. Saya tertarik untuk membaca buku ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang paranoid. Paranoid ialah gelaran untuk orang yang menghidap penyakit paranoia. Paranoia adalah sejenis penyakit mental dimana seseorang menyakini bahawa orang lain ingin membahayakan dirinya, dengan kata lain selalu berfikiran negatif tentang sesuatu perkara. Buku ini hanya mempunyai 216 muka surat sahaja.

Pada pendapat saya, penulis buku ini menggunakan gaya tulisan yang senang difahami walaupun ada terselit sedikit unsur-unsur sejarah negara. Buku ini mengisahkan tentang seorang pelajar tingkatan 5 yang bernama Izham mempunyai penyakit paranoid yang melampau. Izham menyukai Nur Zulaiha(Zu), namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk meluahkannya walaupun hubungan mereka sangat rapat.

Pada awalnya, penulis menceritakan tentang Izham yang sanggup untuk mengikuti Zu melarikan diri dari keluarganya kerana cintanya terhadap Zu. Walaupun Izham mengetahui Zu adalah seorang Yahudi, tetapi demi cintanya semua itu tidak diendahkan. Sepanjang perjalanan mereka, Izham menganggap yang mereka sedang diburu oleh ejen Yahudi dan ejen tersebut ialah cikgunya sendiri. Disebabkan oleh paranoid Izham terlalu melampau, dia sendiri mendapat malu kerana dia telah menuduh Zu dan cikgunya adalah ejenYahudi sedangkan mereka hanya mengadakan lawatan ke Sabah untuk kelab Bahasa Melayu sekolah bukannya lari dari keluarga. Izham telah berkhayal yang dia telah lari rumah bersama Zu dan telah tidur sekatil dengan Zu.

Keseluruhannya, dapat saya simpulkan bahawa bersangka buruk itu ada baiknya kalau sesuai pada tempatnya. Izham juga telah mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku walaupun dia telah diejek-ejek dan dipandang serong oleh kawan-kawannya kerana penyakitnya itu. Tetapi, penulis telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca di akhir cerita ini. Adakah Zulaiha adalah benar-benar seorang ejen Yahudi ataupun tidak saya pun tertanya-tanya.

Saya sangat kecewa dengan pengakhirannya walaupun klimaksnya membuatkan saya sendiri percaya bahawa Zulaiha seorang ejen Yahudi dan saya ingin meneruskan membaca halaman berikutnya untuk mengetahui pasal Yahudi dengan lebih lanjut. Walaupun ini kali pertama saya membaca novel dari Lejen Press, tetapi saya sangat teruja dengan gaya penulisannya.

SITI NOR FAZILA BINTI MOHAMAD
A12SC0114

No comments: