Tajuk : Iretaliate
Penerbit : Lejen Press
Bismillah
Buku ini merupakan koleksi cerpen-cerpen yang berbeza penulisnya dan dikumpulkan menjadi satu novel. Novel ini juga merupakan gabungan cerpen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Antara cerpen yang saya minati jalan penceritaannya di dalam novel ini adalah yang bertajuk "Aku Senyum Dan Tembak Sahaja" karya Akhimullah. Melalui tajuknya sahaja membuatkan kami pembaca penasaran apa yang hendak diceritakan dengan tajuk seperti itu. Apa yang hendak disampaikan adalah tidak menggunakan dendam sebagai senjata kita untuk mencederakan orang lain, sebaliknya ubah niat kita untuk mendoakan individu tersebut supaya menjadi lebih baik. Unsur yang diketengahkan sangat menarik minat saya. Penulis menggunakan 'Senyum' itu simbolik kepada keyakinan dan 'tembak' sebagai doa dalam hati supay individu tersebut berubah.
Dalam setiap apa yang dilakukan, tidak ada yang sempurna, persis seperti Buku ini. Cerpen yang tidak berapa mendapat tempat dihati saya adalah "Kau Simpan Hatiku Dari Darjah Satu, Darjah Satu" tulisan Izza Hashim. Melalui tajuknya, pembaca tahu yang tajuk ini berdasarkan lagu yang agak terkenal dari Mark Adam. Bagusnya cerpen ini adalah kerana jalan penceritaannya yang pembaca rasakan tidak akan berlaku di atas muka bumi ini. Tetapi, cerpen ini menggalakkan unsur dendam bersarang di dalam hati sejak dari darjah satu. Mengikut logik akal, masakan pelajar Darjah Satu mampu memberi makanan kepada kawannya yang sudah melepasi tarikh luput atas sebab orang yang disukai tidak menyukainya malah menyukai orang lain. Saya sangat tidak bersetuju dengan cara pembawakan cerita ini kerana unsur dendam yang tersemat dalam hati. Hati adalah raja segala tindakan, jadinya kurang manis untuk menerapkan perasaan dendam dalam hati kanak-kanak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Antara cerpen Inggeris yang dibukukan dalam novel ini adalah, "Rules of Lady" karangan Martini Muaz.
Cerpen ini berkisarkan tentang Intan Zahara, seorang 'lady' yang sudah lewat usianya berada dalam kehidupan mewah. Rules nya adalah 'A Lady should Act Like A Lady'. Antara pesanan arwah ibunya, dan beliau sangat pandai masak dan mengemas rumah serta mempunyai taman yang penuh dengan bunga-bungaan. Buku-buku independent ini banyak yang mengetengahkan pemikiran sendiri dan melatih pembaca untuk berfikir, tidak hanya membaca semata-mata. Ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. Apabila penulis mengetengahkan pemikirannya sendiri akan menyebabkan pembaca juga masuk ke dalam dunia mereka. Akan tetapi, saya seronok membaca buku-buku seperti ini, untuk melatih berfikir apa sebenarnya yang penulis ingin ketengahkan. Secara keseluruhannya, novel ini menarik dan apa yang baik, kita ambil sebagai teladan dan yang tidak baik kita jadikan sempadan.
Nadrah Binti Ramli
A12SC0092
No comments:
Post a Comment