Thursday, 27 March 2014




Tajuk: Bercinta di Balik Api (BABI)
Pengarang: Azwar Kamaruzzaman
Terbitan: Lejen Press

Mengisahkan tentang Leman yang cuba untuk membaiki hidupnya. Dia dipandang serong oleh masyarakat hanya kerana dia seorang anak luar nikah yang langsung tidak tahu siapa ayah kandungnya. Mempunyai ibu yang bekerja sebagai pelacur di kelab malam, abang dan kakak yang sudah hanyut dengan nikmat dunia Leman berusaha untuk tidak terjerumus seperti ahli keluarganya yang lain. Buku ini untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap orang lain terutamanya kepada anak luar nikah. Seperti watak Leman dalam buku ini, dia mahu membuktikan bahawa insan seperti mereka tidak mewarisi dosa dan perangai ibu bapanya. Kesalahan tersebut dilakukan oleh ibu bapanya dan bukan dia. Orang memanggilanya babi, anak haram dan lain lain bahasa yang amat kesat yang meletakkan maruah seseorang di tahap yang paling bawah sekali. Buku ini untuk menyedarkan masyarakat bahawa insan seperti mereka juga ingin berubah, mahu masyarakat menerima diri mereka seadanya seperti orang lain dan tidak memeperlekehkan keazaman mereka untuk mengubah nasib mereka kepada yang lebih baik. Dan diakhir buku ini emaknya yang pada ketika itu merupakan ketua kelab malam telah mengadakan parti liar yang menu utamanya adalah arak dan babi. Keesokannya sewaktu emaknya tidur dengan seorang ustaz disekolahnya mereka telah bertukar menjadi babi dan Leman mengetahui yang sebenarnya ustaz tersebut adalah bapa kandungnya. Dan untuk mengubah mereka menjadi manusia normal semula dia haruslah memenuhi syarat seperti memotong lidah mereka, memotong sedikit hujung kaki mereka, mencukur semua bulu mereka dan membiarkan mereka didalam air menggelegak selam 100 hari. Adakah Leman sanggup melakukan perkara tersebut kerana babi tersebut merupakan ibu bapanya? Itu adalah persoalan yang ditinggal oleh penulis. Secara keseluruhannya walaupun emaknya adalah seorang pelacur dan telah banyak melakukan banyak perkara terkutuk dan hina namun rasa kasih dan sayangnya terhadap emaknya masih kuat. Kita sebagai anak yang dibesarkan sepenuhnya oleh kasih sayang ibu bapa kita adakah kita mampu melakukan apa yang Leman telah lakukan kepada ibu bapanya? 

Wan Nur Faqihah Bt Mohd Zaki
A12SC0275

novel


BISIK

Sebuah novel fixi, karya Syaihan Syafiq,2012.

Novel ini menceritakan tentang Mikael yang berpindah rumah selepas teman serumahnya mati terjatuh dari balkoni. Namun di pangsapuri baru, Mikael mula hilang ingatan dan didatangi BISIK hasutan yang muncul secara rawak.Tambah mengelirukan apabila teman serumah barunya, Nazzman, ialah seorang yang amat mencurigakan. Biarpun tidak mempercayainya secara penuh, Mikael melihat Nazzman sebagai orang yang mampu membantu memulihkan ingatannya.Mikael juga mula menjalinkan hubungan dengan Suraya, perempuan yang pernah menjadi kekasih bekas teman serumahnya. Namun apabila kejadian tragis menimpa Suraya, Mikael mengesyaki, Nazzman sebagai dalang.

Pada pendapat saya, BISIK adalah sebuah novel yang menarik. Jalan ceritanya disusun baik, di mana saya tidak dapat mengagak siapakah sebenarnya watak antogonis dalam cerita ini. Semakin dibaca, andaian yang dibuat saya tentang siapa pembunuh sebenar semakin meleset .
                Plot cerita yang paling menarik adalah apabila, Mikael memperoleh satu nota pendek dari bawah pintu kuning yang terdapat dalam rumah sewa barunya, 

 “JGN GANGGU. BZ.”

Mungkin ini adalah perkara biasa bagi mereka yang inginkan privasi dari teman serumah. Namun tidak untuk kes Mikael kerana dia hanyalah satu-satunya penyewa hidup di dalam rumah itu.
Setelah sekian lama, Mikael mendapat teman rumah baru, Nazzman. Seorang pegawai bank yang pelik kerana dia sering memberi alasan apabila diajak untuk bertemu dengan rakan-rakan Mikael. Nazzman juga sukar untuk dijumpai ketika mereka di rumah. Hanya pada masa masa tertentu sahaja Nazzman muncul untuk membantu dan memberikan idea-idea gila yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah Mikael.Beberapa kes pembunuhan kejam telah berlaku menerusi gandingan Mikael dan Nazzman. Kakak Mikael sendiri turut terbunuh dek perangai gila mereka.

Konklusinya, cerita BISIK adalah novel saspens yang mendebarkan kerana sebenarnya, Mikael mengalami masalah gangguan mental. Nazzman pula bukanlah wujud secara realiti tetapi hanyalah imaginasi Mikael sahaja. Sejak kecil Nazzman telah wujud dalam hidup Mikael, mereka sering bermain bersama-sama sejak kecil. Kendatipun begitu, permainan yang mereka main bukanlah permainan normal bagi kanak kanak sebaya mereka. Haiwan seperti kucing dijadikan bahan ujikaji. Kekejaman merupakan perkara yang menyeronokkan bagi mereka. 

oleh Nurhanisa binti Ahmad Fadzil,A12SC0269
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Judul Buku : Kechai
Penulis : Amirul Bozu

Penerbit : Dubook Press & Publication


















             
             

                “Kechai, sebuah karya hasil nukilan seorang penulis yang dilahirkan di Pulau Pinang dan membesar di sebuah penempatan anak-anak Felcra di negeri jelapang padi. Pada hemat saya, karya Amirul Bozu ini merupakan sebuah karya yang sangat unik dan sesuai bagi pembaca yang lambat berfikir seperti saya. Di awal helaian muka surat buku ini, penulis berpesan kepada para pembaca supaya berada dalam posisi yang serius terlebih dahulu sebelum berfikir dan bertindak di penghujungnya. Gaya penulisan yang digunakan sangat membantu dalam perangsangan minda para pembaca sehingga pembaca berasa seolah-seolah berada dalam situasi yang diceritakan.

                Buku ini menampilkan beberapa kisah yang kebanyakannya berlaku dalam kehidupan seharian kita, justeru memancing emosi dan menenggelamkan jiwa para pembaca untuk ketawa, marah, berasa jengkel mahupun sedih setelah tamat membaca suatu kisah. Pelbagai pengajaran yang boleh saya dapati dalam semua kisah yang diceritakan. Antara kisah-kisah yang menarik bagi saya ialah “Mengejas Nombor Telefon Makwe” dan “Rukun Internet.

                Kisah “Mengejas Nombor Telefon Makwe” menampilkan seorang lelaki bertungkus-lumus untuk mengatasi ketidaktenangan yang menjelma dalam dirinya tanpa diduga. Pelbagai cara yang dilakukan bagi mencari ketenangan hatinya tetapi usahanya sentiasa gagal sehinggalah lelaki tersebut menerima satu pesanan ringkasan di telefon mudah alihnya yang berbunyi,
 “Oh, u ni hafeez yg I jumpe kat Pavi tadi ek? I igt no sape tadi. I mmg jenis x melayan no x kenal ni. Sori la ye lambat rply. Nk ajk kuar? I ok saje. U ckp saje bila nak ye. ” 
Rupa-rupanya ketidaktenangan yang dialami lelaki tersebut disebabkan dia tidak mendapat respon dari perempuan yang ingin didekatinya dan semudahnya hilang setelah menerima pesanan ringkas di atas. Hakikat dalam dunia ini, terdapat segelintir manusia yang mendefinasikan hiburan sebagai ketenangan kerana mampu melupakannya daripada kekusutan dan membuatkan emosinya ceria serta berbunga-bunga. Walau bagaimanapun, hiburan tidak akan kekal lama untuk menenangkan kita sebaliknya menghanyutkan kita ke alam fantasi yang direka dalam pemikiran kita sendiri.

                Bagi kisah “Rukun Internet” pula, penulis mengetengahkan realiti yang berlaku dalam masyarakat era ini.

RUKUN INTERNET
      1)    Kepercayaan kepada Wikipedia
      2)    Kesetiaan kepada Facebook dan Twitter
      3)      Keluhuran Youtube
      4)      Kadaulatan Instagram
      5)      Keceluparan dan Kesasulan

Walaupun ringkas, kisah ini sangat menarik perhatian untuk dibaca kerana penulis seolah-olah menggunakan gaya sindiran bagi menyampaikan realiti yang berlaku dalam masyarakat sekarang. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya sejurus membaca kisah ini ialah “bravo, sangat benar.” Kadangkala, teknologi yang maju membuatkan kebergantungan manusia semakin tinggi pada alatan-alatan yang canggih sehingga boleh dikatakan mencapai tahap ketagih. Seharusnya, kita perlu jelas bahawa alatan-alatan ini direka oleh manusia sendiri hanya untuk memenuhi matlamat kehidupan kita di dunia.

                Terdapat banyak lagi kisah kehidupan yang diceritakan oleh penulis dalam buku ini. Sebelum membuat kesimpulan, sememangnya setiap kisah terkena pada diri saya sebagai pembaca. Akhir kata, kita seharusnya menjadikan manusia di sekeliling sebagai cermin bagi diri kita supaya kita sentiasa sedar tindak tanduk kita dalam sehari-harian kerana cermin akan memantulkan kembali apa yang ada dihadapannya. Jika tersalah langkah, maka itu yang akan kita lihat dan perlu dibaiki.  
Wallahua’lam. Sekian, wassalam.

Siti Syahirah binti Saroni
A12SC0238

Tajuk : Iretaliate
Penerbit : Lejen Press


Bismillah
Buku ini merupakan koleksi cerpen-cerpen yang berbeza penulisnya dan dikumpulkan menjadi satu novel. Novel ini juga merupakan gabungan cerpen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Antara cerpen yang saya minati jalan penceritaannya di dalam novel ini adalah yang bertajuk "Aku Senyum Dan Tembak Sahaja" karya Akhimullah. Melalui tajuknya sahaja membuatkan kami pembaca penasaran apa yang hendak diceritakan dengan tajuk seperti itu. Apa yang hendak disampaikan adalah tidak menggunakan dendam sebagai senjata kita untuk mencederakan orang lain, sebaliknya ubah niat kita untuk mendoakan individu tersebut supaya menjadi lebih baik. Unsur yang diketengahkan sangat menarik minat saya. Penulis menggunakan 'Senyum' itu simbolik kepada keyakinan dan 'tembak' sebagai doa dalam hati supay individu tersebut berubah.
Dalam setiap apa yang dilakukan, tidak ada yang sempurna, persis seperti Buku ini. Cerpen yang tidak berapa mendapat tempat dihati saya adalah "Kau Simpan Hatiku Dari Darjah Satu, Darjah Satu" tulisan Izza Hashim. Melalui tajuknya, pembaca tahu yang tajuk ini berdasarkan lagu yang agak terkenal dari Mark Adam. Bagusnya cerpen ini adalah kerana jalan penceritaannya yang pembaca rasakan tidak akan berlaku di atas muka bumi ini. Tetapi, cerpen ini menggalakkan unsur dendam bersarang di dalam hati sejak dari darjah satu. Mengikut logik akal, masakan pelajar Darjah Satu mampu memberi makanan kepada kawannya yang sudah melepasi tarikh luput atas sebab orang yang disukai tidak menyukainya malah menyukai orang lain. Saya sangat tidak bersetuju dengan cara pembawakan cerita ini kerana unsur dendam yang tersemat dalam hati. Hati adalah raja segala tindakan, jadinya kurang manis untuk menerapkan perasaan dendam dalam hati kanak-kanak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Antara cerpen Inggeris yang dibukukan dalam novel ini adalah, "Rules of Lady" karangan Martini Muaz.
Cerpen ini berkisarkan tentang Intan Zahara, seorang 'lady' yang sudah lewat usianya berada dalam kehidupan mewah. Rules nya adalah 'A Lady should Act Like A Lady'. Antara pesanan arwah ibunya, dan beliau sangat pandai masak dan mengemas rumah serta mempunyai taman yang penuh dengan bunga-bungaan. Buku-buku independent ini banyak yang mengetengahkan pemikiran sendiri dan melatih pembaca untuk berfikir, tidak hanya membaca semata-mata. Ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. Apabila penulis mengetengahkan pemikirannya sendiri akan menyebabkan pembaca juga masuk ke dalam dunia mereka. Akan tetapi, saya seronok membaca buku-buku seperti ini, untuk melatih berfikir apa sebenarnya yang penulis ingin ketengahkan. Secara keseluruhannya, novel ini menarik dan apa yang baik, kita ambil sebagai teladan dan yang tidak baik kita jadikan sempadan.
Nadrah Binti Ramli
A12SC0092

TAJUK : SPERMA CINTA
KARYA:AISA LINGLUNG
PENERBIT:LEJEN PRESS

Sperma Cinta karya Aisa Linglung,sebuah buku yang memadatkan pelbagai cerita pendek mengenai kisah yang penulis adaptasikan dalam kehidupan seharian. Buku ini juga menceritakan sejarah hidup penulis daripada tadika sehingga dewasa.

Namun sebelun itu,saya akan menceritakan sedikit mengenai latar belakang buku ini.Melalui cover buku ini,terdapat pelbagai  ‘fedback’ daripada mereka-mereka yang mempunyai pengaruh dalam industri filem contohnya Fadzil Zahari,Penulis Skrip Filem Kongsi,Bini-biniku Gangster,Pe3 dan Main Darah.Beliau mengatakan “Setiap helaian sperma cinta telah merembeskan endorfinku di luar tahap sukatan biasa “.Selain itu,menurut Engku Azmin-Produser TV “Kepuasan membaca blook ini semacam satu perasaan lega dapa langsai hutang PTPTN.”Sebelum membeli buku ini,saya telah membaca komen-komen yang terdapat diluar buku ini dan ianya jelas menunjukan buku ini membawa gendre kelakar ataupun lucu.Malah,buku ini juga menjelaskan bahawa 80% cerita didalam buku ini adalah cerita benar.Hal ini menguatkan saya untuk membaca kerana ianya bukanlah rekaan semata-mata.

                Bagi pendapat saya,penulisnya seorang yang kreatif kerana dari mula say abaca buku ini sehinggalah habis,penulisnya tidak mengenalkan watak utama dalam cerita ini.Namun,para pembaca masih dapat mengikut jalan cerita ini.Ketika saya membaca buku ini,apa yang saya rasakan adalah bagaikan seorang yang membaca diari seseorang.Oleh itu,penulis amatlah kreatif kerana beliau dapat mengwujudkan bahawa seolah-olah penulis menulis diarinya sendiri.Oleh itu,di permulaan cerita sehinggalah akhir tiada nama bagi watak utama.

"kita bermula daripada Sperma, bertarung

dengan yang lain dan kita menang"

               

Ayat diatas membawa maksud yang dalam dan memberikan kesedaran kepada kita tentang asal-usul kewujudan manusia.Jelas disini penulis memberikan suntikan semangat kepada pembaca  agar dapat menempuh segala halangan dan cabaran sepanjang kehidupan harian kita.

 

"Libido turun anik tak menentu. Kelenjar adrenalin mengepam laju reseptor androgen. Panas. Mata gua terus menjamah tajam bodi solid bini gua"

 

                               

                Mula saya membaca ayat ini,terus saya mendapat perbezaan antara novel-novel yang saya baca yang kebanyakannya keluaran kaki novel.Melalui buku fisyen ini,saya mendapati bahawa penulis-penulisnya banyak menggunakan bahasa yang sering digunakan oleh kita sepanjang kehidupan harian kita dan mereka juga menggunakan bahasa yang dapat difahami dengan segera.Namun,penulis meninggalkan tanda tanya kepada saya iaitu apakah Libido?

                Di awal penceritaan ini,penulis menceritakan zaman tadika watak utama.Bagaimanakah seseorang itu memulakan zaman persekolahannya.Pelbagai kerenah dan telatah yang melucukan yang dapat mengembalikan noltagia pembaca ketika mula-mula masuk ke zaman persekolahan.

                                Di pertengahan cerita pula,penulis menceritakan pelbagai masalah yang bakal kita hadapi sepanjang kita membesar yang mana dapat memberikan pengajaran di kemundiaan hari serta dapat membentukkan seseorang itu menjadi matang dengan melalui pengalaman yang dilalui.Bermula di peringkat university,yang menceritakan karenah-karenah rakan-rakan yang mempunyai pelbagai pesonaliti dan bagaimana kita manghadapi masalah tugasan(assignment),kewangan,keseronokan dan sebagainya.

Namun,apa yang menarik perhatian saya adalah di peringkat berumah tangga.Disini lah banyak dugaan yang betul-betul menguji tahap kesabaran dan tanggungjawab seseorang lelaki itu sebagai ketua keluarga.Saya dapat melihat bagimana pemikiran yang matang dan rasional amat penting dalam membuat sesuatu keputusan tersebut.

Kesimpulannya,buku ini semmemangnya memberikan saya masa yang seronok sepanjang saya membacanya kerana ia menyuntik elemen lucu .Malah,ia memberikan gambaran bagaimana kita menghadapi hari-hari yang mendatang serta cabaran-cabaran yang bakal kita hadapi kelak.

NAMA : MARTINI BINTI YAHYA
MATRIX NO :A12SC0086

BOOK REVIEW : MATA KUCING



NAMA BUKU : MATA KUCING
PENULIS: NIZAM ZAKARIA
PENERBIT: MARSHALL CAVENDISH

Mata Kucing mengisahkan seorang penerbit rancangan jenayah, Pick Yin yang mengalami beberapa misteri selepas membuat laporan mengenai beberapa kejadian kematian yang tragis. Selepas menjalankan siasatan mengenai misteri yang dialaminya, Pick Yin mendapat tahu, jurukameranya juga mengalami misteri yang sama. Mereka mampu melihat dalam gelap, tidak ubah seperti seekor kucing dan keadaan ini sama dengan mangsa kejadian bunuh terdahulu. Jalan cerita berkembang dengan usaha mencari jawapan kepada misteri itu. Apakah penyebabnya? Siapakah dalangnya? dan Apakah tujuannya? Semuanya hampir terungkai apabila Pick Yin mula mengetahui sejarah silam datuknya. Malangnya, selepas misteri itu terungkai, masih ada pertanyaan mengenai nasib orang yang bakal menemui penyebab misteri itu.

Saya merupakan peminat pembaca berunsur seram dan misteri. Pada pembacaan saya,  novel ini mampu membawa pembaca ke dalam dunia novel itu. Tetapi plot yang lambat berkembang dan pengakhiran yang mendadak menyebabkan saya bosan pada pertengahan bacaan. Walaubagaimanapun, pengakhiran yang tergantung adalah unsur yang mampu membuatkan saya ingat mengenai novel ini.

Unsur seram dan mesteri merupakan idea utama novel ini. Ia juga menengahkan unsur kepercayaan alam ghaib dan sihir yang bertentangan dengan Islam. Selain itu, terselit elemen sejarah, perpaduan dan percintaan yang ditampilkan oleh watak penceritaan.

Nama: NURZIYANA BINTI HAIRUDIN
No. Matrik: A12SC0112

TAJUK : PARANOID
PENULIS : FANDY TAHER
PENERBIT : LEJEN PRESS

      Paranoid merupakan sebuah novel hasil penulisan pertama Fandy Taher terbitan Lejen Press yang diterbitkan pada Ogos 2013.Saya memilih novel ini kerana tertarik dengan tajuknya yang begitu unik dan tidak pernah saya ketahui sebelum ini.Terlebih dahulu saya ingin menerangkan serba sedikit apa itu paranoid.Paranoid ini merupakan panggilan untuk orang yang ada paranoia.Ianya seperti satu gangguan pada fikiran seseorang dan membuat mereka sering berkhayal.Apa yang dilakukan oleh penghidapnya adalah menjadikan mereka berasa tidak selamat dan beranggapan sesuatu itu seperti hendak membahayakan diri mereka.Tetapi sebenarnya tidak.Semuanya hanya dalam khayalan sahaja.Jika dalam kes yang lebih ekstrem ,khayalan paranoid itu sampai membuatkan mereka menciptakan satu watak yang lain terhadap orang yang mereka kenal.

      Novel ini mengisahkan tentang seorang pelajar tingkatan lima yg berasal dari Kuala Lumpur iaitu Izham(Iz).Iz mempunyai penyakit paranoid yang sangat melampau sehingga akhirnya memakan dirinya sendiri.Iz menyukai Nur Zulaiha(Zu), namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk meluahkannya walaupun hubungan mereka semakin rapat.Disebabkan paranoidnya yang melampau dia berkhayal bahawa Zu berhasrat ingin melarikan diri dari keluarganya.Disebabkan cintanya yang mendalam Izham akur dan mengikuti Zu melarikan diri ke Kuching.

      Pelarian mereka menyebabkan Iz mendapat tahu bahawa Zu merupakan seorang Yahudi tetapi tidak diendahkan oleh Izham kerana cintanya yang mendalam terhadap Zu.Sepanjang pelarian mereka Iz beranggapan bahawa mereka sedang diburu oleh seorang ejen Yahudi.Malah ketika di Pulau Manukan,Sabah dia berperasangka buruk bahawa agen Yahudi tersebut serta Zu ingin membuat sesuatu yang tidak baik kepada masayarakat kampung di situ.Kemudian, dia berpakat bersama Hamdan untuk mencari identiti sebenar agen tersebut dan hasil dapatan agen tersebut adalah cikgunya sendiri.

      Sedangkan pada hakikatnya,cikgunya,zu serta rakan-rakan yang lain sedang mengadakan lawatan sambil belajar anjuran Kelab Bahasa Melayu ke Kuching dan kemudian ke Pulau Manukan Sabah.Akhirnya Izham sendiri mendapat malu atas tuduhannya serta sikap paranoidnya yang melampau itu. Walaubagaimanapun izham telah mengambil iktibar atas penyakit paranoidnya itu.

      Apa yang boleh saya komen disini adalah novel Paranoid ini mempunyai jalan cerita yang menarik dan sentiasa menimbulkan tanda tanya tetapi klimaksnya yang lambat membuatkan saya agak bosan membacanya .Kemudian dengan pengakhiran cerita yang agak tergantung membuatkan saya agak tidak berpuas hati dengan cerita yang cuba disampaikannya.

      Apa yang saya dapat melalui pembacaan novel ini adalah penulis merupakan seorang yang sangat banyak ilmu pengetahuannya mengenai paranoid serta Yahudi.Banyak ilmu serta iktibar yang saya dapat mengenai orang Yahudi.Salah satunya adalah orang Yahudi sangat rajin membaca dan menuntut ilmu.Mereka sangat bijak dengan pelbagai cara yang licik untuk menguasai dunia.Antaranya adalah mereka sebenar menghantar orang yahudi di kalangan masyarakat kita untuk menyelidik serta memerhati apa yang kita lakukan supaya mereka mudah untuk kuasai dunia.Selain itu,mereka juga akan menghantar mesej-mesej yang tidak baik tanpa kita sedari melalui hiburan seperti lagu dan cerita-cerita.

      Selain itu,kita janganlah terlalu memikirkan perkara yang tidak baik dan negatif sehingga menjadi paranoid seperti watak izham tersebut.Hal ini demikian kerana sikap seperti ini akan membuatkan hidup kita sentiasa dalam keadaan ketakutan dan tidak tenang.Walaubagaimanapun penulis menimbulkan tanda tanya kepada saya samada adakah Zulaiha sebenarnya seorang yahudi ataupun tidak.


FARHAH AQILAH BINTI ABDUL AZIZ
A12SC0082
Tajuk: Paranormal
Pengarang: Hani Suraya
Penerbit: FIXI


Buku ini mengisahkan tentang sekumpulan penyiasat yang mempunyai kuasa istimewa tertentu yang dipanggil IDBW Investigations, yang hanya mengambil yang berkaitan dengan misteri serta paranormal. Jalan cerita ini tertumpu terhadap kes-kes yang dijalankan oleh kumpulan ini. Cerita ini bermula apabila mereka didatangi oleh Hakim yang ingin mereka menyiasat percubaan membunuh terhadap anaknya, Maliki yang berumur 3 tahun.
           
            Pada pendapat saya, novel ini boleh dikatakan agak sederhana dari segi jalan ceritanya dan boleh penulis ini boleh dipuji atas usahanya untuk menulis genre seperti ini yang jarang diketengahkan di negara ini. Saya mengatakan bahawa jalan ceritanya agak sederhana kerana saya merasakan ada banyak babak-babak yang tidak penting dimasukkan serta mempunyai banyak jalan cerita yang saya rasa macam tergantung serta terlalu tergesa-gesa seperti penemuan Ridhwan dengan Fairuz yang saya rasa boleh diketengahkan dan diperincikan lagi supaya lebih menarik.
           
            Pada permulaan cerita, ada banyak babak menarik yang membuatkan saya teruja untuk mengetahui tentang kuasa-kuasa istimewa yang dipunyai oleh ahli-ahli IDBW Investigation. Tetapi apabila memasuki pertengahan cerita, ia mula berterabur dan ia menyukarkan saya untuk memahami buku ini seterusnya membuatkan saya rasa malas hendak membaca buku ini. Ini merupakan salah satu buku yang saya baca selama ini yang buat saya rasa begini. Di pertengahan ini konflik di dalam cerita ini makin bertambah dan saya semakin kecewa apabila kuasa istimewa mereka tidak banyak ditonjolkan dalam cerita ini serta saya dapat lihat yang kes Hakim ini diselesaikan secara tergesa-gesa dan tidak disimpulkan dengan baik untuk mencapai tahap kepuasan yang saya inginkan.
           
            Novel ini banyak menggunakan teknik imbas kembali, namun persoalan yang timbul dalam kebanyakannya tidak diungkai oleh penulis dengan sepenuhnya seperti cerita itu tergantung dan tidak tahu akan pengakhiran imbas kembali itu. Saya boleh nampak bahawa penulis cuba untuk menunujukkan semangat setia kawan di antara anggota IDBW Investigation seperti apabila Fairuz dan Norin mempetahankan Mahmud  dari serangan El Chupacabra apabila beliau tengah lemah dan tidak mampu untuk berlawan lagi. Tetapi ada juga perkara-perkara  negatif yang diketengahkan di dalam cerita ini seperti penggunaan dadah serta unsur yang salah dari segi agama yang boleh dinampak di dalam cerita ini di dalam watak Jimmy yang suka menghisap rokok serta weed sehingga dia sanggup berhutang dengan kumpulan Leong untuk membeli benda itu. 

          Gaya penulisan penulis ini agak senang dan mudah untuk difahami terutamanya bagi golongan muda zaman sekarang kerana kadang-kala penulis mencampurbaurkan Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris di dalam novel ini yang kebanyakannya digunakan oleh remaja zaman sekarang. Secara kesuluruhannya cerita ini hanya sederhana dan saya rasakan bahawa sesiapa yang ingin cuba membaca novel ini memerlukan tahap imaginasi yang tinggi untuk dapat mesej yang cuba ditonjolkan oleh penulis tersebut.

Faris Izzuddin Bin Roslin
A12SC0255

Wednesday, 26 March 2014


Tajuk:Desaturasi Merah Jambu
Pengarang:Ladynoe Mohamed
Penerbit:DUBOOK PINK

            Buku ini mengisahkan kehidupan seorang wanita yang bernama Deknoe.Cerita ini bermula dari saat kelahiran penulis hinggalah kepada saat penceraiannya dengan suaminya.Namun demikian,cerita ini tidak tamat di situ sahaja kerana perjalan hidup penulis masih panjang lagi.Hanya sebahagian hidupnya yang dapat dikongsikan bersama kita.
            Pada pandangan saya,novel ini amat menarik namun agak sukar difahami kerana penulis banyak berteka-teki ,penyampaian agak tersirat dan penulis selalu meninggal kan pembaca dalam keadaan tertanta-tanya.Untuk memahaminya dengan lebih jelas,digalakkan agar membaca berulang kali agar boleh mengungkapkan mesej mahupun pengajaran yang ingin disampaikan oleh penulis.
            Namun begitu,novel ini berkait rapat dengan dengan kehidupan kita seharian.Dapat dilihat dari segi penulisannya, penulis amat kreatif mengolah karya yang sangat sinonim dengan hidup kita.Penulis menggambarkan situasi yang kita lalui setiap hari samada di sekolah,tempat kerja,rumah atau di mana sahaja kita berada.Selain itu,penulis juga mengungkapkan persoalan yang selalu kita persoalkan terhadap diri sendiri mahupun orang di sekeliling kita.Sebagai contoh,penulis pernah bertanya sewaktu zaman kanak-kanak kepada ibunya bagaimana bayi terhasil.Saya percaya setiap kita pasti ada persoalan yang kita sangat ingin tahu.dan kita pun bertanya kepada orang yang lebih pakar.Dan seringkali jawapan yang diberikan sangat mengecewakan hati kita.Itulah lumrah dunia.
            Satu lagi persoalan yang sering berlegar di minda kita iaitu persoalan tentang kematian.Tiada seorang pun yang boleh memberi gambaran yang jelas tentang perkara tersebut.Hanya Tuhan yang mengetahui segalanya.Tapi bagi saya sendiri persoalan tentang kematian amat sukar dirungkaikan.Tapi seringkali kita bersikap paranoid dengan hal tersebut.Kita akan berfikir yang merepek apabila tindak-tanduk orang yang terdekat dengan kita mula menunjukkan sikap yang pelik dan luar biasa.Dan kita akan membuat spekulasi sendiri yang mereka akan meninggalkan kita dalam masa terdekat.
            Di samping itu,saya merasakan novel ini menarik kerana penulis amat pandai mengulas situasi yang sedang berlaku dalam kehidupan remaja kita.Sebagai contoh dalam usia yang semakin meningkat,kita tidak terhindar daripada memikirkan tentang teman hidup.Penulis mencadangkan agar bukan paras rupa yang yang menjadi ukuran utama malah lihatlah akhlak seseorang  itu.Tapi akhirnya,penulis juga bercerai dengan suaminya namun sebabnya tidak dinyatakan dengan jelas.Jadi mesej yang ingin disampaikan penulis ialah kita tidak boleh menduga apa yang akan berlaku terhadap kita hari ini,esok dan seterusnya.Hidup penuh dengan kejutan.
            Melalui novel ini juga saya diterapkan dengan mesej agar jangan mudah menghakimi orang lain.Jangan terlalu mudah membuat sebarang  andaian mahupun spekulasi  yang tidak berasas tanpa membuat kajian terlebih dahulu.Novel ini juga memperlihatkan reaksi kita dalam menghadapi cabaran di dalam hidup kita.Seperti yang kita sedia maklum,hidup kita sentiasa dikelilingi dengan pelbagai cabaran.Hidup ini tidak semestinya indah, bak kata orang hidup tidak bermakna tanpa cabaran dan dugaan.Dari situ kita akan sedar kita akan dalam menilai diri kita sejauh mana kita boleh bertahan dan berusaha untuk menghadapi cabaran tersebut.Di  samping itu janganlah menyalahkan  orang lain di atas cabaran tersebut.Mungkin ada kebaikan yang kita tidak sedari.
            Akhir sekali,Mesej yang kita dapat daripada novel tersebut ialah menerima kritikan sebagai sesuatu yang boleh membina personaliti kita agar menjadi lebih baik. Jangan mudah melatah apabila menerima kritikan.Jadikan kritikan tersebut sebagai batu loncatan untuk memperbaiki diri.
            Penulis menyarankan agar janganlah kita menukarkan warna kehidupan kita yang cerah kepada warna kelabu yang akan menggelapkan hidup kita lantaran sikap kita yang sukar berkompromi,egois dan sikap bongkak yang sukar menerima pandangan orang lain.
            Konklusinya,novel ini amat bagus untuk membuat refleksi diri terhadap senario yang berlaku di sekeliling kita.Mungkin kita akan sedar terhadap kelakuan kita yang terkadang di luar akal waras kita.Novel ini bagus untuk mengembalikan kita ke pangkal jalan yang hidup ini penuh warna warni yang sukar kita ungkapkan.
BY:JOSEPHINE ANAK GEORGE JIMBUN

A12SC0085
Hafalan Shalat Delisa
                             
         
                Buku “Hafalan Shalat Delisa” merupakan salah sebuah novel yang menceritakan mengenai bencana Tsunami yang telah berlaku pada tanggal 26 disember 2004. Salah satu karya Tere Liye berasal dari negara Indonesia ini telah membawa semula kisah tragedi Tsunami yang telah melanda bandar Aceh pada waktu itu.Penulis telah berjaya menimbulkan kesan emosi yang mendalam pada pembaca dengan kisah seorang kanak-kanak berumur 6 tahun yang terpaksa mengharungi kehidupan yang getir  setelah ibu dan kakak-kakaknya meninggal dunia dalam bencana tsunami yang telah meragut nyawa ribuan orang dan ditambah pula keadaan dirinya sekarang tidak lagi seperti kanak-kanak normal setelah Delisa kehilangan sebelah kakinya dalam bencana tersebut.
              Dari segi bahasa yang telah digunakan, novel ini mudah difahami dan dihayati isi kandungannya, walaupun ada sesetenggah Bahasa Indonesia yang kurang difahami maknanya.Antara kekurangan yang dapat dilihat dari novel ini adalah, Penulis terlalu tinggi menggambarkan sifat tokoh dalam seorang anak yang berusia 6 tahun menerusi pemikiran Delisa yang agak luar biasa.
              Keharmonian keluarga Ummi Salamah dan Abi Usman meresap jauh ke dalam hati, bersama dengan nilai-nilai Islam yang telah dibawa dalam novel ini. Watak Delisa yang ceria, lincah, dan banyak bertanya telah berjaya menghidupkan watak utama. Namun begitu, apabila tiba klimaks cerita iaitu tsunami yang melanda Aceh, atau lebih tepat lagi bab-bab liputan dunia tentang bencana itu, segalanya mula terasa hambar. Bagi saya tsunami itu gagal diceritakan dengan lebih berkesan, hanya sekadar menyebut beberapa negara dan reaksi mereka, juga penerangan Lhok Nga usai tragedi yang kurang realistik.
             Antara kelebihan kaedah bawa oleh penulis dalam novel ini, ialah perasaan tidak berputus asa yang telah ditunjukkan oleh watak utama, Delisa yang tidak pernah berputus asa menhafal bacaan solat.Delisa juga belajar sesuatu yang diusahakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
             Sebagai analoginya, sebelum Tsunami melanda dia hanya menhafal bacaan solatnya hanya untuk mendapatkan seuntai kalung dari ibunya, namun selepai Tsunami melanda Delisa melakukan hafalan solatnya dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa hadiah.Dalam novel ini juga terselit sedikit penggunaan teknik imbas kembali dimana sewaktu Delisa terlupa bacaan solatnya, dia mengingati kembali cara menghafal bacaan solat oleh kakaknya, Aisyah.

Nor Fatiha Binti Hissam
A12SC0055
2SSCC

Perindu Pelangi

            Buku Perindu Pelangi, hasil nukilan Siti Munirah A. Rashid  mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Akil yang menghadapi pelbagai cabaran dari kecil sehingga dewasa.Kehidupan akil berubah selepas perkenalannya dengan Isador, angkasawan misteri yang mencari kebenaran. Separuh novel ini, berlatarbelakangkan Tanah Besar China, manakala separuh yang terakhir berlatarbelakangkan Malaysia.
           
           Perindu Pelangi sebuah novel Islamik yang sarat dengan nilai tauhid, nilai akhlak dan nilai adab .Nilai-nilai ini digambarkan melalui perkembangan watak dan pergerakan cerita yang lancar serta dialog-dialog yang segar. Selain itu, terdapat juga nilai syariat yang digambarkan melalui aspek pergaulan dan cara berpakaian watak-watak .Kisah dan konflik cinta dipaparkan dalam bentuk yang sederhana, namun diselitkan nilai Islam yang indah .
         
            Melalui pembacaan saya ,novel ini  banyak menceritakan sejarah mengenai China terutamanya mengenai latar belakang monumen di China. Setiap deskripsi yang ditulis mengenai Tembok Besar Cina, Dataran Tiananmen, juga Kota Larangan tentang Tanah Besar China, khususnya Beijing membuatkan kita berasa kagum dan rasa ingin melancong ke sana.Selain itu, penerangan yang ditulis mudah untuk difahami pembaca.
             
           Penceritaan kehidupan  Akil di  China disampaikan dengan baik. Ceritanya meyakinkan, plotnya menarik dan bergerak laju, garapannya kemas dan tidak meleret-leret.Dari gaya bahasa yang digunakan cukup baik ,  mudah difahami dan tersusun. Selain itu, penulis banyak mengunakan teknik imbas kembali untuk menerangkan zaman kanak-kanak Akil dan banyak juga  unsur yang membuatkan para pembaca tertanya-tanya seawal bab pertama lagi contohnya siapakah Isador? , kenapa Wayne ingin membunuh Isador? Dan siapakah Akil , nama Melayu yang disebut-sebut di tengah-tengah keluarga Cina?

          
             Pada saya kekurangan dalam novel  ini ialah, mengenai penceritaan watak Isador, iaitu seorang angkasawan Amerika Syarikat yang  muncul di sebuah daerah yang sangat asing baginya iaitu China. Kisah Isador dalam cerita ini tidak dijelaskan dan diperincikan membuatkan para pembaca tertanya apa sebenarnya yang berlaku. Begitu juga dengan kisah Wayne/orang lain yang mengejar Isador .Tidak digambarkan motifnya membuatkan pembaca lebih tertarik untuk membaca kisah isador berbanding kisah watak utama.
            
        Secara keseluruhannya,novel ini menarik untuk dibaca.

Nur Farihin Binti Muhamad
A12SC0061 

TAJUK : WANITA KIMONO MERAH
PENULIS : SYAFIE MAHYANI
PENERBIT : LEGEN PRESS

Wanita Kimono Merah karya sulung penulia Syafie Mahyani terbitan Lejen Press, membawa genre seram dan mudah difahami sepanjang penceritaan. Saya memilih buku ini kerana saya merupakan peminat novel ‘thriller’. Namun karya yang menjadi pilihan saya selama ini hanyalah karya Ramlee Awang Mursyid hasil terbitan Alaf21. Pemilihan buku ini sebagai buku pertama saya dalam megenali Legen Press ini tidak mengecewakan. Bagi saya penulis-penulis bebas ini mempunyai identiti mereka yang tersendiri.

Perasaan seram yang cuba diketengahkan oleh penulis berjaya disampaikan dengan baik. Permulaan cerita sangat menarik yang membawa kepada permulaan dendam yang tiada pengakhiran. Hiruka, wanita kimono merah yang membunuh diri selepas anak dan suaminya dibunuh secara kejam dihadapannya oleh anak pemilik banglo yang mereka baru diami. Seterusnya Hiruka menghantui banglo tersebut sehingga lah di beli oleh seorang peragawati terkenal, Evelyn.

Dendam Hiruka membara apabila suami evelyn, Rizo mengadakan hubungan sulit bersama kekasih lamanya. Hiruka menjadikan ini penyebab baginya untuk membunuh Rizo dan kekasih lamanya itu. Hiruka menghantui Evelyn sehingga dia dikatakan gila. Konflik mula timbul apabila Evelyn mengetahui hubungan sulit suaminya melalui rakaman video yang dirakam oleh suaminya. Evelyn yang ketika itu berbadan dua telah terbawa emosi dan memilih untuk berjauhan dari suaminya. Rizo yang menyedari akan kesalahkannya itu membawa diri dan mengahwini kekasih lamanya. Hiruka menjadikan mereka sebagai target utama pembunuhan.

Di akhir penceritaan kurang menyenangkan apabila penulis lari dari penyebab awal Hiruka membunuh untuk membalas dendam. Plot berubah secara drastic apabila Hiruka dikatakan membunuh sesiapa sahaja yang pernah nampak kewujudannya. Hiruka membunuh semua orang yang rapat dengan Evelyn termasuk anaknya sendiri.

Secara peribadi, novel ini agak menarik dan tidak terikat kepada cerita cinta dan pengakhiran yang bahagia. Sangat disyorkan kepada pembaca-pembaca yang meminati novel-novel yang lebih mencabar dan tidak suka akan cerita yang terlalu berbunga dan romantis. Karya ini mendebarkan pembaca dengan cara-cara pembunuhan yang kejam dan diluar jangkaan. Kemunculan Hiruka sebagai watak pengerak cerita ini cukup menyeramkan dengan gambaran yang telah diketengahkan oleh penulis. Namun yang demikian, pengakhiran yang agak tergantung agak mengecewakan. Evelyn dilihat tiada kaitan dengan dendamnya dan merupakan sebuah cerita yang sangat berlainan dengan sejarah hidupnya yang membawa kepada dendam. Secara keseluruhan novel ini menarik.

Siti Nurkamariah Binti Kamarudin
A12SC0116

Tuesday, 25 March 2014



    Sepuloh Nama 
 Sahidzan Salleh

Buku yang diterbitkan oleh lejen press ini mengisarkan tentang penderitaan ,pembunuhan kejam dan kisah disebalik pembunuh itu sendiri. Bagi saya secara kasarnya cerita ini berkonsepkan misteri bermula dengan penemuan mayat perempuan berambut oren, Annastacia binti Mutalib tergantung di ruang tamu apartmentnya. Kematian perempuan tersebut  mengundang kemusyhkilan detektif bernama Syaz apabila keadaan mayatnya yang hampir sama dengan keadaan mayat lima pembunuhan yang pernah berlaku 45 tahun yang lepas. Kesemua mangsa disyaki dibunuh dan mempunyai kesan jahitan di dada. Kesan jahitan itu dipercayai berpunca dari pembunuh yang membelah dada dan mengambil jantung setiap mangsa.  Setiap mayat juga ditoreh nama masing-masing di dahi mereka dan diikatkan sehelai kertas tertulis ‘SEPULOH NAMA’ di ibu jari kaki mereka. Kes pembunuhan Anna ini juga berhubung kait dengan kes penculikan bekas pelajar Oxford yang menjadi pelacur , Maiza Munsyi. Cerita ini bertambah rumit dengan munculnya watak Alep Housman.

Penulis berjaya membuat pembaca tertanya-tanya motif pembunuhan dan siapa dalang disebalik pembunuhan tersebut dengan menyelitkan teknik-teknik flashback dalam penulisan. Penulis juga sering mewujudkan dan mencirikan suasana atau tempat bagi membolehkan pembaca berimaginasi sesuai dengan latar tempat cerita.  Berkait isu-isu semasa pula, cerita ini turut menerapkan tentang isu-isu agama  dan sikap masyarakat sendiri. Sebagai contoh isu agama, menerusi watak Alep, penulis berpendapat setiap penganut agama sepatutnya menghormati agama mereka dan budaya agama lain. Hal ini dikukuhkan lagi apabila Alep membayangkan semua manusia sedang mendiamkan diri atau menghentikan apa sahaja perbuatan yang mereka lakukan ketika azan sedang berkumandang sebagai simbolik atau tanda penghormatan mereka tidak kira mereka beragama lain atau sedang menikmati segelas bir. Saya berpendapat penulis sedang cuba untuk menghidupkan suasana masyarakat yang saling menghormati.

Apa yang digambarkan oleh penulis ini mungkin ada benarnya, tetapi saya agak tidak berpuas hati tentang suatu babak  di dalam cerita ini yang mencirikan kelompok imam, paderi dan sami yang berada di tepi jalan memegang sepanduk masing-masing bertulis ‘pilihlah agama saya, anda akan masuk syurga’.  Situasi ini seolah-olah merendahkan sendiri martabat sesetengah agama tersebut. Sebagai contoh, mengapa tugas seorang imam digambarkan sedemikian?  Adakah seorang imam itu menyebarkan dakwah mereka dengan cara begitu? Saya faham apa yang ingin disampaikan penulis, dia  cuba untuk menyelitkan secara tersirat tentang isu agama  masyarakat yang semakin terok. Tetapi bagi saya, cara penyampaian tersebut agak tidak bersesuaian.Selain itu, penulis turut menerapkan unsur-unsur tidak bermoral seperti kes pencurangan pasangan yang sudah berumahtangga dan hubungan sulit antara pelajar dengan guru. Cara penulisan yang ditunjukkan mungkin agak keterlaluan  kerana saya bimbang cerita ini menjadi sumber inspirasi atau mengundang gejala yang tidak sihat bagi sesetengah masyarakat.

Saya tidak pasti itu semua merupakan ideologi penulis sendiri ataupun penulis hanya ingin mewujudkan suasana di dalam cerita untuk masyarakat berfantasi tetapi bagi saya sesebuah cerita itu perlulah menjadi suatu yang membina untuk lapisan masyarakat. Tetapi tidak semua bahagian di dalam novel ini membawa keburukan kepada pembaca, ada juga nilai positifnya. Menerusi cerita ini, penulis dapat membuat saya memahami penderitaan kanak-kanak yang dibesarkan dalam keadaan keluarga yang porak peranda,dan mengetahui kesan negatif yang bakal terjadi kepada golongan masyarakat yang mempunyai masalah keluarga.

NUR AIN FARISHA MOHD
A12SC0268

Monday, 24 March 2014

Book Review (JOYLAND)


JOYLAND
STEPHEN KING
Terjemahan MURNI MANSOR

Buku ini adalah terjemahan Murni Mansor dan terbitan FIXI VERSO yang menerbitkan novel-novel yang di terjemahkan ke Bahasa Melayu. Penulis sebenar ialah Stephen King. Beliau lahir di Maine, Amerika Syarikat. Beliau seorang pengarang novel seram, fiksyen sains dan fantasi

Joyland merujuk kepada sebuah taman permainan yang terletak di Heaven’s Bay, North Carolina. Novel ini berkisarkan tentang seorang lelaki yang bernama Devin Jones pelajar University of New Hampshire (UNH) yang telah bekerja di Joyland semasa cuti musim panas. Jones sangat menyukai tempat tersebut sehingga sanggup menagguh pengajiannya. Selain itu, antara sebab lain dia menagguhkan pengajiannya adalah untuk mengelakkan dirinya daripada bekas kekasihnya yang telah meninggalkannya disebabkan lelaki lain. 

Jones sangat terkenal bukan sahaja di kalangan pekerja Joyland malah penduduk kawasan Haeven’s Bay kerana kisahnya yang telah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dari tercekik hot dog dan Eddie, seorang pekerja Joyland yang terkena serangan jantung. 

Disamping itu, novel ini membuatkan pembaca tertanya-tanya berkenaan hantu yang selalu muncul di salah satu permainan yang terdapat di Joyland iaitu Hunter House. Hantu tersebuat adalah seorang perempuan yang telah di bunuh di dalan Hunter House itu dan pembunuh tersebuat tidak dapat ditangkap sehingga ke hari ini. 

Kisah membuatkan Jones ingin menyiasat dan meminta bantuan dari rakannya Erin, yang juga pernah bekerja di Joyland semasa cuti musim panas. Dengan bantuan Erin, akhirnya pembunuh itu dapat di tangkap dan merupakan salah seorang pekerja Joyland. Jones menghadapi saat2 cemas kerana terpaksa berhadapan dengan pembunuh tersebut. Akhirnya pembunuh itu mati terkena tembakan yang di lepaskan oleh Ann Ross iaitu seorang ibu tunggal yang bersahabat dengan Jones.

Cerita ini tertumpu pada kisah Jones di Joyland sahaja sehinggakan kisah hidup Jones yang berkahwin hanya diceritakan dalam satu babak sahaja. Pada pendapat saya, novel ini sangat menarik. Jalan ceritanya sangat menarik kerana kisah taman permainan yang dalam usaha untuk dimajukan walaupon pada akhirnya terpaksa ditutup.

Keseluruhanya novel ini memberi keseronokan seperti pengalaman memasuki taman permainan yang penuh dengan pelbagai permainan yang menyeronokkan. Bagi peminat taman permainan seperti saya, novel ini menarik untuk dijadikan bahan bacaan.



NURUL HUDA BINTI MUHD YUSOF
A12SC0108

Sunday, 23 March 2014

Tajuk : Skandal Libero
Penulis : Naufal Tarmizi
Penerbit : Lejen Press

Tajuk ‘Skandal Libero’ menyebabkan kita tertarik menilai buku ini dari sudut namanya. Skandal yang bermaksud kejadian mengejutkan dan tidak bermoral yang diketahui orang lain manakala libero berkaitan dengan peranan pemain di atas padang yang juga dikenali sebagai 'The Sweeper'. Hiasan kulit buku yang menggambarkan bola yang disepak mengasak pemikiran pembaca untuk berfikir bahawa buku ini menceritakan tentang skandal yang berlaku dalam dunia bola sepak.

 Buku yang mempunyai 301 muka surat dan 39 bab ini menceritakan tentang perubahan seorang pemain bola sepak (Aiman Zharif) yang terjebak dengan permasalahan yang dicipta oleh orang lain disekitarnya menyebabkan dirinya tersedar daripada terus lalai dan akhirnya memilih jalan untuk lebih dekat dengan Allah dengan menyertai kumpulan tabligh.

Watak di dalam buku ini diceritakan dengan perwatakan yang berbeza. Selain Zharif sebagai watak utama, terdapat juga Andrea yang menjadi permulaan tercemarnya nama Zharif sebagai pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Nur Airin Nusaibah seorang gadis yang mulanya sangat membenci Zharif tetapi akhirnya jatuh hati terhadap jejaka tersebut, Fendi rakan baik Zharif yang sentiasa bersamanya susah dan senang, Haji Tarmizi dan Haji Daud bertanggungjawab membawa Zharif bangkit semula dari kejatuhan serta terdapat juga watak Datuk Ariffin dan Datuk Zulkifli yang telah memberi kesan hitam dalam sejarah hidup Zharif akibat ketamakan dan kerakusan mereka mengejar nama.

 Melalui boidata penulisnya, Naufal Tarmizi, yang berasal dari Slim River, Perak dan mempunyai  latar belakang pendidikan dalam bidang Syariah dan Undang-undang, ia dipercayai sedikit sebanyak mempengaruhi jalan cerita ‘Skandal Libero’ ini. Hal ini terbukti apabila hampir 50 peratus jalan ceritanya berlaku di Slim River dan mempengaruhi sedikit perwatakan Nur Airin Nusaibah iaitu sebagai pendakwa syarie.

Mengenai tema buku ini, saya berpendapat penulis cuba untuk mengkritik atau menyindir beberapa pihak secara lembut atau sinis. Pertama sekali dari segi politik, ia secara terang ditunjukkan melalui pergelutan berebut kuasa dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) antara Datuk Ariffin dan Datuk Zulkifli sehingga sanggup membunuh, merasuah, mengugut dan merosakkan masa depan orang lain.

Seterusnya dari segi sukan, penulis cuba menyatakan tentang kesan dari sikap orang atasan dalam persatuan menyebabkan standard sukan masih berada di takuk lama, pandangan peminat sukan terhadap sikap pemain yang pada mereka menyebabkan kejatuhan ranking pasukan serta pandangan penggiat sukan sendiri(pemain) mengenai masalah perkembangan sukan yang disebabkan oleh ‘orang dalam’. Sebagai contoh apabila Zharif megulas tentang kelemahan liga Malaysia yang banyak berkisar tentang pengurusan dan pentadbiran yang tidak teratur.

Penulis juga cuba mengetengahkan cara pemikiran manusia dalam sesuatu keadaan. Sikap manusia yang suka menyelesaikan masalah dengan cara mudah. Jika mahu mengelak dari tercabar dengan kehadiran musuh, bunuh sahaja. Cara hidup orang yang yang hanya tahu bersuara di belakang tetapi tidak mahu bertindak dicerminkan melalui watak Nusaibah yang mengkritik langkah yang digunakan pihak berkuasa dalam menangani perhimpunan aman. Penulis menggambarkan ini dengan ‘gadis itu umpama ikan laga dalam bekas kaca, memberontak di dalam bekas kaca namun tak mahu pula melompat keluar darinya.’

Disebabkan ini buku yang berkisar tentang pemain bola sepak, ada juga diselitkan beberapa taktikal permainan untuk menyeronokkan lagi jalan cerita antaranya Tiki Taka dan Contenaccio. Bagai menjadi kebiasaan untuk melariskan buku atau novel di Malaysia, kisah cinta antara dua watak utama iaitu Zharif dan Nusaibah juga ada diselitkan dan pada pengakhiran buku ini, berlangsungnya majlis pernikahan mereka berdua dan luahan untuk bersama selamanya.

Konklusinya, cerita ini agak menarik untuk dibaca dan ditulis dengan bahasa yang mudah difahami. Jalan ceritanya juga mudah untuk difahami tetapi memerlukan sedikit pemikiran bagi memahami maksud tersembunyi yang ingin penulis sampaikan.

Nadia binti Mohd Jaszari
A12SC0091