Wednesday, 21 May 2014



Tajuk : Pulp Fiction
Pengarah : Quentin Tarantino
Tempoh Cerita : 2 jam 40 minit

Pulp Fiction” merupakan sebuah filem yang menceritakan tentang kisah dan beberapa situasi gangster pada zaman awal 90-an di Amerika. Secara kasarnya, filem sepanjang 2 jam 40 minit ini sedikit sebanyak menggambarkan kehidupan gangster yang pelbagai disertai dengan jenaka yang ganas,music pop sebagai hiburan dan beberapa senario tugas-tugas seorang gangster. Diarah oleh Quentin Tarantino, filem ini telah mendapat pelbagai anugerah Oscars pada ketika itu.

Secara keseluruhannya, filem ini mengisahkan tentang tugas dua orang gangster yang juga pembunuh upahan iaitu Vincent Vega dan Jules Winnfield untuk mendapatkan kembali ‘briefcase’ dari Brett dan kawannya yang telah berpaling tadah dari Marcellus Wallace, ketua gangster tersebut. Pelbagai senario yang menarik dan masalah timbul dalam mereka menjalankan tugas tersebut. Filem ini juga menonjolkan cerita seorang ahli tinju, Butch yang telah dibayar oleh Marcellus untuk kalah dalam pertandingan tinju namun gagal berbuat demikian dan perlu melarikan diri bersama teman wanitanya, Fabienne dari dibunuh oleh kumpulan gangster tersebut. Filem ini juga membawa satu sketsa pendek tentang cubaan rompakan di sebuah restoran oleh dua org amatur iaitu, Ringo dan Yolanda namun tidak kesampaian apabila Jules menghalang mereka.

Perjalanan cerita dalam filem adalah jenis penceritaan ‘non-linear’ yang mempunyai lima sketsa pendek. Walaupon jenis penceritaan yang pada awalnya tidak berkaitan tetapi setiap sketsa mempunyai ciri-ciri ataupun cerita yang saling berkaitan. Ini merupakan satu elemen yang pada saya membuatkan filem ini sangat istimewa dan menarik. Bagi saya, jenis penceritaan sebegini memerlukan penonton untuk mengenal setiap watak dalam filem ini dan yang menariknya adalah bagaimana pada akhirnya setiap sketsa dan watak yang ada pada filem ini saling berhubung.

Watak yang ditonjolkan juga memainkan peranan masing-masing. Vincent Vega selaku watak utama dalam filem ini digambarkan seorang pembunuh upahan yang bersahaja dan berani dengan tugas gangster yang diberikan namun sangat lembut terhadap wanita. Jules Winfield yang juga merupakan rakan Vincent memaparkan watak ganas dengan sedikit religious yang mana pada akhir cerita ini telah insaf dan meninggalkan kerjayanya sebagai pembunuh upahan.

Antara watak lain yang menarik perhatian ialah Ringo dan Yolanda yang merupakan seorang perompak amatur. Mereka dengan bersahaja menikmati sarapan pagi dan bercerita tentang rompakan-rompakan lalu mereka, terus sahaja merancang untuk merompak restoran dimana mereka sedang bersarapan. Namun rompakan ini berjaya dihentikan oleh Jules yang juga sedang menikmati sarapan di situ. Idea spontan dan perasaan sayang diantara mereka menjadikan karakter mereka sangat unik.

Satu lagi watak yang menarik perhatian saya ialah Winston Wolfe, seorang lagenda dalam dunia gangster dan bertindak sebagai seorang penyelesai masalah. Wolfe yang tenang dan telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Vincent dan Jules dengan membuat keputusan yang sangat genius berbeza dengan Jules dan Vincent yang hanya tahu bertengkar apabila dilanda masalah.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa filem ini merupakan sebuah filem yang sangat baik pada era 19. Namun sedikit membosankan kerana terlalu banyak penceritaan filem disampaikan melalui perbualan berbanding aksi. Watak dalam cerita ini dipamerkan dengan baik dan perwatakan mempunyai kesinambungan terhadap plot cerita. Filem ini mungkin sesuai pada zaman ia diterbitkan namun pada era sekarang, terdapat banyak lagi filem-filem yang lebih baik. Namun tidak dinafikan kepelbagaian plot dalam filem ini menjadi rujukan banyak filem-filem baru untuk membuat plot cerita yang lebih menarik.

Nur Farah Natasha Ahmad Tamizi
A12SC0100

No comments: