Assalamualaikum wbt.
Filem “The Seven Samurai” arahan Akira Kurosawa ini
merupakan suatu filem yang amat menarik kerana jalan ceritanya menampilkan
kisah penduduk di sebuah perkampungan petani yang berada dalam keadaan yang
genting di mana mereka mendapat ancaman daripada sekumpulan perompak yang ingin
mendapatkan hasil tanaman mereka.
Penceritaan
filem ini pada permulaannya menampilkan kebudayaan masyarakat Jepun pada zaman
dahulu dan slot yang amat menarik perhatian saya adalah semasa ketua kampung
memutuskan untuk melantik samurai demi mempertahankan kampung itu. Situasi di
mana seluruh penduduk kampung berkumpul dan ada segelintir dari mereka yang
berkeluh mengenangkan apa yang sedang menimpa mereka sehingga bertanyakan ke
mana Tuhan dan ada pula yang tidak mahu tampil kehadapan berjuang kerana tidak
yakin dengan kekuatan mereka. Pada hemat saya, perkara sebegini yang seharusnya
diamalkan di sesebuah perkampungan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan
penduduk. Perbincangan yang tidak mengenepikan mana-mana pihak dan apabila
keputusan telah ditetapkan, setiap orang berlapang dada menerimanya.
Sungguhpun
golongan petani itu sangat risau dengan sikap samurai yang suka mengganggu anak
gadis mereka, mereka tetap bertahan dan memberi layanan yang baik kerana
ancaman perompak tersebut lebih hebat berbanding layanan yang mereka terima
dari tujuh orang samurai tersebut. Pada pandangan saya situasi tersebut amat
unik kerana golongan samurai hakikatnya berasal daripada kasta yang berbeza
dengan golongan petani. Iktibarnya, kita seharusnya berani untuk mengambil
risiko dalam membuat sesuatu keputusan jika keputusan yang dibuat itu mampu
memberi kesejahteraan orang sekeliling di masa akan datang.
Selain
itu, terdapat juga plot cerita yang sangat signifikan di mana terdapat babak
percintaan Antara samurai yang bernama Katsushiro dan seorang anak gadis kepada
salah seorang petani. Ironinya, percintaan mereka dihalang disebabkan perbezaan
kasta. Walau bagaimanapun, pada pengakhiran cerita ini, empat orang samurai
telah terkorban dan apa yang mengejutkan adalah tiada sebarang komen daripada
pihak mereka kerana itulah hakikatnya prinsip seorang samurai. Kejayaan
menyebelahi penduduk kampung tersebut dan akhirnya mereka membuat keputusan
tidak mahu samurai tersebut untuk terus tinggal di kampung mereka. Hal ini
demikian kerana perompak telahpun ditewaskan dan mereka berpendapat bahawa
sangat sukar untuk mereka tinggal dalam satu kawasan yang sama dengan
sekumpulan pahlawan. Kehidupan petani sangat berbeza dengan kehidupan samurai.
Kesimpulannya,
keadaan yang genting mampu mengubah cara pandang manusia demi mencapai keamanan
walaupun keputusan sukar untuk dibuat. Tidak kira perbezaan taraf mahupun cara
hidup, setiap dari kita seharusnya bersatu untuk menuju matlamat yang sama. Wallahua'lam.
Siti Syahirah binti Saroni (A12SC0238)
No comments:
Post a Comment