Tuesday, 3 June 2014

Film Review: The Seven Samurai



Assalamualaikum wbt.

                  Filem “The Seven Samurai” arahan Akira Kurosawa ini merupakan suatu filem yang amat menarik kerana jalan ceritanya menampilkan kisah penduduk di sebuah perkampungan petani yang berada dalam keadaan yang genting di mana mereka mendapat ancaman daripada sekumpulan perompak yang ingin mendapatkan hasil tanaman mereka.

                Penceritaan filem ini pada permulaannya menampilkan kebudayaan masyarakat Jepun pada zaman dahulu dan slot yang amat menarik perhatian saya adalah semasa ketua kampung memutuskan untuk melantik samurai demi mempertahankan kampung itu. Situasi di mana seluruh penduduk kampung berkumpul dan ada segelintir dari mereka yang berkeluh mengenangkan apa yang sedang menimpa mereka sehingga bertanyakan ke mana Tuhan dan ada pula yang tidak mahu tampil kehadapan berjuang kerana tidak yakin dengan kekuatan mereka. Pada hemat saya, perkara sebegini yang seharusnya diamalkan di sesebuah perkampungan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk. Perbincangan yang tidak mengenepikan mana-mana pihak dan apabila keputusan telah ditetapkan, setiap orang berlapang dada menerimanya.

                Sungguhpun golongan petani itu sangat risau dengan sikap samurai yang suka mengganggu anak gadis mereka, mereka tetap bertahan dan memberi layanan yang baik kerana ancaman perompak tersebut lebih hebat berbanding layanan yang mereka terima dari tujuh orang samurai tersebut. Pada pandangan saya situasi tersebut amat unik kerana golongan samurai hakikatnya berasal daripada kasta yang berbeza dengan golongan petani. Iktibarnya, kita seharusnya berani untuk mengambil risiko dalam membuat sesuatu keputusan jika keputusan yang dibuat itu mampu memberi kesejahteraan orang sekeliling di masa akan datang.

                Selain itu, terdapat juga plot cerita yang sangat signifikan di mana terdapat babak percintaan Antara samurai yang bernama Katsushiro dan seorang anak gadis kepada salah seorang petani. Ironinya, percintaan mereka dihalang disebabkan perbezaan kasta. Walau bagaimanapun, pada pengakhiran cerita ini, empat orang samurai telah terkorban dan apa yang mengejutkan adalah tiada sebarang komen daripada pihak mereka kerana itulah hakikatnya prinsip seorang samurai. Kejayaan menyebelahi penduduk kampung tersebut dan akhirnya mereka membuat keputusan tidak mahu samurai tersebut untuk terus tinggal di kampung mereka. Hal ini demikian kerana perompak telahpun ditewaskan dan mereka berpendapat bahawa sangat sukar untuk mereka tinggal dalam satu kawasan yang sama dengan sekumpulan pahlawan. Kehidupan petani sangat berbeza dengan kehidupan samurai.


                Kesimpulannya, keadaan yang genting mampu mengubah cara pandang manusia demi mencapai keamanan walaupun keputusan sukar untuk dibuat. Tidak kira perbezaan taraf mahupun cara hidup, setiap dari kita seharusnya bersatu untuk menuju matlamat yang sama. Wallahua'lam.

Siti Syahirah binti Saroni (A12SC0238)

Film review : Munich






Filem               : Munich
Pengarah         : Steven Spielberg


Assalamualaikum..

Filem Munich arahan Steven Spielberg mengisahkan tentang penculikan dan  pembunuhan terhadap sebelas orang atlet Israel yang terlibat dengan Munich Olympics pada September 1972. Kelompok terrorist yang terdiri daripada orang Palestin yang digelar “Black September” yang telah membunuh atlet Israel tersebut. Perdana Menteri Mesir pada masa itu,Golda Meir telah mengarahkan operasi dilakukan bagi menjejaki suspek yang terlibat dalam pembunuhan tersebut. Sebuah pasukan yang diketuai oleh Avner,agen Mossad dibantu oleh Steve,Hans,Robert dan Carl telah damanahkan untuk melakukan operasi tersebut.

Pelbagai misi dijalankan dalam usaha dijalankan dan mereka telah merantau ke Eropah untuk menjejaki pembunuh-pembunuh tersebut. Beberapa suspek telah disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut. Dalam usaha tersebut,Carl telah dibunuh oleh seorang wanita manakala Robert dipercayai dibunuh dalam letupan. Kini tinggal Avner,Steve dan Hans yang akan meneruskan misi mereka itu. Hal ini telah mendatangkan tekanan terhadap pasukan tersebut. Namun,akhirnya Hans telah  mati ditikam dan kini hanya tinggal mereka berdua dan seterusnya mereka pulang ke Israel.

Ephraim iaitu salah seorang agen Mossad telah menggesa Avner untuk kembali bersama-sama Mossad bagi meneruskan misi mereka menjejaki pembunuh tersebut. Namun demikian,Avner menolak desakan tersebut. Akhir sekali, Mossad berjaya menjejaki dan membunuh  sembilan orang yang disyaki terlibat dalam pembunuhan atlet Israel tersebut dan juga Salameh yang telah merancang pembunuhan beramai-ramai tersebut.


By: C WAN NUR IZATI BINTI C WAN AHMAD
        A12SC0043