Tuesday, 25 February 2014

Book Review


REVIEW NOVEL : NASI KANGKANG (AZWAR KAMARUZAMAN)




Tajuk : Nasi Kangkang
Penulis : Azwar Kamaruzaman
Terbitan : Lejen Press
Harga : RM19.90
Rate : 4.0/5.0


Pertama kalinya apabila mendapat satu tugasan untuk membuat review tentang novel yang 'independent' , saya tertanya-tanya apa itu novel yang 'independent'? Hakikatnya selama ini diri ini hanya 'membesar' bersama novel-novel cinta dari Alaf 21.Jadi,saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah novel terbitan Lejen Press yang bertajuk Nasi Kangkang. Kenapa saya memilih buku ini? Tajuknya sahaja sudah membuat saya tertanya-tanya malah dengan 'cover' hadapannya dan juga sinopsisnya membuat saya semakin teruja untuk membaca seterusnya membuat sedikit ulasan tentang novel ini. Dan yang paling menarik lagi tentang novel ini adalah penulisnya seorang anak muda yang berusia 20 tahun tetapi mempunyai bakat yang sangat besar dalam bidang penulisan. Syabas Azwar Kamaruzaman,awak sudah lakukan yang terbaik !

Secara ringkasnya, novel ini berkisarkan tentang Jannah atau lebih dikenali sebagai Jack yang merupakan seorang perempuan yang nakal dan juga berasal dari keluarga yang bermasalah. Suhaili pula yang lebih dikenali sebagai Su merupakan rakan baik Jack di mana dia sentiasa bersama Jack ketika susah mahupun senang kerana dia meminati Jack dalam diam. Saya minta para pembaca jangan terkejut pula kerana Su merupakan seorang lelaki dan bukannya seorang perempuan sepertimana namanya. Pada masa yang sama juga, Jack amat meminati Fahmie, iaitu rakan sekelasnya namun cintanya tidak pernah berbalas disebabkan Fahmie seorang lelaki yang alim dan kuat agama , berbeza pula dengan perwatakan Jack. Fahmie pula mencintai Badrina atau Ina yang berperwatakan alim dan ala-ala hipster. Rupa-rupanya Fahmie tidak bertepuk sebelah tangan apabila Ina menyatakan bahawa dia juga meminati Fahmie dan mengajak Fahmie berkahwin selepas mereka tamat peperiksaan akhir . Konflik mula berlaku apabila Jack cuba menggoda Fahmie dan Ina pula dihantui rasa cemburu dan takut kehilangan. Jadi, disebabkan perasaan cemburu yang meluap-luap,Ina mendapatkan nasihat dari ibunya namun ketika itulah rahsia keluarganya terbongkar. Maka, bermulalah kisah di mana Ina sanggup bertemu bomoh atas nasihat ibunya untuk memberi nasi kangkang kepada Fahmie agar Fahmie tunduk dan patuh pada setiap perintah dan arahannya. Manakala Jack pula ingin membalas dendam terhadap ayahnya yang pernah merogolnya di hadapan ibunya ketika dia masih bersekolah dengan cara menggunakan ilmu hitam. Dalam masa yang sama juga, Jack ingin menyelamatkan Fahmie, orang yang dicintainya dari ilmu hitam yang telah digunakan isterinya.

Keseluruhannya, saya amat tertarik dengan jalan cerita novel ini dimana penulis cuba menarik perhatian pembaca dengan konflik dan perwatakan yang unik seperti penonjolan watak anak muda yang mempunyai jiwa yang memberontak untuk memenuhi segala yang diimpikan. Hal ini dapat dilihat melalui watak Jack di mana dia mempunyai sikap balas dendam yang begitu tinggi sehingga tidak menghiraukan orang sekeliling mahupun hukum agama. Dari segi penceritaan pula,penulis menimbulkan beberapa konflik yang membentuk plot cerita. Antaranya ialah pertemuan antara Jack dan Fahmie untuk mengulangkaji pelajaran bersama yang mana menimbulkan perasaan cemburu kepada Ina. Plot cerita ini mula berubah menjadi konflik apabila Ina mula terpengaruh dengan cadangan uminya supaya menggunakan nasi kangkang bagi 'mengikat' Fahmie dan ini merupakan permulaan klimaks kepada cerita ini. Seterusnya, plot penceritaan ini bertambah menarik apabila saya sendiri tertanya-tanya apa yang akan berlaku apabila Jack cuba menyelamatakan Fahmie dari menjadi 'hamba' kepada isteri sendiri.

Di sini penulis cuba menonjolkan bahawa setiap insan di dunia ini mempunyai kelemahan yang tersendiri. Sebaik manapun ia diciptakan pasti ada kekurangannya tersendiri. Cantik diluar tidak semestinya cantik di dalam dan begitu jugalah sebaliknya. Begitulah yang terjadi kepada diri Ina yang mana luarannya tidak mencerminkan betapa busuknya dan hitamnya hati dia kerana telah mengambil kesempatan atas cinta sejati yang telah diberikan oleh Fahmie kepadanya.

Selain itu saya amat 'salute' akan penulis muda ini kerana gaya bahasa yang digunakan amat bersahaja dan mudah untuk difahami, namun perlu di ingatkan novel ini mungkin tidak sesuai untuk golongan yang masih bersekolah kerana gaya percakapannya agak kasar dan lepas. Sebagai contoh,penggunaan perkataan 'jantan' bagi menggantikan perkataan lelaki dan juga 'barua' yang memberi maksud suatu cacian atau makian. Di dalam novel ini juga dijelaskan bagaimana suatu hubungan cinta itu perlulah diakhiri dengan satu ikatan yang sah iaitu pernikahan di mana ia jelas digambarkan dalam watak Fahmie dan juga Ina yang ingin menyegerakan perkahwinan mereka agar perkara-perkara yang tidak elok dapat dielakkan.

Bagi diri ini yang dilahirkan sebagai seorang wanita yang bakal bergelar isteri dan ibu suatu hari nanti dengan izin-Nya, novel ini amatlah sesuai untuk dijadikan pedoman bagi menjadi seorang isteri yang solehah. Walaupun ayat yang digunakan agak kesat namun dalam masa yang sama juga novel ini amat baik kerana ia mengajar erti sebuah kehidupan yang perlu berlandaskan syariah Islam agar kita tidak terpesong dari agama dengan melakukan perbuatan syirik. Walau sejahat manapun insan yang bergelar ibu dan ayah itu terhadap kita, perasaan dendam itu tidak perlulah wujud di hati kerana ia akan memusnahkan diri kita kelak. Setiap umat Islam di dunia ini wajiblah percaya pada qada' dan qadar Illahi. Setiap apa yang berlaku itu pasti bersebab.

Pengakhiran novel ini bagi saya tidak mengecewakan kerana berlakunya kejadian yang amat tragis di mana akhirnya semua watak utama di dalam novel ini mati kecuali Su. Tetapi pengakhirannya agak mengelirukan kerana saya masih tertanya-tanya adakah Su memegang wasiat keluarga Ina ataupun tidak.
Pada hemat saya, mungkin novel ini mempunyai sambungannya pada masa akan datang dan kerana itulah penulis cuba membangkitkan persoalan dan tanda tanya kepada pembaca agar terus menjadi pembaca setia novel hasil karya Azwar Kamaruzaman. Bayangkan sahaja penulis yang berusia 20 tahun ini mampu berfikiran sejauh itu,pasti mengagumkan bukan?

Apapun saya berpuas hati dengan novel ini kerana ia mempunyai jalan cerita yang menarik yang berkaitan dengan kehidupan kita pada masa kini, menguji sejauh mana iman kita dan juga kepercayaan kita pada Tuhan yg satu.Akibat bertuhankan nafsu,dendam dan cinta,manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun mensyirikkan Tuhan demi memuaskan nafsu diri sendiri.


NUR FARAH NATASHA BINTI AHMAD TAMIZI
A12SC0100


7 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
kamariah kamarudin said...

TAJUK BUKU : WANITA KIMONO MERAH
PENULIS : SYAFIE MAHYANI
PENERBIT : LEGEN PRESS

Wanita Kimono Merah karya sulung penulia Syafie Mahyani terbitan Lejen Press, membawa genre seram dan mudah difahami sepanjang penceritaan. Saya memilih buku ini kerana saya merupakan peminat novel ‘thriller’. Namun karya yang menjadi pilihan saya selama ini hanyalah karya Ramlee Awang Mursyid hasil terbitan Alaf21. Pemilihan buku ini sebagai buku pertama saya dalam megenali Legen Press ini tidak mengecewakan. Bagi saya penulis-penulis bebas ini mempunyai identiti mereka yang tersendiri.

Perasaan seram yang cuba diketengahkan oleh penulis berjaya disampaikan dengan baik. Permulaan cerita sangat menarik yang membawa kepada permulaan dendam yang tiada pengakhiran. Hiruka, wanita kimono merah yang membunuh diri selepas anak dan suaminya dibunuh secara kejam dihadapannya oleh anak pemilik banglo yang mereka baru diami. Seterusnya Hiruka menghantui banglo tersebut sehingga lah di beli oleh seorang peragawati terkenal, Evelyn.

Dendam Hiruka membara apabila suami evelyn, Rizo mengadakan hubungan sulit bersama kekasih lamanya. Hiruka menjadikan ini penyebab baginya untuk membunuh Rizo dan kekasih lamanya itu. Hiruka menghantui Evelyn sehingga dia dikatakan gila. Konflik mula timbul apabila Evelyn mengetahui hubungan sulit suaminya melalui rakaman video yang dirakam oleh suaminya. Evelyn yang ketika itu berbadan dua telah terbawa emosi dan memilih untuk berjauhan dari suaminya. Rizo yang menyedari akan kesalahkannya itu membawa diri dan mengahwini kekasih lamanya. Hiruka menjadikan mereka sebagai target utama pembunuhan.

Di akhir penceritaan kurang menyenangkan apabila penulis lari dari penyebab awal Hiruka membunuh untuk membalas dendam. Plot berubah secara drastic apabila Hiruka dikatakan membunuh sesiapa sahaja yang pernah nampak kewujudannya. Hiruka membunuh semua orang yang rapat dengan Evelyn termasuk anaknya sendiri.

Secara peribadi, novel ini agak menarik dan tidak terikat kepada cerita cinta dan pengakhiran yang bahagia. Sangat disyorkan kepada pembaca-pembaca yang meminati novel-novel yang lebih mencabar dan tidak suka akan cerita yang terlalu berbunga dan romantis. Karya ini mendebarkan pembaca dengan cara-cara pembunuhan yang kejam dan diluar jangkaan. Kemunculan Hiruka sebagai watak pengerak cerita ini cukup menyeramkan dengan gambaran yang telah diketengahkan oleh penulis. Namun yang demikian, pengakhiran yang agak tergantung agak mengecewakan. Evelyn dilihat tiada kaitan dengan dendamnya dan merupakan sebuah cerita yang sangat berlainan dengan sejarah hidupnya yang membawa kepada dendam. Secara keseluruhan novel ini menarik.

-Siti Nurkamariah Binti Kamarudin
-A12SC0116

Unknown said...

Tajuk : Contengan Jalanan
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni

Contengan jalanan merupakan satu buku yang mampu menimbulkan satu inspirasi dari satu sudut yang bagi saya yang tidak disangka-sangka. Buku ini mampu membuka minda para pembaca tentang persoalan yang pernah terlintas di dalam hati namun persoalan itu akhirnya kita kuburkan tanpa jawapan.

Contengan jalanan menceritakan tentang dua watak utama iaitu Fend dan Ku Kumaruzzaman atau K2 yang merupakan sahabat karib sejak dari kecil sehinggalah ke universiti. Kedua-duanya berbakat dalam bidang seni lukis dan musik sehinggakan mereka mempunyai kumpulan band sendiri iaitu Creepy Hues. Erti Hidup pada mereka hanyalah musik, berus, kertas kanvas, kemera dan duit. Itulah yang Fend rasakan sehinggalah dia bertemu dengan seorang gadis yang bernama Lia. Ungkapan Lia yang membuat Fend mula berfikir apakah sebenarnya yang dikatakan hidup, "The man that decide to change at 12th hours but he dies in 11th hour".

Persoalan mengenai ungkapan itu menjadi mainan di dalam fikiran Fend, sehinggalah Chad, sepupu Fend mengajaknya ke Australia. Di sana bermulalah pencarian Fend dan Chad mengenai erti hidup dan apa yang menyebabkan mereka terasa kosong walaupun bagi mereka ada segalanya.

Pemergian Chad membuka mata Fend, dan perubahan pada diri Fend menjadi persoalan bagi K2. Apa yang menyebabkan Fend berubah 180 degree? itu menjadi persoalan bagi K2. Namun ketika Fend membawa K2 pergi bermusafir di Australia di tempat dia dan Chad pernah pergi dulu, K2 masih terpinga-pinga dengan apa yang Fend cuba sampaikan. Lalu dia cuba mencari jawapan dengan merantau ke Indonesia.

Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (al-quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benarMaha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu~al-Hadiid[57:9]

Saya tidak pernah sangka ada novel seperti ini

-Wan Muhammad Afiq bin Wan Muhamad Fauzan-
-A12SC0274-

12/3/2014

Unknown said...

Tajuk : Gergasi
Penulis : Khairul Nizam Khairani

Novel merupakan sebuah buku yang agak asing bagi saya kerana saya bukan pencinta novel. Ini merupakan novel pertama saya baca untuk dihayati dan seterusnya membuat sebuah “novel review”. “Independent Local Publisher”, satu isitilah yang pada mulanya sedikit pun tidak saya fahami. Penjelasan telah terungkai setelah kawan saya menerangkan dengan mendalam kepada saya. Pilihan buku yang telah saya buat ialah dari terbitan “FIXI”.

Memandangkan ini merupakan novel pertama yang akan saya hayati. Saya telah memilih sebuah novel yang bersesuaian dengan kehendak naluri saya. “Gergasi”, daripada segi tajuk sahaja ia telah membuatkan saya tertarik untuk membaca buku ini. Ini kerana saya telah menetapkan bahawa saya tidak akan memilih novel yang melibatkan percintaan. Tidak dinafikan bahawa novel ini juga turut mengandungi babak cinta tapi secara keseluruhannya penulis tidaklah menceritakan tentang cinta.

Novel ini mengisahkan tentang seorang pemuda yang bernama Rizal yang berupaya untuk berubah menjadi tentera sut perisai dengan bantuan sejenis alat yang dinamakan sebagai Device of Activator Armor Ninates (DEMON). Alat ini merupakan sejenis alat yang telah dicipta pada tamadun masa hadapan. Oleh kerana berlakunya kemalangan tidak diduga, alat ini telah menhasilkan “Worm Hole” yang menyebabkan pemilik alat tersebut telah kembali ke masa silam. Selang beberapa tahun selepas itu, alat itu telah menjadi artifak yang unik disimpan dalam sebuah muzium, kehadiran Rizal telah membuatkan alat itu menteleportasi kedalam badan Rizal kerana Rizal mempunyai DNA yang sama dengan pemilik asal alat tersebut iaitu Kapten Aman.

Banyak pergelutan telah berlaku disepanjang penceritaan novel ini. Musuh utamanya yang diceritakan ialah Hu Xien, dia merupakan seorang yang datang dari masa hadapan yang bermusuhan dengan Kapten Aman, oleh kerana Rizal mempunyai pertalian darah dengan Kapten Aman, Hu Xien menganggap dengan membunuh Rizal akan menyenangkan hatinya. Permusuhan antara Hu Xien dan Rizal telah melibatkan campur tangan Xing Sun Cheng dan Jade System Corporation, yang dimana mereka ini mempunyai agenda tersendiri disebalik bantuannya kepada Rizal. Ini membuatkan saya lebih meneliti setiap perkara yang berlaku yang menyumbang kepada pertempuran antara sesuatu pihak yang diceritakan dalam novel ini.

Mengenai kisah percintaan dalam novel ini, penulis menggambarkan cinta yang tulus ikhlas dari dalam diri seseorang. Penulis menceritakan tentang bagaimana cinta seseorang itu telah berpindah kepada orang lain disebabkan oleh sikap seseorang itu. Cik Nuraini yang pada mulanya menyayangi Rizal, tetapi cintanya telah berubah kepada sahabat karib Rizal, iaitu Anwar. Pada masa yang sama, Cik Regina yang merupakan ketua unit kepada Rizal dalam diam mula mencintai Rizal.

Keseluruhannya, novel ini memang sangat menarik kerana ia melibatkan teknologi canggih pada masa kini dan masa hadapan, boleh dikatakan ada gaya seperti cerita “Transformers” dan juga “RoboCop”. Penulis juga ingin memberi contoh bagaimana sifat-sifat menjadi rakan karib yang terbaik seperti yang dimainkan watak Rizal dan Anwar. Pengakhiran cerita ini juga amat menggembirakan, dimana Rizal telah berjaya dalam pertempurannya, dan juga pengakhiran cinta antara mereka, dimana Rizal bersama Cik Regina dan Anwar bersama Cik Nuraini.

Penulis juga telah berjaya menarik minat saya untuk membaca banyak lagi novel yang menarik.

Muhamad Hanis Bin Nasir
A12SC0088

edayahzaid said...

TAJUK BUKU: HILANG
PENULIS: DAYANG NOOR
PENERBIT: FIXI

Novel Hilang merupakan karya kedua dari Dayang Noor di bawah terbitan Fixi selepas novelnya yang pertama yang bertajuk “Jerat”. Novel ini merupakan sebuah novel penyiasatan yang boleh dikatakan ala-ala mengikut format penyiasatan Hollywood tetapi berlatarkan Malaysia. Di dalam novel ini, penulis menulis plot yang bergerak pantas yang menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk membaca helaian demi helaian sehingga tamat.

Sejak helaian pertama lagi pembaca telah diperkenalkan dengan watak utama, Shaziman, seorang jurulatih peribadi yang mempunyai kembar seiras yang bernama Ikhsan. Ikhsan hilang secara tiba-tiba tetapi kehilangannya tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana Shaziman khuatir nyawa adik kembarnya akan terancam. Oleh itu, Shaziman mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri dibantu oleh Jo, seorang penyiasat peribadi. Pada masa yang sama, pembaca juga diperkenalkan dengan Khairani, atau Kay, seorang pekerja Kilang yang diam-diam sebenarnya tahu tentang misteri kehilangan Ikhsan.

Pada awalnya, plot cerita ini agak mengelirukan kerana setiap bab diselang-selikan dengan plot kehilangan Ikhsan dan plot Khairani. Ketika itu saya tertanya-tanya apakah kaitannya Ikhsan dan Khairani kerana tiada satu fakta pun yang menunjukkan dua plot ini berkaitan. Tetapi yang menariknya, dua plot ini mula dicantumkan di pertengahan cerita. Watak Khairani mula muncul di plot kehilangan Ikhsan dan watak Ikhsan mula muncul di plot Khairani.

Pada pendapat saya, point utama yang ingin disampaikan dalam novel ini ialah mengenai konspirasi geng kongsi gelap. Jusoh, ketua kumpulan kongsi gelap tergamak memperdaya orang lain agar terikat dengan geng kongsi gelapnya dan tidak teragak-agak untuk mencacatkan atau lebih teruk lagi membunuh sesiapa sahaja yang mengkhianatinya. Khairani merupakan salah seorang yang terperdaya dan akhirnya terpaksa akur dengan setiap permintaan Jusoh untuk melakukan kegiatan-kegiatan haram seperti pengedaran dadah.

Penulis menamatkan kisah ini dengan ‘happy ending’ kerana Ikhsan Berjaya ditemui, Jusoh dan pengikut-pengikutnya berjaya diberkas serta Khairani bebas dari ‘penghambaannya’ kepada Jusoh. Namun begitu, saya kurang setuju dengan pengakhiran cerita di mana pihak polis bersetuju untuk memberi khairani ‘hidup baru’ kerana jasanya membantu pihak polis untuk memberkas Jusoh. Khairani telah menukar namanya kepada Khalida Azwa dan dia gemar melancong bagi mengelakkan dirinya diburu oleh geng Jusoh. Bagi saya, Khairani juga patut dipenjara kerana dia telah bersubahat dengan Jusoh dalam melakukan kegiatan-kegiatan haram tersebut.

Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan novel ini kerana jalan penceritaannya yang unik. Misteri kehilangan Ikhsan disimpan dengan kemas sehingga helaian yang terakhir. Dengan gaya bahasanya yang santai, kisah Shaziman, Jo dan Khairani telah berjaya saya sudahi dalam waktu yang singkat. Novel ini sangat berbeza dari novel-novel cinta yang selama ini saya gemari. Nampaknya Dayang Noor telah berjaya menarik minat saya untuk membaca lebih banyak novel-novel seperti ini :)

Nurhidayah binti Zaid
A12SC0105

Rashid Admon said...

TAJUK BUKU : MURTAD
PENULIS : HASRUL RIZWAN
PENERBIT : FIXI


Novel ‘Murtad’ karya Hasrul Rizwan telah berjaya mengubah persepsi saya sebagai pembaca yang pada mulanya meragui dengan tajuk buku ini. Bertemakan urban dan kontemporari, ianya berkisarkan tentang kembar adik-beradik yang ditugaskan untuk mengakhiri riwayat bagi setiap golongan murtad yang hanyut dalam arus duniawi. Adam dan Akhil merupakan watak kembar tersebut, berasal daripada utara dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan setelah beberapa bulan kematian ibu mereka. Ayah mereka pula telah lama meninggalkan mereka sebelum mereka lahir lagi. Walaupun tidak mendapat kasih sayang daripada seorang ayah, keadaan ini menjadikan mereka lebih mengenal erti kesusahan dan kepayahan.

Dunia hiruk pikuk Kuala Lumpur telah menjadi simbol kepada kesibukan kota yang mereka berada ketika itu. Permulaan kehidupan mereka di sana, mereka sempat menyelamatkan insan-insan yang dalam bahaya dan daripada setiap kejadian tersebut telah diperhatikan oleh seorang individu yang berjubah dan berkopiah yang dirahsiakan pada awal permulaan penceritaan. Sehingga suatu masa mereka berehat di sebuah masjid. Individu yang berpenampilan jubah mengambil kesempatan untuk meninggalkan kad hitam tertera syahadah yang bertulis jawi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Perjalanan hidup mereka kemudiannya terlakar suka dan duka apabila menerima pekerjaan sebagai pembunuh upahan untuk membunuh orang-orang murtad di sekitar Kuala Lumpur setelah mereka ini semuanya telah diberi enam kali teguran untuk bertaubat. Lelaki yang berjubah itu dikenali dengan Mr.T telah memberikan pekerjaan sedemikian dan menyediakan kelengkapan untuk membunuh golongan-golongan yang murtad ini di samping upah yang lumayan. Tugas mereka hanya menembak orang-orang yang murtad mengikut nama yang telah dihantar kepada mereka.

Pelbagai jenis manusia yang dihadapi mereka berdua menjadikan mereka sudah mahir menggunakan pistol dan darah sebagai suatu perkara yang biasa. Namun begitu pengarang tidak lupa kepada elemen percintaan dalam novel ini. Adam telah menyelamatkan Maria dalam kebakaran dan sejak daripada itu dia tertanya-tanya gerangan jejaka yang menyelamatkannya. Hubungan mereka makin rapat dan daripada situlah pengarang meletakkan posisi Ghous sebagai ayah Maria yang mana merupakan orang terakhir yang murtad bakal dibunuh oleh mereka berdua. Manakala Akhil yang dipertemukan dengan Zulaikha dalam suatu malam yang tragis apabila Zulaikha hampir diperkosa oleh orang suruhan Ghous iaitu DInggo.

Kemuncak kepada cerita dalam buku ini apabila berlaku pergelutan di rumah Ghous dan Maria pun terbunuh. Pada hari tersebut itu juga Adam mengetahui bahawa Mr T atau Talha adalah ayahnya dan dialah yang mengupah anaknya berdua sebelum ini. Ayahnya dibunuh. Tidak cukup dengan itu, Ghous menculik Zulaikha dan adiknya manakala ayahnya Pak Razak dibunuh di tangan Ghous. Adam dan Akhil datang menyelamatkan mereka dan akhirnya Ghous mati dibunuh di tangan Zulaikha sebanyak empat das tembakan setelah berlaku pergaduhan dan pergelutan antara Adam, Akhil dan orang suruhannya yang masih hidup.

Pengajaran daripada buku ini adalah seharusnya kita tidak boleh membuat undang-undang sendiri kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Apa yang dilakukan Adam dan Akhil itu bukan dengan cara yang sepatutnya malah membahayakan diri mereka. Gejala murtad dan gerakannya juga semakin berleluasa seperti yang digambarkan pengarang. Umat islam seharusnya mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam supaya tidak tersesat jauh.

MOHD RASHID BIN ADMON
A12SC0087

Nur Asyiqin said...

Novel : MURTAD
Penulis : Hasrul Rizwan
Terbitan : FIXI

Novel terbitan FIXI adalah novel ‘independent publisher’ yang pertama saya baca. Sebelum ini saya lebih gemar membaca buku-buku novel bergenre ‘thriller’ karya Ramlee Awang Murshid terbitan Alaf 21. Memandangkan ini adalah percubaan pertama saya dalam membaca novel terbitan FIXI ini, ternyata ianya tidak mengecewakan saya. Malah saya lebih tertarik dan kagum dengan hasil karya penulis yang memilih untuk menerbitkan novel ini di bawah ‘independent publisher’.

Murtad. Pasti anda menganggap novel ini menceritakan kisah orang-orang yang murtad, bukan? Sebenarnya tidak. Novel ini mengisahkan tentang sepasang kembar seiras, Adam dan Akhil yang ditugaskan untuk membunuh orang-orang yang murtad. Hebat, bukan?

Kisah mereka bermula apabila mereka ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Namun, mereka diperlekehkan apabila Adam bertanya di mana terletaknya surau di syarikat itu. Akhirnya Adam berang lalu nekad untuk tidak bekerja di syarikat itu yang langsung tidak menitikberatkan nilai-nilai Islam. Dalam perjalanan yang buntu sama ada ingin pulang ke kampung atau cari pekerjaan yang lain, mereka telah bergelut dengan sekumpulan lelaki yang sedang membelasah seorang wanita di sebuah lorong. Di lorong itulah mereka telah diperhatikan oleh seorang lelaki berjubah yang mempunyai satu agenda tersendiri.

Sekeping kad hitam yang pelik tertulis kalimah syahadah dan alamat membuatkan mereka berfikir sejenak. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk ke tempat tersebut. Di situlah bermulanya kerjaya mereka sebagai pembunuh upahan yang membunuh bukan calang-calang orang tetapi orang-orang yang murtad. Segala maklumat mengenai orang-orang yang murtad itu akan diberikan oleh Mr. T yang langsung mereka tak pernah bersua muka. Sebelum Adam dan Akhil melaksanakan kerja-kerja itu, kesemua orang yang murtad ini akan didatangi oleh Mr. T supaya kembali ke jalan Allah sebanyak enam kali. Adam dan Akhil mengambil alih untuk kali yang ketujuh untuk menamatkan riwayat mereka yang tidak ingin ke pangkal jalan.

Hidup mereka hanya dipenuhi dengan cabaran dan darah selama enam tahun mereka melakukan kerja tersebut. Sehinggalah sampai pada satu tahap, Akhil merasa hidupnya kosong kerana tidak bisa menjalankan kehidupan seharian seperti manusia lain. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menyelesaikan tugas mereka yang terakhir sebelum mereka bersara iaitu dengan membunuh Ghous yang merupakan seorang murtad yang sangat tegar dan telah berjaya menyesatkan ramai orang Islam.

Ternyata ianya bukan satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran harus dilalui sehingga mengorbankan ayah mereka sendiri iaitu Talhah. Selepas pelbagai pergelutan akhirnya nyawa Ghous disudahi oleh Zulaikha, seorang gadis yang kematian bapanya disebabkan Ghous. Akhirnya Adam dan Akhil memulakan hidup baru di negeri kelahiran mereka bersama Zulaikha dan adiknya, Anis.

Secara keseluruhannya, novel ini sangat mengujakan saya dan sekali-sekala membuatkan saya gentar disebabkan cara penulis menjelaskan keadaan pergelutan yang sangat ‘real’ contohnya bagaimana darah terpercik dan sebagainya. Novel ini telah membuka minda saya tentang gejala murtad yang mungkin telah banyak berleluasa di negara kita ini. Pada pendapat saya, penulis ingin mengetengahkan hukuman yang sepatutnya di terima oleh seorang yang murtad tetapi tidak diletakkan dalam undang-undang sehinggalah watak Adam dan Akhil yang menjalankan hukuman mereka sendiri tanpa mengikut syariat yang sebenar.

Namun begitu, terdapat beberapa ’typo’ dan kekeliruan penulis dalam novel ini tentang watak Adam dan Akhil. Kesilapan-kesilapan kecil tersebut masih tidak menutup kehebatan penulisan ini kerana masih ada persoalan yang belum terjawab di akhir cerita ini. Sambungan daripada novel ini adalah TUHAN yang mungkin akan menjelaskan persoalan watak Joe yang sepatutnya telah mati dibunuh oleh Akhil tetapi telah muncul kembali.

NUR ASYIQIN BINTI MOHD NASARRUDDIN
A12SC0098