Thursday, 22 May 2014


Bismillah, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Filem Pulp Fiction arahan Quentin Tarantino yang dibintangi oleh John Travolta, Samuel L. Jackson dan ramai lagi artis ternama yang ditayangkan pada tahun 1994 mengisahkan tiga babak yang berlainan tetapi di akhir cerita, akan ada kaitan antara ketiga-tiga babak yang dipersembahkan. Antara watak-watak yang terdapat dalam cerita ini adalah Vincent Vega, Jules Winnfield, Marsellus Wallace, Mia Wallace dan ramai lagi. Pulp Fiction mengisahkan Vincent dan Jules merupakan pembunuh upahan yang diarahkan untuk mencari briefcase yang dicuri. Vincent yang mendapat arahan daripada bosnya, Marsellus Wallace untuk menjaga isterinya, Mia Wallace dan menemani dia keluar untuk beberapa hari. Keseluruhan cerita ini mempunyai jalan cerita yang unik dan jarang-jarang difikirkan oleh orang lain dan mungkin mendapat tempat di hati penonton. Filem thriller ini banyak mengetengahkan tembak-menembak. Satu babak yang sangat memberi kesan kepada saya adlah babak di mana Vincent tertembak seorang budak secara tidak sengaja menyebabkan otaknya berkecai. Ini menunjukkan 'Violence' yang melampau.
Jika dibandingkan dengan cerita-cerita di Malaysia, mungkin tidak sehebat dan setanding dengan watak-watak yang dimainkan dalam filem ini, tetapi cerita-cerita di Malaysia masih lagi mengetengahkan adab-adab ketimuran yang penuh sopan santun dan tidak menggunakan unsur-unsur ganas yang melampau supaya mengekalkan ciri-ciri ketimuran dalam diri masyarakat Malaysia. Penggunaan kata-kata yang penuh dengan caci maki dan penghinaan sangatlah banyak di dalam filem ini.
Secara keseluruhannya, saya merasakan cerita sebegini tidak sepatutnya ditayangkan di Malaysia atas dasar adanya unsur-unsur kekejaman yang melampau.  Namun tidak dapat dinafikan, jalan cerita yang unik boleh dijadikan rujukan pada setiap pengarah untuk menghasilkan filem seperti ini yang berjaya mengaitkan ketiga-tiga babak yang diketengahkan.


NADRAH BINTI RAMLI (A12SC0092)

MOVIE REVIEW : SEVEN SAMURAI



TAJUK FILEM:  SEVEN SAMURAI (1954)
ARAHAN:  AKIRA KUROSAWA
Durasi: 207 minit 


 Assalamulaikum dan selamat sejahtera, alhamdulillah, akhirnya saya telah memilih untuk membuat movie review tentang Seven Samurai.

              Seven samurai merupakan sebuah filem Jepun bergenre aksi dan thriller.  Filem ini  berlatarbelakangkan kehidupan dan budaya masyarakat Jepun kuno yang mempunyai kasta tersendiri  iaitu pada tahun 1954. Wayang hitam-putih yang dipamerkan dalam filem ini menunjukkan bahawa filem ini merupakan filem yang agak kuno tetapi mampu untuk diiktiraf diperingkat antarabangsa.

            Filem ini mengisahkan tentang samurai-samurai yang sebelumnya merupakan pengawal istana tetapi sesuatu perkara telah berlaku yang menyebabkan samurai-samurai ini tidak mempunyai pekerjaan dan sanggup bekerja di kawasan kampung demi sesuap nasi. Menurut tamadun kuno Jepun, golongan petani dan samurai tidak dibenarkan untuk bergaul sesama mereka disebabkan kasta yang berlainan. Filem ini  secara tidak langsung menunjukkan bagaimana  samurai dan golongan kampung yang berlainan kasta masih boleh bersatu dalam menentang perompak.

Demi mempertahankan kampung mereka daripada diserang perompak, Gisaku iaitu seorang ketua kampong tersebut mencadangkan supaya mencari beberapa Samurai yang boleh membantu mereka.  Akhirnya, seorang wakil kepada kampung tersebut, Rikichi  telah berjaya mencari tujuh orang samurai yang bersedia untuk membantu menentang perompak yang diketuai oleh Kambei Shimada. 

Pada mulanya, kehadiran ketujuh-tujuh samurai ini tidak disambut oleh orang kampung tersebut disebabkan trauma  penduduk kampung yang pernah ditentang oleh golongan samurai. Setelah diyakinkan, akhirnya penduduk kampong bersedia untuk bekerjasama dengan samurai demi menentang perompak. Bermula dari itulah, masyarakat petani yang langsung tidak mempunyai keberanian untuk berperang, akhirnya bersedia untuk berperang melalui tunjuk ajar samurai-samurai tersebut. 

Filem ini juga ada mempamerkan unsur percintaan antara samurai Katsushiro Okamoto dan Shino, anak perempuan kepada seorang petani. Walaubagaimanapun, percintaan mereka terhalang disebabkan perbezaan kasta. Pada pengakhiran cerita ini, kejayaan telah menyebelahi penduduk kampung yang berjaya mengalahkan kumpulan perompak hasil daripada tunjuk ajar samurai-samurai namun  empat orang samurai telah terkorban dalam pertempuran tersebut.

Secara keseluruhannya, filem ini agak menarik dan sedikit sebanyak mengajar saya tentang beberapa kasta dalam tamadun Jepun kuno. Saya juga dapat melihat bahawa sikap rakyat Jepun yang sangat menghormati samurai yang terkorban iaitu dengan berlutut menunduk hormat. Walaubagaimana pun, terdapat beberapa adegan yang tidak senonoh dipaparkan dan ianya tidak sesuai ditonton oleh penonton di bawah 18 disebabkan cerita ini yang berlatarbelakangkan tahun 1950-an. 


-NUR ASYIQIN BINTI MOHD NASARRUDDIN-
A12SC0098

Movie Review: Goodfellas (1990)



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Filem Goodfellas arahan Martin Scorsese mengisahkan kehidupan sekumpulan gangster pada zaman 1970-an. Watak utama, Henry telah bercita-cita untuk menjadi seorang gangster sejak kanak-kanak lagi. Dia merasakan menjadi seorang gangster sangat menyeronokkan kerana tiada siapa, termasuk pihak polis yang dapat menahan perbuatan-perbuatan ganas mereka.

Saya merasakan cerita ini agak menggerunkan kerana terdapat banyak babak-babak pembunuhan. Apabila penjahat-penjahat ini tidak berpuas hati dengan seseorang, mereka akan terus mengeluarkan pistol lalu menembak orang tersebut. Sebagai contoh, terdapat satu babak di mana Tommy tidak berpuas hati dengan layanan teruk seorang pelayan di restoran lalu terus menembak pelayan itu sehingga mati. Selain itu, terdapat juga babak-babak pembunuhan sesama rakan samseng. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak akan merasa ragu-ragu untuk membunuh sesiapa sahaja yang tidak memuaskan hati mereka, termasuk rakan seperjuangan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, cerita ini menceritakan tentang kehidupan seorang samseng. Bagi saya, kehidupan seorang samseng langsung tidak membahagiakan kerana mereka mencari rezeki dengan cara yang haram. Membunuh, merompak, memeras ugut dan mengedar dadah adalah antara cara mereka memperolehi wang. Karen, isteri Henry pada mulanya sangat teruja apabila hampir semua tetamu menghulurkan hadiah wang kepada meraka pada hari perkahwinan mereka. Realitinya, wang tersebut adalah bagi menyelamatkan nyawa mereka agar tidak menjadi mangsa keganasan Henry dan kuncu-kuncunya.

Tambahan pula, saya sangat bersimpati dengan watak Karen. Karen mengahwini Henry tanpa mengetahui bahawa Henry terlibat dalam kumpulan samseng. Karen juga selalu dicederakan oleh Henry. Karen seorang yang kuat cemburu dan dia sangat marah apabila mengetahui bahawa Henry mempunyai perempuan simpanan iaitu Janice Rossi. Namun begitu, Karen tetap menerima Henry kerana cintanya kepada Henry. Karen turut membantu suaminya itu dalam kegiatan mengedar dadah. Bagi saya, antara cinta kan keselamatan diri, keselamatan diri perlu diutamakan terlebih dahulu. Karen tidak patut pulang ke pangkuan suaminya dan sepatutnya terus melarikan diri bersama anak-anak untuk tujuan keselamatan.

Secara keseluruhannya, cerita ini sangat menarik dan wajar ditonton oleh anak-anak muda agar mereka mengetahui realiti kehidupan samseng yang penuh dengan keganasan dan tidak wajar dicontohi. Namun begitu, babak-babak pembunuhan sepatutnya dikurangkan kerana babak-babak tersebut sangat mengganggu minda saya kerana ianya sangat menakutkan.

Nurhidayah binti Zaid
A12SC0105

Wednesday, 21 May 2014

Film Review on Pulp Fiction


ASSALAMMUALAIKUM,
                Saya telah memilih filem Pulp Fiction. Filem ini telah diarahkan oleh Quentin Tarantino.Filem ini juga telah diterbitkan pada tahun 1994. Ramai watak-watak penting yang ditekankan dalam menghidupkan perjalanan cerita ini. Antaranya watak Vincent Vega,  Jules Winnfield, Mia Wallace, Marsellus Wallace, Butch Coolidge dan lain-lain lagi. Vincent dan Jules merupakan pembunuh upahan yang sedang dalam misi mencari koper yang telah dicuri dari bos mereka iaitu Marsellus Wallace. Sementara itu, Marsellus yang berada di luar kota telah meminta Vincent untuk menjaga isterinya, Mia Wallace dan membawanya keluar untuk beberapa hari. Sementara itu, Butch Coolidge, seorang peninju telah dibayar oleh Marsellus untuk kalah dalam pertarungan terakhirnya. Disebabkan Butch telah membunuh lawannya, dia harus melarikan diri dari Marsellus.
                Secara keseluruhannya, cerita ini banyak memaparkan aksi-aksi yang menarik. Ada babak kelakar, tegas, takut, suspen dan lain-lain lagi. Antara aksi yang menarik perhatian saya ialah babak di mana Vincent harus mencucuk jarum ke dada Mia untuk menyelamatkannya kerana mengambil dadah dalam dos yang berlebihan. Saya merasakan babak ini sangat menarik kerana unsur suspen yang diketengahkan. Selain daripada itu, saya juga meminati babak menari antara Mia dan Vincent. Ini kerana penggunaan latar belakang lagu dan cara tarian pelakon-pelakon agak menarik perhatian saya.
                Walaupun filem ini menarik untuk ditonton, tetapi pada pendapat saya, ada jugak kekurangannya. Penggunaan bahasa yang kasar dalam cerita ini sangat tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Ini mungkin boleh menjadi ikutan kanak-kanak sekarang. Selain itu, cerita ini juga mempunyai plot yang tidak linear menyebabkan saya susah untuk memahami jalan cerita ini.
BY :
NOOREHAN BINTI YAACOB

A12SC0093

Tajuk : Pulp Fiction
Pengarah : Quentin Tarantino
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, setelah sekian lama menimang tara kelima-lima movie yang disyorkan, akhirnya “PULP FICTION” menjadi pilihan saya.  Hasil karya Quentin Tarantino yang mula ditayangkan pada 23 September 1994 di USA dalam tempoh masa 154 minit.  Filem ini bertemakan ‘action, crime and thriller’ yang dilakonkan oleh Samuel L. Jackson (Jules Winnfield), John Travolta (Vincent Vega), Uma Thurman (Mia Wallace) dan ramai lagi.

              Filem ini mengisahkan Vincent Vega dan Jules Winnfield yang merupakan pembunuh upahan yang ditugaskan oleh majikan mereka, Marcellus Wallace bagi mendapatkan briefcase yang telah dicuri.  Pelbagai kisah menarik dan aksi yang ditonjolkan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika Vincent dan Jules menjalankan tugas.  Filem ini dimulakan dengan babak rompakan sebuah restoran oleh perompak amatur.  Namun, kes rompakan ini kurang berjaya kerana Vincent dan Jules turut berada di tempat kejadian.  Selain itu, terselit jugak babak komedi seperti Butch tertembak Vincent gara-gara terkejut apabila pembakar roti mengeluarkan bunyi ‘ktinggg’.  Pulp Fiction turut mengisahkan filem yang berunsurkan keberanian, penggunaan dadah yang berlebihan dan nilai sentimental seperti jam tangan turun-menurun.  Terdapat  tiga babak yang ditayangkan, antaranya Coffee Shop, The Gold Watch dan The Bonnie Situation. Kesemua babak ini mempunyai mesej yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh Pengarah.

Secara keseluruhannya, filem ini membosankan kerana jalan penceritaan yang tidak teratur dan saya tidak dapat mengaitkan apa motif yang cuba disampaikan oleh pengarah filem. Walaupun, filem ini telah mendapat anugerah di Festival Filem Cannes, ia tetap membosankan bagi saya kerana filem ini tidak selari dengan tema yang diketengahkan iaitu ‘action, crime and thriller’ dan pelakon banyak berborak. Penggunaan bahasa yang agak keterlaluan dengan caci maki menunjukkan kehidupan orang Barat yang sememangnya sebegitu.

NURUL IZZATI BINTI MUHAMMAD

A12SC0111


Filem “Munich” yang diarahkan oleh pengarah terkenal iaitu Steven Spielberg adalah salah satu filem yang memberikan kelainan berbanding filem-filem yang pernah saya tonton sebelum ini. Filem ini diilhamkan daripada kisah benar dan menjadi perdebatan hangat tentang kesahihan sebenar jalan cerita sejarah tersebut. Hal ini menyebabkan ianya menjadi kurang terkenal berbanding filem-filem karya Steven yang lain. Berdurasi selama 2 jam 44 minit, saya memberikan gambaran keseluruhan bahawa filem ini adalah bersifat politik, mengandungi unsur-unsur kekejaman, balas dendam dan grafik yang tidak sesuai untuk dijadikan tayangan umum.

Filem ini telah mementaskan kejadian penculikan dan pembunuhan beberapa orang atlet Israel oleh sekelompok terroris Palestin ketika Sukan Olimpik di Jerman. Rentetan daripada peristiwa tersebut, pasukan rahsia Israel telah diperintahkan untuk mencari dan membunuh  sekumpulan anggota yang dikenali sebagai “Black September” yang dianggap bertangunggjawab di atas kejadian tersebut.  Pasukan Israel itu terdiri daripada lima orang di Switzerland yang diketuai oleh Avner, yang dilantik oleh Perdana Menteri Israel, Golda Meir. Empat orang yang lain adalah Steve, seorang pemandu Afrika Selatan, Hans, pemalsu dokumen dari Franfruit, Robert, pembuat bahan letupan Belgium dan Carl, seorang tentera bekas Israel. Namun, Avner secara rasmi meletakkan jawatan dari Mossad dan dan tidak mempunyai hubungan dengan kerajaan Israel atas sebab-sebab tertentu. Dengan Inisiatif mereka sendiri, melantik Louis sebagai pembantu untuk menjejaki kumpulan pengganas yang terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Pelbagai siri penjejakan dan pembunuhan yang dilakukan oleh operasi pasukan Israel ini. Namun pada titik pengakhiran cerita ini, pasukan tersebut membincangkan keseluruhan misi yang dianggap sia-sia bagi mereka. Hans akhirnya ditemui mati tanpa sebab-sebab yang diterangkan dan Robert terbunuh dalam letupan bengkel beliau . Avner kemudian bergerak ke New York untuk bersatu dengan isteri dan anak-anak mereka.


Filem ini banyak unsur-unsur keganasan yang mana tidak sesuai untuk ditonton oleh mereka yang berusia 18 tahun kebawah. Di samping penyelitan unsur-unsur grafik yang tidak sepatutnya ada sebenarnyabercanggah dengan moral masyarakat kita, ianya tidak disarankan ditayangkan di Malaysia. Tambahan lagi, filem ini melibatkan pergaduhan antara orang Yahudi dan orang Arab yang boleh menimbulkan kesalahfahaman tentang kejadian yang sebenar berlaku dan tidak sesuai untuk keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.  Seharusnya filem-filem sebegini adalah lebih baik disekat agar lebih banyak lagi filem-filem yang bertemakan kasih sayang dan keharmonian dapat dipertontonkan di negara kita ini. 


MOHD RASHID BIN ADMON
A12SC0087


Assalamualaikum dan salam sejahtera. 
  Filem “Pulp Fiction” menarik perhatian saya untuk untuk dijadikan kajian filem. Satu persoalan yang terlintas di pemikiran saya ialah apakah yang dimaksudkan dengan filem ‘pulp fiction’. Jadi untuk merungkai persoalan itu, saya membuat rujukan bahawa ‘pulp fiction’ ini didefinasikan sebagai komedi mengenai darah, keberanian, keganasan, seks aneh, dadah, pergaduhan tetap, pelupusan mayat, mengangkat tema kulit, dan jam tangan yang membuat satu perjalanan yang gelap ke bawah melalui generasi (sumber daripada Roger Ebert). 
  Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Quentin Tarantino. Durasi filem ini 154 minit dan barisan pelakon juga tidak terkecuali hebatnya iaitu John Travolta, Uma Thurman, Samuel L. Jackson, Harvey Keitel dan lain-lain. Filem  ini sedikit berbeza jalan penceritaan dengan filem-filem iaitu jalan ceritanya tidak linear. Bagi saya, cerita ini tidak perlu dilihat dengan dahi berkerut, ceritanya amat ringkas dan boleh digambarkan dengan sebuah buku yang mempunyai tiga bab iaitu dimulakan dengan prolog, 3 tajuk utama tetapi ceritanya berkaitan satu sama lain dan juga epilog.
  Sedikit ringkasan tentang filem ini ialah pada prolog dan epilognya diselitkan dengan pasangan Pumpkin dan Honey Bunny yang membuat perancangan untuk merompak “Coffee Shop” dengan cara yang mudah tanpa ada risiko membunuh dengan membandingkan kemungkinan yang akan terjadi jika mereka merompak di bank atau kedai bar. Pada bab pertama iaitu “Vincent Vega and Marcellus Wallace’s Wife” mengisahkan Vincent yang perlu menemani isteri bosnya makan malam. Sepanjang makan malam Vincent telah melakukan tugasnya dengan baik tetapi sebelum pengakhirannya isteri bosnya telah terlebih menghisap heroin dan menyebabkan Vincent dalam terperangkap pada malam itu untuk menyelamatkan isteri bosnya.
  Bab yang kedua, “ The Gold Watch” berfokus pada watak Butch iaitu seorang petinju yang telah menipu Marsellus dalam menolak kekalahan dalam pertandingan tinju dan menyebabakan Butch dikejar oleh pengikut-pengikut Marcellus. Selain itu, turut diselitkan betapa pentingnya jam emas bagi Butch kerana kesusahan ayahnya untuk menyampaikan jam emas itu kepadanya yang menjadi turun temurun bagi keluargannya. Bab yang terakhir ialah “The Bonnie Situation”yang mengaitkan watak Vincent dan Jules serta sahabat baik Jules iaitu Jimmy. Kedatangan Vincent dan Jules ke rumah Jimmy telah menghuru harakan Jimmy kerana Vincent dan Jules telah membawa mayat ke garaj rumah Jimmy pada pagi hari. Ini membuat Jimmy panik kerana bimbang dengan isterinya Bonnie yang akan pulang pada pukul 11.30 pagi tetapi kes ini telah diselamatkan dengan idea Mr. Wolf.
  Pada pandangan saya, cerita ini sedikit memberikan sindiran pada sesuatu keadaan. Contohnya terjadi pada watak Marsellus Wallace yang pada mulanya digambarkan seorang bos yang bengis dan menakutkan tetapi perwatakkanya terus jatuh dengan diperkosa oleh dua orang lelaki di suatu kedai dan ini digambarkan bahawa watak seorang bos gengster senang dipermalukan dengan adegan tersebut. Seterusnya, adegan Vincent dan Jules yang nampak profesional dan sempurna dalam melakukan kerja tetapi telah diarahkan untuk membersihkan serpihan-serpihan otak di dalam kereta. Ini mengganggu watak seorang pembunuh upahan yang nampak berkaliber tetapi disuruh membuat kerja yang tidak padan dengan imejnya. 
  Secara kesimpulannya, filem “Pulp Fiction” ini tidak memberatkan kepala dan mempunyai humour yang terkandung mesejnya sendiri. Tetapi pengunaan katanya sangat perlu diambil beratkan kerana banyak pergunaan kata yang tidak elok, contohnya fu**,motherfu**** dan sebagainya. Selain itu, adegan ranjang yang membuat anda menutup mata atau “forward 20 seconds”untuk terus mengsucikan otak anda perlu diambil perhatian agar anda berwaspada tentang adegan ini. Jadi, secara keseluruhannya filem ini tidak membuat saya menutup mata di tengah jalan dan ada mesejnya yang tersendiri.

-NUR FATHIAH BT MOHD SAKIAM-
-A12SC0102-

GOODFELLAS (MARTIN SCORSESE)

Goodfellas, filem arahan Martin Scorsese merupakan sebuah filem yang berdasarkan kisah benar. Filem ini juga berlatarbelakangkan New York pada tahun 1970. Filem ini juga ditayangkan seperti sebuah diari kerana dari awal filem, ada suara latar yang mengiringi. Secara keseluruhannya, filem ini mengisahkan tentang kehidupan seorang gangster. Bermula dari zaman kanak-kanaknya, Henry (Ray Liotta) bercita-cita untuk menjadi seorang gangster. Hal ini kerana terpengaruh dengan kehidupan di sekelilingnya yang menunjukkan bahawa anggota polis pun tidak dapat membendung kegiatan tidak bermoral golongan tersebut.

Permulaan cerita ini agak mengejutkan apabila dipaparkan dengan babak melarikan mangsa bunuh menggunakan kereta Henry pada tengah malam. Kemudian diikuti dengan babak ulang tayang mengenai bagaimana Henry boleh terjebak dalam gejala gangsterism. Sehingga dia berkahwin dan mempunyai dua orang anak, kehidupan Henry sangat mewah. Malah, pernah sekali Henry dimasukkan ke dalam penjara. Namun, perkara tersebut tidak langsung memberi kesan kepada Henry untuk berhenti atau insaf. Pengakhiran filem ini pula agak menarik apabila Henry akhirnya insaf dan menjadi saksi kepada konspirasi yang pernah dilakukannya.

Keseluruhan cerita ini agak menarik kerana mendedahkan pergaulan dan kehidupan sebenar dalam kalangan gangster. Filem seperti ini juga memaparkan budaya Barat yang bercanggah dengan budaya di Timur. Sepanjang dua jam lebih saya  menonton filem ini, ada beberapa perkara yang perlu saya fikir semula untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

NURUL IZZATI BINTI GHAZALI
930926015144

Movie Review: Pulp Fiction




PULP FICTION


Pulp fiction adalah sebuah filem karya sutradara Tarantino , yang menulis naskhah cerita filem tersebut bersama Roger Avary . Saya amat tertarik dengan filem ini kerana dialog-dialognya yang kaya dan menggunakan kosa kata yang unik campuran humor dan kekerasan ironis dan maksudnya berbagai refrensi filem dan kebudayaan pop . Cerita ini berkisarkan Vincent Vega dan Jules Winnfield adalah dua orang pembunuh yang sedang dalam misi memburu sebuah koper yang isinya telah dicuri dari bos mereka , iaitu Marsellus Wallace . Marsellus sedang ‘dinas’ ke luar kota dann meminta Vincent menjaga isterinya iaitu Mia dengan mengajaknya pergi . Butch Coolidge adalah seorang petinju yang berurusan dengan Marsellus dan disuruh kalah dalam pertarungan terakhirnya . Ketika Butch akhirnya malah membunuh petinju lawannya , dia harus lari dari Marsellus . Pumpkin dan honey Bunny adalah dua orang pencuri yang memutuskan untuk mencuri di tempat mereka makan .
Filem ini bagi saya adalah aneh sebab ditampilkan dalam beberapa sub judul . Yang pada semuanya sulit dicari hubungannya .
Kesimpulannya , file mini bagus untuk orang yang tidak merasa bosan . Oleh itu file mini amat dekat dengan saya kerana saya dapat  menilai file mini dengan sebaiknya .

MUHAMMAD AIMAN RIFDI BIN ARIFIN
A12SC0089
Movie review: Apocalypse Now

Pengarah Francis Ford Coppola

            Kisahnya bermula dari Kapten Williard ( martin Sheen) dalah seorang veteran di kesatuan U.S. Army mendapat tugas rahsia dari Kolonel Lucas ( Harisson Ford ) untuk menangkap seorang perwira yang membelot bernama kapten Walter E. Kurtz ( Marlon Brando ) yang bersembunyi di sebuah kawasan pedalaman di Kemboja . Dengan dibantu oleh beberapa tentera yang dianggap berani dan gila , Leftenan Killgore ( Robert Duvall ) , Miller ( Laurence Fisburne ) , Lance ( Sam Bottoms ) , mereka menjelajah pendalaman rimba Vietnam melalui jalan sungai Selain menghadapi alam yang ganas mereka harus menghadapi serangan dari tentera Vietnam dan yang paling berat mereka harus menghadapi Kapten Kurtz seorang perwira yang sangat bijak lulusan Universiti Harvard yang pada awalnya disiapkan untuk menjadi seorang jeneral di ketenteraan Amerika Syarikat tapi Kurtz lebih memilih tinggal di kawasan pedalaman Kemboja dan di dewakan oleh penduduk setempat .

            Dalam filem ini , saya dapati terdapat banyak unsur seperti kekerasan , pembunuhan , kegelisahan , ketakutan  ,dan  kebencian  yang sinonim untuk sebuah filem perang. Filem yang memakan masa 153 minit mempunyai plot utama berupa misi menangkap seorang perwira  sementara selama plot cerita berjalan peperangan atau penyerangan melawan Vietnam lebih dominan .

            Tokoh utama yang dimainkan Martin Sheen, saya rasakan lakonannya biasa saja begitu juga dengan Marlon Brando yang muncul pada 30 minit terakhir. Di samping itu, watak yang turut menonjol lakonannya iaitu Robert Duvall yang menjadi seorang tentera yang gagah berani dan gila dan Dennis Hopper seorang wartawan foto yang menjadi kakitangan Kurtz .

            Yang lebih menarik visualisasi yang dihadirkan Coppola dengan pengambilan gambar dari pelbagai sudut yang tepat kelihatan artistik untuk sebuah filem perang , memvisualisasikan sebagai sebuah filem perang yang merupakan sebahagian dari simbol kekejaman dan kekerasan tergambar begitu nyata .


Nur Farihin Binti Muhamad
A12SC0061


Tajuk : Pulp Fiction
Pengarah : Quentin Tarantino
Tempoh Cerita : 2 jam 40 minit

Pulp Fiction” merupakan sebuah filem yang menceritakan tentang kisah dan beberapa situasi gangster pada zaman awal 90-an di Amerika. Secara kasarnya, filem sepanjang 2 jam 40 minit ini sedikit sebanyak menggambarkan kehidupan gangster yang pelbagai disertai dengan jenaka yang ganas,music pop sebagai hiburan dan beberapa senario tugas-tugas seorang gangster. Diarah oleh Quentin Tarantino, filem ini telah mendapat pelbagai anugerah Oscars pada ketika itu.

Secara keseluruhannya, filem ini mengisahkan tentang tugas dua orang gangster yang juga pembunuh upahan iaitu Vincent Vega dan Jules Winnfield untuk mendapatkan kembali ‘briefcase’ dari Brett dan kawannya yang telah berpaling tadah dari Marcellus Wallace, ketua gangster tersebut. Pelbagai senario yang menarik dan masalah timbul dalam mereka menjalankan tugas tersebut. Filem ini juga menonjolkan cerita seorang ahli tinju, Butch yang telah dibayar oleh Marcellus untuk kalah dalam pertandingan tinju namun gagal berbuat demikian dan perlu melarikan diri bersama teman wanitanya, Fabienne dari dibunuh oleh kumpulan gangster tersebut. Filem ini juga membawa satu sketsa pendek tentang cubaan rompakan di sebuah restoran oleh dua org amatur iaitu, Ringo dan Yolanda namun tidak kesampaian apabila Jules menghalang mereka.

Perjalanan cerita dalam filem adalah jenis penceritaan ‘non-linear’ yang mempunyai lima sketsa pendek. Walaupon jenis penceritaan yang pada awalnya tidak berkaitan tetapi setiap sketsa mempunyai ciri-ciri ataupun cerita yang saling berkaitan. Ini merupakan satu elemen yang pada saya membuatkan filem ini sangat istimewa dan menarik. Bagi saya, jenis penceritaan sebegini memerlukan penonton untuk mengenal setiap watak dalam filem ini dan yang menariknya adalah bagaimana pada akhirnya setiap sketsa dan watak yang ada pada filem ini saling berhubung.

Watak yang ditonjolkan juga memainkan peranan masing-masing. Vincent Vega selaku watak utama dalam filem ini digambarkan seorang pembunuh upahan yang bersahaja dan berani dengan tugas gangster yang diberikan namun sangat lembut terhadap wanita. Jules Winfield yang juga merupakan rakan Vincent memaparkan watak ganas dengan sedikit religious yang mana pada akhir cerita ini telah insaf dan meninggalkan kerjayanya sebagai pembunuh upahan.

Antara watak lain yang menarik perhatian ialah Ringo dan Yolanda yang merupakan seorang perompak amatur. Mereka dengan bersahaja menikmati sarapan pagi dan bercerita tentang rompakan-rompakan lalu mereka, terus sahaja merancang untuk merompak restoran dimana mereka sedang bersarapan. Namun rompakan ini berjaya dihentikan oleh Jules yang juga sedang menikmati sarapan di situ. Idea spontan dan perasaan sayang diantara mereka menjadikan karakter mereka sangat unik.

Satu lagi watak yang menarik perhatian saya ialah Winston Wolfe, seorang lagenda dalam dunia gangster dan bertindak sebagai seorang penyelesai masalah. Wolfe yang tenang dan telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Vincent dan Jules dengan membuat keputusan yang sangat genius berbeza dengan Jules dan Vincent yang hanya tahu bertengkar apabila dilanda masalah.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa filem ini merupakan sebuah filem yang sangat baik pada era 19. Namun sedikit membosankan kerana terlalu banyak penceritaan filem disampaikan melalui perbualan berbanding aksi. Watak dalam cerita ini dipamerkan dengan baik dan perwatakan mempunyai kesinambungan terhadap plot cerita. Filem ini mungkin sesuai pada zaman ia diterbitkan namun pada era sekarang, terdapat banyak lagi filem-filem yang lebih baik. Namun tidak dinafikan kepelbagaian plot dalam filem ini menjadi rujukan banyak filem-filem baru untuk membuat plot cerita yang lebih menarik.

Nur Farah Natasha Ahmad Tamizi
A12SC0100

Friday, 9 May 2014

Movie Review: Seven Samurai






Nama filem: Seven Samurai
Pengarah: Akira Kurosawa

              Berdasarkan cerita ‘7 Samurai’ yang diarah oleh Akira Kurosawa. Filem ini berlatarbelakangkan kisah pada sekitar tahun 1587. Filem ini mengambil masa selama 207 min yang agak terlalu lama bagi saya untuk menonton sehingga pengakhiran filem ini. Namun, saya merasa ingin tahu sama ada samurai dapat mengalahkan kumpulan penyamun dan mengembalikan kesejahteraan kampung para petani. Pengarah filem ini telah mengunakan wayang hitam-putih yang mengambarkan sebuah cerita pada zaman dahulu.
                Bahasa yang telah digunakan dalam filem ini adalah bahasa Jepun sepenuhnya, di mana ia agak menyukarkan saya untuk memahami cerita ini walaupun terdapat sari kata bahasa Inggeris. Karakter yang menarik dalam cerita ini ialah mengenai samurai yang tidak mempunyai cita-cita dan hidup bergelandangan selepas khidmat mereka sebagai pengawal negara tidak lagi diperlukan. Mereka mula mempunyai azam untuk membela petani di sebuah daerah yang kerap kali dirompak oleh sekumpulan penyamun yang selalu merampas hasil tanaman para petani. Menerusi cerita ini menggambarkan persepsi masyarakat petani yang menanggap bahawa samurai ialah seorang yang  ganas, dan suka berfoya-foya bersama wanita. Oleh itu, petani menyuruh anak-anak perempuan mereka menyamar sebagai seorang lelaki untuk melindungi anak mereka.
                  Bendera yang dibuat oleh samurai agak unik, di mana terdapat 6 bulatan yang melambangkan samurai, tiga segi melambangkan salah seorang samurai yang dari keturunan petani dan garisan yang melambangkan para petani.Terdapat beberapa konflik dalam cerita ini, antaranya samurai mendapat maklumat bahawa para petani pernah merompak dan membunuh samurai pada suatu ketika dahulu.Kemuncak pada filem ini, apabila penyamun menyerang kampung para petani dan membunuh 4 daripada 7 samurai dan beberapa petani. Pengakhiran filem ini, memaparkan 3 orang samurai disamping 4 kubur samurai dan petani yang telah gugur di atas bukit. Keseluruhannya, cerita ini amat baik kerana memberi nilai moral yang baik seperti persahabatan, tolong-menolong dan pengorbanan.


Nor Fatiha Binti Hissam
A12SC0055

Sunday, 4 May 2014

MOVIE REVIEW:GOODFELLAS



Nama filem: Goodfellas

Pengarah filem: Martin Scorsese
         
        Saya telah memilih “Goodfellas “ sebagai filem untuk dijadikan “movie review” kerana saya tertarik dengan tajuknya sendiri. Filem ini ditayangkan sekitar tahun 1990.

Di awal penceritaan, watak utama “Goodfellas” iaitu Henry Hill mengingati kembali zaman-zaman persekolahnya sebelum terlibat dengan geng Mafia. Dari kecil dia ingin menjadi seorang gangster, dalam cerita ini Henry ada mengatakan “being a gangster is better than being a president of United State”.

Keluarga Henry sangat gembira apabila henry mendapat pekerjaan semasa zaman persekolahan, bagi ayahnya yang seorang Irish selalu megatakan bahawa budak amerika malas. Tetapi keadaan berubah apabila ayahnya mendapati Henry mula ponteng sekolah dan aktiviti dihidu oleh ayahnya, Henry dipukul teruk.

Henry dan rakan-rakannya  melakukan jenayah dan rompakan di Air France, bagi mereka ia lebih bagus daripada merompak bank. Ini adalah kes jenayah pertama selepas Henry dibebaskan dari tuduhan jenayah pada awal pekerjaannya semasa menjual tembakau.

Henry mula terkenal dan dihormati oleh ramai orang, pada usia yang muda Henry telah mempunyai duit yang banyak hasil dari jenayah yang dilakukan. Beberapa tahun kemudian Henry dipenjarakan, dia mula menjual dadah didalam penjara untuk mendapatkan wang. Selepas dikeluarkan dari penjara, Henry tetap melakukan aktiviti penjualan dadah itu. Malangnya nasib tidak menyebelahi Henry, dia ditangkap lagi.

Secara keseluruhannya saya suka dengan jalan penceritaan filem “Goodfellas” ini kerana senang difahami dan tidak mempunyai unsur yang berat untuk ditonton oleh seorang remaja seperti saya. Di akhir cerita. Henry dah bertaubat dari melakukan jenayah tetapi sedihnya kerana henry dan Karen bercerai dari perkahwinannya selama 25 tahun.

SITI NOR FAZILA BINTI MOHAMAD
A12SC0114


Saturday, 3 May 2014

MOVIE REVIEW


- GOODFELLAS-




ARAHAN: MARTIN SCORSESE

PELAKON UTAMA: ROBERT DE NIRO, RAY LIOTTA, JOE PESCI, LORRAINE
                                 BRACCO, PAUL SORVINO

     Filem GoodFellas ini ditayangkan sekitar tahun 1990.Filem ini sangat asing bagi saya kerana saya dilahirkan pada tahun 1993.Pelakon utama filem ini juga sangat asing bagi saya.Saya memilih filem ini untuk dijadikan “movie review” kerana jalan ceritanya yang tidak terlalu berat bagi saya.

     Filem ini memulakan ceritanya dengan mengingati kembali zaman remaja Henry Hill dimana Henry ponteng sekolah dan aktivitinya dikesan oleh ayahnya.Di permulaan cerita,Henry ada menyatakan “As far back as I can remember, I always wanted to be a gangster”.Henry dan rakan-rakannya melakukan rompakan terhadap Air France dan itulah kemunculan pertama Henry dalam penglibatan aktiviti haramnya.Selain itu,mereka menikmati kehidupan jenayah mereka dengan menghabiskan sebahagian besar malam mereka di Copacabana dengan ramai wanita.Saya suka permulaan cerita Goodfellas ini kerana keganasan yang ditonjolkan tidak keterlaluan untuk ditonton.

 Henry mampu meneruskan hidup untuk dirinya sendiri di masa remajanya dan dia mempelajari sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu “Never rat on your friends, and always keep your mouth shut”.Kata-kata ini dikatakan kepada Henry selepas dibebaskan daripada tuduhan jenayah pada awal kerjayanya.

Henry juga pernah dipenjarakan dan sepanjang dia berada di dalam penjara,dia menjual dadah untuk menampung keluarganya di luar.Kemudian dia dibebaskan dan tetap meneruskan aktiviti penjualan dadah.Namun,nasib tidak menyebelahi dirinya kerana beberapa tahun kemudian,dia ditangkap dan dihumban kembali ke dalam penjara.

     Secara keseluruhannya,saya sangat suka filem ini kerana jalan ceritanya yang tidak terlalu berat dan sesuai untuk ditonton.Untuk pengetahuan semua,filem ini menelan belanja sebanyak $25 juta dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan penonton sehingga mencatatkan prestasi yang baik di box office sehingga meraih kutipan sebanyak $46.8 juta.

-Siti Haszriena Binti Taman-
-A12SC0113-