Sunday, 23 March 2014

Awek Chuck Taylor



 
Tajuk : Awek Chuck Taylor
Penulis : Nami Cob Nobbler
Penerbit : Lejen Press 
Harga : RM20.00 




Bismillahirrahmannirrahim. . 
Assalamualaikum. . 

Sebenarnya saya tidak berapa gemar membaca novel.  Malahan sekarang sudah banyak drama yang diadaptasi daripada novel seperti ‘P. S.  I love you’,  ‘The Wedding Breaker’ dan banyak lagi.  Saya lebih gemar menonton daripada membaca.  Disebabkan sikap ini saya agak sukar untuk memilih novel tambahan pula saya lebih mementingkan kecantikan muka buku daripada membaca sinopsisnya.  Tapi,  bak kata pepatah,  ‘Don’t judge the book by its cover’.  Akhirnya saya memilih novel ‘Awek Chuck Taylor’ atas bantuan rakan saya yang lebih arif dalam dunia pembacaan ini.

Novel ini menceritakan kisah seorang pemuda bernama Hafiz.  Setelah kecundang di menara gading gara-gara kecewa dengan bekas teman wanitanya,  dia memasuki alam persekolahan semula untuk mengambil STPM.  Semasa di kelas,  dia mula menyukai Shila dan mengambil keputusan untuk menjadi secret admirer Shila kerana takut dikecewakan lagi.  Setiap hari dia mengarang puisi berbunga-bunga dan menyelitkannya di celah-celah buku teks Shila.  Sementara itu,  dia diperkenalkan kepada Mira, si gadis yang gemar memakai kasut ‘chuck taylor’ yang popular pada waktu itu. Mira merupakan seorang gadis yang bersifat hipster anarkis, ego, keras kepala dan mudah marah tetapi kadang kala agak manja.  Disebabkan sikap Mira itu membuatkan Hafiz mula jatuh cinta kepada Mira dan tidak lagi menulis surat kepada Shila.

Saya tidak gemar watak Hafiz yang merupakan seorang lelaki yang tidak boleh hidup tanpa teman wanita.  Dia merasakan seolah-olah dunianya akan menjadi gelap dengan ketiadaan teman wanita.   

 Setelah berpisah dengan Mira, gara-gara Mira dan keluarganya berpindah ke Kanada dan Mira enggan pulang ke Malaysia,  malahan memaksa Hafiz menetap di Kanada selepas mereka berkahwin,  Hafiz terus bercinta dengan Bella,  seorang perempuan yang hanya dikenali di alam maya dan tidak pernah ditemui di alam realiti.  Bella  merupakan seorang perempuan pisau cukur,  setiap hari meminta Hafiz untuk menambah nilai kredit telefonnya sebanyak RM10 dan sentiasa membuatkan Hafiz berhutang keliling pinggang.  Hafiz seringkali mengikut kehendak Bella kerana dia takut kehilangan Bella.  Ini membuatkan saya rasa menyampah dengan watak Hafiz kerana bagi saya,  lelaki yang baik adalah lelaki yang boleh mengubah sikap seseorang wanita kearah yang lebih baik dan menjadi pemimpin kepada wanita bukan hanya menurut kata wanita itu 110%.  

Ramai wanita yang meminati Hafiz kerana dia bijak, pandai bermain dengan kata-kata,  pemalu dan agak comel.  Tambahan pula,  sikap Hafiz yang mudah jatuh cinta kepada wanita yang cantik  sangat memualkan saya.  Contohnya,  Hafiz mula jatuh cinta kepada Nana,  walaupun Nana adalah adik kepada Mira, teman wanita beliau pada ketika itu.  Semasa bercinta dengan Mira,  Hafiz sudah mula menyukai Nana, begitu juga dengan Nana.  Nana pula lebih cantik jika dibandingkan dengan kakaknya,  Mira.  Tambahan pula,  Nana pandai memasak,  sopan santun dan sangat menyayangi haiwan. Setelah putus dengan Bella,  Hafiz bercinta dengan Nana.  Ini menybabkan hubungan antara Mira dan Nana menjadi tegang.

Saya tidak berapa gemar novel ini kerana ia sering menekankan soal cinta kerana saya tidak berapa suka kepada perkara-perkara yang bersifat romantik atau percintaan  seperti novel ini.

Tetapi,  disebalik novel cinta ini,  saya suka dengan gaya bahasa yang digunakan penulis.  Walaupun ia agak kasar dan tidak bertapis,  tetapi ia membuatkan kita berasa seperti di alam nyata kerana ia merupakan  gaya bahasa yang digunakan oleh anak muda ketika ini.  
Saya suka dengan suasana keluarga Mira yang sentiasa ceria dengan munculnya  watak Aiman, abang kepada Mira.  Dia seorang mat rempit yang selalu gagal dalam bab percintaan.  Wataknya agak kasar tetapi kelakar.  Dia juga merupakan kawan baik Hafiz.  Ditambah pula dengan watak abah Mira,  seorang peminat tegar Liverpool.  Disebabkan minat yang berbeza terhadap pasukan bola sepak,  mereka selalu bertengkar.  Hafiz juga sudah menjadi seperti anak angkat di dalam keluarga ini.  Apabila mereka sekeluarga berpindah ke Kanada,  Hafiz mula merasakan kesunyian.

Bagi saya novel ini agak menarik kerana pengakhirannya tidak seperti yang saya jangkakan.  Semasa bercinta dengan Hafiz, Nana berjanji akan pulang ke Malaysia apabila Hafiz menamatkan pelajarannya.  Tetapi,  perkara yang tidak disangka-sangka berlaku,  Nana meninggal dunia kerana dia mempunyai alahan kepada kacang.  Begitulah pengakhiran novel ini.  Pada pendapat saya ,jika pengakhiran cerita ini diakhiri dengan cerita yang lebih dramatik, tentu ia lebih menyayat hati dan meruntun jiwa pembaca.

Novel ini sebenarnya sebuah kisah benar yang dialami oleh penulis itu sendiri.
Ia menjadi fenomena dalam kalangan remaja dan jualannya mencecah 20,000 naskhah. Tidak cukup dengan itu, kini novel ini turut dipentaskan menerusi penghasilan teater Awek Chuck Taylor yang berlangsung pada 13 sehingga 16 Februari 2014 di PJ Live Art, Jaya One.

NUR FARAHAIN BINTI MOHAMAD
A12SC0101
2 SSCE 

Tajuk:suspek

          
                                                                                                Tajuk :Suspek
                                                                                         Penulis: Inawza Yusof
                                                                                                Penerbit :Fixi

          Novel suspek yang saya baca ni merupakan novel yang penuh dengan tanda tanya . Novel ini dikarang oleh saudari Inawza Yusof . Memandangkan saya juga pertama kali membaca novel dan saya perlu menhayati novel ini dengan sebaiknya . Ini kerana novel ini dapat memberi buah fikiran kepada saya untuk berfikir .
          
      Dalam novel ini watak dimulakan dengan Ana .Novel ini penulis cuba untuk menerapkan nilai persahabatan yang terjalin di antara Ana dan Daus. Ana merupakan seorang yang penakut dan susah untuk membuat keputusan sendiri , tetapi Ana juga seorang yang tegas dalam melakukan tugasannya . Ana juga merupakan seorang penyiasat dan merupakan seorang yang berpengalaman dalam penyiasatan sejak 5 tahun dalam dunia CSI . Dia juga ada kawan yang menolongnya dalam mencari suspek kes pembunuhan di rumah lama.
        
         Novel ini mengisahkan pembunuhan yang misteri dan masih menjadi tanda tanya di antara mereka . Pembunuhan ini agak misteri kerana mereka tidak menjejaki siapa pembunuh yang sebenarnya . Dalam novel ini penulis cuba untuk menerapkan kisah persahabatan di antara Daus dan Ana . Ia boleh dilihat apabila Daus selalu menolong Ana dalam ape jua masalah yang Ana hadapi . Selain watak utama yang penulis cuba timbulkan adalah watak Datuk Adwiran . Datuk Adwiran merupakan suami kepada mangsa pembunuhan misteri ini iaitu Juliana.
       
       Banyak pergelutan ataupun konflik di dalam novel ini yang cuba penulis timbulkan . Diantaranya Ana cuba pergi kerumah Datuk Adwiran iaitu suami kepada mangsa untuk mencari bukti tetapi Ana tidak jumpa akan bukti itu . Datuk Adwiran cuba menanangkap Ana kerana dia masuk ke rumah Datuk Adwiran secara senyap-senyap ,.
      
       Dalam novel ini juga menarik minat saya untuk membaca adalah kerana jalan ceritanya yang tersusun dan menimbulkan pelbagai persoalan di fikiran . Sebagai contohnya , Ana tidak dapat menemui suspek yang membunuh mangsa , tetapi Ana dapat melihat sikap atau tingkah laku Daus yang pelik . Penulis cuba menimbulkan persoalan di situ .  Ini membuatkan saya lebih tertanya – tanya siapakah pembunuh yang sebenarnya . Apabila Ana menyiasat dengan sebaiknya dan dia mendapati Daus adalah pembunuhnya kerana Ana terjumpa  jam tangan milik mangsa di dalam laci meja Daus . Jam tangan milik mangsa itu ada kesan darah .
    
       Sebagai konklusinya ,Dalam novel ini mennceritakan  Daus membunuh mangsa akibat perasaaan dendam . Daus berdendam dengan Datuk Adwiran kerana wang tetapi isteri kepada Datuk Adwiran yang menjadi mangsa . Pengakhiran cerita ini amat menyedihkan kerana kawannya sendiri yang sanggup buat perkara sebegini namun Ana tabah menerima dugaan  ini dengan reda . Oleh itu , penulis telah berjaya menarik minat saya untuk membaca novel ini dengan habis  dan saya lebih suka lagi membaca novel-novel yang berbentuk pembunuhan atau misteri . Saya tidak dapat faham bahasa yang disampaikan oleh penulis dengan sebaiknya kerana penulis mengguna bahasa yang tinggi dan susah untuk difahami .


MUHAMMAD AIMAN RIFDI BIN ARIFIN    A12SC0089

Saturday, 22 March 2014


Tajuk : BABI! Bercinta Di Balik Api
Penulis : Azwar Kamaruzaman
Penerbit : Lejen Press

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, setelah sekian lama hadam helaian demi helaian jalan cerita novel ini,akhirnya dapat juga buat ‘review’ serba sedikit jalan cerita novel ini. Babi! Bercinta Di Balik Api. Tajuk novel ini sememangnya menimbulkan kontroversi yang menarik perhatian saya untuk membeli dan mengetahui isi dalamannya. Hasil karya anak muda yang berasal dari Baling,Kedah, Mohamad Azwar bin Kamaruzaman. Dengan ayat “Sanggup mereka menyamakan aku dengan binatang haram,babi! Apakah aku yang bersalah?” membuatkan saya tertanya-tanya jalan cerita yang ingin disampaikan oleh penulis.

                Novel ini berkisar tentang seorang remaja lelaki yang merupakan anak luar nikah iaitu Sulaiman, hidup bersama dengan ibu,abang dan kakaknya yang tiada pegangan agama. Walaupun Leman di hina dan di maki oleh masyarakat sekeliling hanya disebabkan dia anak luar nikah,tetapi dia tetap tabah dan cekal mengharungi hidup sebagai hamba Allah. Hidup sebumbung dengan ibu yang merupakan seorang pelacur, abang dan kakak yang melakukan sumbang mahram, Leman tetap berpegang kuat dengan ajaran yang  dipelajarinya. Akibat sering di caci dan di maki, Leman berputus asa untuk menjejakkan kaki ke sekolah,kerana dari awal loceng mula kelas sehinggalah loceng akhir, dirinya sering di ejek dengan panggilan BABI. Azmi (Nazminatul Adilah Sofea) seorang gadis tomboy sentiasa membantu  Leman meneruskan cita-citanya untuk belajar dengan bantuan kewangan ditanggung oleh Shahidan,seorang anak jutawan yang meminati Azmi dalam diam.

Dalam novel ini,mengisahkan kehidupan sebuah ‘broken family’, kehidupan seorang pelacur dan harapan seorang anak luar nikah yang ingin dirinya diterima masyarakat sekeliling. Watak Paul (Pauziah,ibu Leman) yang sememangnya ‘scary’ sering bermonolog bersama syaitan (saka). Mungkin penulis cuba menyampaikan peperangan antara manusia dengan nafsu dan syaitan (saka). Isu-isu akidah, akhlak dan kerutuhan moral masyarakat turut dibangkitkan dalam novel ini. Kisah yang berlaku dalam kehidupan yang mana haram dihalalkan, seperti bermain ‘nombor ekor’ untuk cepat kaya. Pengakhiran novel ini di mana ibu dan bapa Leman bertukar menjadi babi,setelah melakukan perbuatan terkutuk,maksiat. Sebagai seorang anak,Leman tetap melaksanakan tugasnya berbakti kepada kedua ibu bapanya.

Pendapat saya, di awal bab novel ini,penulis menghasilkan jalan cerita yang menarik dan membuatkan saya ternanti-nanti apa yang akan berlaku. Sememangnya di dunia ini,anak-anak yang berstatus ‘anak haram’ akan sentiasa di hina dan dicaci serta diabaikan. Namun, watak yang ditonjolkan oleh Leman melambangkan betapa besarnya kesabaran yang dimilikinya. Tapi, sedikit mengecewakan di akhir jalan penceritaan di mana penulis mematikan watak-watak secara tragis. Kejadian yang menimpa ibu dan bapa Leman sukar untuk dibayangkan. Mungkin penulis ingin mengingatkan pembaca dengan kisah zaman Nabi Musa, iaitu kisah pemuda yang beribu bapakan babi. Pengajaran yang boleh di ambil daripada novel ini, berbaktilah kepada ibu bapa walaubagaimanapun keadaan mereka.

NURUL IZZATI BINTI MUHAMMAD

A12SC0111

Book Review


TAJUK : INFANTISID
PENULIS : ROZLAN MOHD NOR
PENERBIT : FIXI

Setelah bosan dengan novel-novel bergenre cinta terbitan penerbit-penerbit yang agak popular seperti Alaf 21, Kaki Novel dan Jemari Seni, saya mula berjinak-jinak dengan novel keluaran buku independent untuk mencari kelainan dalam pembacaan. Infantisid merupakan novel keluaran independent yang pertama berjaya menarik minat saya. Perkataan Infantisid itu sebenarnya berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu ‘infanticide’ atau ‘infant homicide’ yang bermaksud pembunuhan bayi. Dengan ketebalan sebanyak 318 halaman tidak menjadi masalah untuk saya mengakhiri pembacaan saya ditambah pula jalan ceritanya yang penuh suspens dan konflik membuatkan saya ingin meneruskan pembacaan.

Konflik yang pertama timbul di awal bab apabila bungkusan yang mengandungi bayi mangsa infantisid telah manjadi rebutan anjing-anjing liar di sekitar kawasan perumahan. Siasatan polis dan pegawai forensik perubatan mengesahkan bayi tersebut menghidap Trisomy 21 iaitu jenis Sindrom Down yang paling umum. Maksudnya, ibu atau bapa bayi berkenaan juga merupakan penghidap Sindom Down. Jadi, mereka spesifikasikan kes ini kepada penghidap Sindrom Down dan menyemak semula aduan rogol dan pencabulan yang mencurigakan.

Inspektor Mislan Latif yang mengendalikan  kes ini mengharungi pelbagai rintangan dalam mencari dalang pembunuhan bayi tersebut. Plot cerita menjadi semakin mendebarkan apabila Fauziah iaitu ibu kepada bayi berkenaan ditahan untuk memberi penjelasan atas sebab dia menarik balik aduan kes rogol yang pernah dilaporkan. Pengakhiran novel ini agak tragik apabila siasatan mendapati ibu dan bapa kepada bayi tersebut merupakan adik beradik dan dalang kepada kes ini merupakan bapa mereka sendiri. David Sulaimen Abdullah, bapa Fauziah, akhirnya lumpuh dari leher ke bawah dan mengaami gangguan mental.

Secara keseluruhannya, novel ini sedikit sebanyak membuat saya kagum dengan gaya pemikiran penulis. Tambahan pula penulis merupakan bekas anggota polis dan banyak menggunakan istilah-istilah polis. Infantisid merupakan karya penulis yang pertama dalam Bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan juga adalah bahasa pasar memandangkan karya penulis sebelum ini adalah dalam Bahasa Inggeris.

NURUL IZZATI BINTI GHAZALI
A12CS0110

TANDOORI NAN SEKEPING







         Novel antalogi cerpen "Tandoori Nan Sekeping" karya Ridhwan Saidi berjaya menambat hati saya untuk terus membaca dari helaian demi helaian. Jalan cerita yang agak menarik membuatkan para pembaca ingin tahu dengan lebih lanjut tentang pengakhirannya. Cerita yang berkisarkan tentang seorang peniaga kedai mamak yang berusaha meneruskan legasi keluarga dari turun temurun. Lebih menarik penulis memasukkan watak watak pelanggan yang mempunyai pelbagai karenah. Terdapat pelbagai cerita pendek dalam buku ini yang semua berkaitan dengan ayam tandoori, roti nan serta makanan yang  terdapat di kedai mamak.

      "Ali" watak yang memainkan perana utama sebagai pemilik kedai mamak tersebut mempunyai konflik apabila kedai beliau semakin hari semakin kurang pelanggan. Hal ini kerana terdapat pesaing yang berhampiran dengan kedai beliau. Pelbagai cara yang dilakukan beliau supaya perniagaannya kembali seperti biasa. Satu hari isteri Ali, Maizurah mencadangkan untuk mengubah suai suasana kedai mereka supaya pelanggan kembali tertarik untuk singgah ke "Nandooria" nama kedai yang diberi Maizurah.

     Setelah satu konflik dapat diatasi oleh Ali, timbul masalah lain yang sengaja dicipta penulis supaya pembaca berasa semakin tertarik untuk medalami isi buku ini. Kisah tentang pelanggan yang menjadi zombie oleh kerana terlampau taksub dengan ayam tandoori serta roti nan kedai Ali yang akhirnya pelanggan tersebut mati.Dipertengahan cerita, penulis memperkenalkan cerita mengenai seorang pelanggan,K yang didatangi watak  Professor Mohan dan Tanty yang datang dari masa hadapan,2057 untuk membunuh K atas sebab dia akan menjadi seorang pemerintah yang kejam. Dalam cerita tersebut, K dibawa ke tahun 2057 dengan menggunakan mesin masa untuk mellihat apa yang akan dilakukan beliau pada tahun tersebut. Dalam pada itu , K pergi ke kedai mamak pada zaman tersebut dan terkejut dengan harga sekeping roti nan berharga RM32. Penulis masih mengekalkan jalan cerita berkaitan dengan ayam tandoori serta  roti nan.

    Pengakhiran cerita penulis bercerita tentang dua orang gelandangan di India, Rao dan Deepo yang berhasrat untuk datang ke Malaysia dan mencari kerja. Tetapi kawan mereka, Nair yang pernah bekerja di Malaysia menasihati mereka supaya tidak bekerja di mana mana restoran mamak kerana akan menjadi hamba kepada pelanggan. Kesudahannya, Rao dan Deepo tetap ke Malaysia tetapi tidak sebagai pelayan restoran tetapi sebagai buruh. Kesimpulannya, penulis mencoretkan apa yang ingin disampaikan dengan hati yang ikhlas mungkin kerana saya berasa sungguh tertarik dengan bahasa serta jalan cerita yang disampaikan. Selama ini saya tidak pernah ambil tahu tentang kedai mamak di Malaysia. Penulis berjaya memperkenalkan apa itu restoran mamak kepada saya dan saya menyarankan supaya anda semua baca antalogi cerpen ini.


IZZAH AFIQAH BINTI HARUN
A12SC0084

Thursday, 20 March 2014


Tajuk : Pedagogi Bahasa Tertindas
Penulis : Zul Fikri Zamir
Penerbit : Dubook Press And Publication

            Assalammualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah setelah hampir dua minggu barulah saya dapat menamatkan bacaan saya. Ini mungkin kerana pembacaan buku bergenre begini begitu asing bagi diri saya. Tetapi setelah saya baca buku begini, saya tertarik dengan cara penyampaian buku ini yang begitu bersahaja tetapi mempunyai maksud yang mendalam.

            Buku ini menonjolkan beberapa watak seperti Widya yang merupakan anak kepada Dr. Hussien. Beliau merupakan salah seorang pelajar TESL di Manchester, London. Selain itu, diperkenalkan juga watak seperti Zulfa dan Datuk Farid. Secara umumnya, buku ini memaparkan isu PPSMI di Malaysia. Menurut kajian, prestasi Matematik dan Sains mengalami penurunan yang mendadak sejak lima tahun yang lepas iaitu sejak diperkenalkan PPSMI kepada sistem pendidikan.

            Dalam buku ini, menceritakan Widya yang sering mengirimkan surat kepada ayahnya Dr. Hussien dalam membincangkan isu ini. Dr. Hussien ada meminta kepada adiknya Datuk Farid untuk membincangkan masalah ini secara terbuka kerana adiknya seorang ahli politik. Tetapi Datuk Farid hanya mengabaikan permintaan ini atas kepentingan politik semata-mata. Lantas, Dr. Hussien membawa diri ke Mekah. Selain itu, Zulfa ada juga berutus-utus surat kepada Widya kerana sedih memikirkan ayahnya, Datuk Farid yang terlalu mementingkan politik daripada kemajuan negara.

            Pengakhiran buku ini apabila Zulfa, Widya dan Dr. Hussien terlibat dalam kemalangan sekaligus meragut nyawa Dr. Hussien dan Widya. Zulfa pula dalam keadaan koma. Ini menimbulkan keinsafan dalam hati Datuk Farid. Lebih-lebih lagi setelah terjumpa surat-surat Widya dan Zulfa. Datuk Farid tekad dalam mempertahankan penggunaan bahasa melayu dalam matematik dan sains.

            Secara keseluruhannya, saya rasa buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca daripada info-info yang diberikan. Jika sebelum ini saya beranggapan PPSMI mampu mempertingkatkan penggunaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar tetapi tidak salah jika kita kekal kepada penggunaan bahasa melayu. Kita sepatutnya mempertahankan bahasa kita kerana bahasa menunjukkan bangsa. Selain itu, jurang di antara penduduk bandar dan luar bandar tidak akan wujud.

            Tetapi, akibat penggunaan bahasa yang tinggi dalam buku ini menyebabkan saya kurang paham apa yang ingin disampaikan oleh penulis sebenarnya. Walaubagaimanapun, dengan cara penulisan penulis, saya dapat memahami buku ini dengan baik.

Noorehan Binti Yaacob
A12SC0093




            

BOOK REVIEW (MENTAL)



Tajuk : Mental
Penulis : Shaz Johar
Penerbit : Fixi

          Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada awalnya, novel terbitan Fixi merupakan novel yang agak asing pada pendengaran saya. Saya telah memilih novel yang bertajuk ‘Mental’ setelah tertarik dengan sinopsisnya. Saya akui muka depan buku ini agak menyeramkan bagi saya pada awalnya tetapi saya berpegang kepada kata-kata ‘jangan menilai sesuatu daripada luarannya’.

          Watak utama novel ini ialah Maya, yang merupakan orang gaji kepada Tuan Jin dan isterinya, Puan Sierra serta dua orang anak mereka yang bernama Rashid dan Rania. Menariknya novel ini adalah kerana setiap watak mempunyai ‘warnanya’ yang tersendiri. Tuan Jin menduakan isterinya, Puan Sierra mengharungi tekanan perasaan, Rashid bencikan anggota badannya sendiri, dan Rania seolah-olah cuba menjadi murtad.

          Walaubagaimanapun harus saya akui ada beberapa babak pada awalnya yang agak keterlaluan. Contohnya babak di mana Maya melakukan hubungan terlarang dengan Tuan Jin tanpa pengetahuan Puan Sierra. Penulis terlalu terbuka apabila bercerita mengenai perkara tersebut dan ianya jelas bertentangan dengan adat dan budaya Melayu. Berbalik kepada novel, kehidupan Maya berubah apabila dia dikejutkan dengan nama Raudhah. Penulis berjaya membuatkan saya tertanya-tanya ‘siapakah Raudhah?’ kerana watak Raudhah seperti mempunyai perkaitan yang sangat kuat dengan diri Maya.

          Seperti yang saya nyatakan, anak kepada Tuan Jin iaitu Rashid bencikan anggota badannya sendiri. Rashid selalu meminta Maya supaya memotong tangan kanannya kerana bagi Rashid tangan kanannya itu membuatkan hidupnya tidak tenang dan gelisah. ‘kenapa tak suka tangan kanan?’ , ‘apa yang pernah terjadi pada tangan kanan Rashid?’ merupakan persoalan-persoalan yang sering berlegar di minda saya. Manakala Rania pula selalu ke gereja dan berlatih menyanyikan choir untuk Sunday Mass di gereja.

          Saya melihat Maya sebagai watak yang kurang jelas pendiriannya. Ada beberapa line atau dialog yang dilontarkan Maya kedengaran agak islamik tetapi kenapa dia melakukan hubungan terlarang dengan majikannya sendiri sedangkan dia tahu ianya berdosa? Kenapa nasihatkan Rania tentang Islam jika dirinya sendiri sudah lama meninggalkan kewajipannya sebagai seorang Muslim?

          Pada pendapat saya penulis berjaya menimbulkan elemen-elemen ingin tahu dalam diri saya kerana dengan adanya elemen ini membuatkan saya ingin meneruskan pembacaan. Sememangnya pengakhiran novel ini adalah sesuatu yang ‘unpredictable’ dan seratus peratus bertentangan dengan andaian saya. Saya sangkakan Tuan Jin, Puan Sierra, Rashid dan Rania sememangnya mempunyai konflik dengan diri mereka tetapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, yang mempunyai konflik dengan diri sendiri adalah Maya.

          Maya telah mengalami kemalangan 5 tahun sebelumnya dan koma untuk tempoh 3 bulan. Selepas tersedar dari koma , Maya telah lupa identiti dirinya yang asal iaitu sebagai Raudhah dan telah hidup sebagai seorang yang bernama Maya. Apa yang mengejutkan saya ialah Maya(atau Raudhah) merupakan isteri kedua Tuan Jin dan bukannya orang gaji yang mempunyai hubungan terlarang dengan Tuan Jin seperti yang diceritakan pada awalnya.

          Yang paling mengujakan adalah apabila saya mendapat tahu bahawa watak Rashid dan Rania sebenarnya tidak wujud! Tuan Jin dan Puan Sierra tidak pernah mempunyai anak kerana Puan Sierra tidak dapat mengandung dan lantaran itulah Tuan Jin mengahwini Raudhah(atau Maya) untuk mendapatkan zuriat. Akibat kemalangan yang dialami Raudhah, bayi kembar di dalam kandungannya telah terkorban.Rashid dan Rania itu hanyalah bayangan Maya seorang sahaja mungkin berpunca daripada stress yang dialami setelah kematian zuriatnya.



          Pada pandangan saya, Shaz Johar merupakan seorang penulis yang berbakat besar,bijak dan kreatif. Penggunaan ayatnya bersahaja, jalan cerita yang tidak terlalu rumit untuk difahami, tidak membosankan,dan yang paling penting, MENTAL. 


Nur Edrina Fazleen binti Mohamed
A12SC0099

Wednesday, 19 March 2014

 Tajuk:Tuhan Lebih Saintifik,
 Penulis:Dr. Farhan Hadi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Alhamdulillah,novel ini dapat saya habiskan dalam kesibukan tugas sebagai seorang pelajar.Novel ini merupakan novel Islamik pertama dan merupakan novel kedua yang pernah saya baca.Seperti yang telah saya katakan,saya bukanlah seorang pencinta novel seperti remaja-remaja yang lain.Namun,nilai-nilai dan cara penulisan yang digunakan oleh penulis dalam merialisasikan novel ini sangat membuka hati saya untuk terus membaca dan cuba memahami apakah yang cuba disampaikan kepada para pembaca.

        Novel ini mengisahkan bagaimana seorang pensyarah di sebuah kolej perubatan di ibu kota yang pada mulanya langsung tidak percaya akan kewujudan Tuhan di muka bumi ini dan kemudian berubah secara total ke arah agama yang suci iaitu Islam dan juga beberapa orang pensyarah yang lain yang memainkan watak sampingan.Dr. Donald,merupakan seorang pensyarah muda yang berketurunan India yang mengamalkan serta memperjuangkan fahaman Ateis.Dia sangat yakin dengan fahaman yang dipegangnya dan sering menyelitkan fahamannya di dalam kuliah anatomi kepada pelajar-pelajarnya.Pada masa yang sama,ustaz Hanafi iaitu salah seorang pensyarah di kolej tersebut merupakan seorang yang sangat taksub dengan aliran tradisional dan menolak Sains secara total dan mengaggap segala kemajuan Sains adalah agenda Yahudi dan Kristian untuk menyesatkan orang-orang Islam.

       Di awal penceritaan,pelbagai cara telah digunakan oleh Dr. Donald untuk menarik minat pelajar-pelajarnya supaya mengamalkan fahaman ini.Tumpuannya bukan sahaja kepada pelajar bukan Islam,bahkan juga yang beragama Islam.Kebanyakkan pelajar yang tidak mempunyai asas keagamaan yang kuat pastinya akan terjerat dengan soalan-soalan dan hujah-hujah yang digunakan oleh Dr. Donald untuk menghakis kepercayaan mereka terhadap agama masing-masing.

      Namun begitu,perjuangannya tidak kekal lama.Semuanya berakhir secara beransur-ansur selepas kehadiran seorang doktor yang juga terkenal sebagai seorang Pakar Islam iaitu Dr. Ahmad Zabidi.Kehebatan Dr. Ahmad Zabidi dalam ilmu agama yang menjadi buah mulut pelajar-pelajar di institusi tersebut telah membuatkan Dr. Donald berasa tercabar dan menarik minatnya untuk berdebat mengenai agama dengan Pakar Islam tersebut.Pada awalnya,Dr. Donald cuba untuk menjerat Dr. Ahmad Zabidi dengan hujah-hujah dan soalan-soalan yang selalu digunakan kepada pelajar-pelajarnya.Atas kekayaan ilmu agama yang dimiliki oleh Dr. Ahmad Zabidi,segala persoalan dan hujah yang diajukan dapat dipatahkannya dengan penuh berhemah.Kemulian dan ketampanan budi yang ditunjukkan oleh Pakar Islam tersebut sepanjang perdebatan telah membuka hati Dr. Donald untuk lebih mengenal Islam.Kehadiran Dr. Ahmad Zabidi juga tidak disenangi oleh ustaz Hanafi.Dr. Ahmad Zabidi juga menerima pelbagai tomahan dan hinaan daripada rakan sekerjanya itu.Pelbagai cara telah digunakan oleh ustaz Hanafi untuk menjatuhkan Dr. Ahmad Zabidi kerana dia beranggapan bahawa pakar Islam tersebut bersekongkol dengan fahaman-fahaman lain untuk menyesatkan pelajar-pelajarnya.

            Kemuncaknya,pelbagai dugaan yang dihadapi oleh Dr. Donald dalam usahanya untuk membina hidup yang baru.Antaranya pengislamannya langsung tidak diterima oleh ibunya sendiri dan isteri yang sangat dicintainya turut telah meninggalkannya.Hal ini demikian kerana mereka beranggapan bahawa agama Islam adalah suatu agama yang sangat kolot dan terlalu mengongkong.Tetapi,satu kemalangan telah membuka hati ibunya untuk memeluk agama yang suci ini.Namun begitu,usia pengislaman ibunya tidak lama.Setelah dua minggu memeluk agama Islam,ibunya telah dijemput oleh Maha Pencipta.Walaupun begitu,Dr. Donald tetap bersyukur kerana ibunya pergi mengadap Illahi umpama bayi yang baru dilahirkan dan sempat untuk merasai indahnya akan agama yang suci ini walaupun hanya dua minggu.Dr. Donald kini telah menukar arus perjuangannya daripada fahaman Ateis kepada perjuangan yang lebih barokah iaitu agama Islam.

        Secara keseluruhannya,novel ini sangat menarik untuk dibaca terutama sekali kepada yang ingin lebih mengenal Islam.Hujah-hujah yang disampaikan sangat menarik dan secara tidak langsung membuat saya terfikir akan keindahan agama Islam.Segala hujah yang disampaikan juga sedikit sebanyak dapat membantu saya berdepan dengan persolan daripada orang yang bukan Islam serta membantu saya dalam proses dakwah.



NOR HIDAYAH HASAN
A12SCOO94




Book Review


Tajuk buku:  Samar.
Penulis:  Dayang Noor.
Penerbit: Buku Fixi.

Samar.Buku ini dikarang Dayang Noor yang menyelitkan unsur-unsur misteri dan cemas dalam gaya penyampaian tulisannya. Buku ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang menghadapi konflik hidup yang sangat kritikal.
          
    Sahar Jaya merupakan sebuah syarikat terkenal yang diterajui oleh Datuk Sahar selama berpuluh tahun.Syarikat ini begitu maju apabila berjaya mendapatkan  tender-tender  besar. Datuk Sahar begitu mementingkan harta kekayaannya dan tidak mahu empayarnya jatuh ke tangan mereka yang tidak sepatutnya. Justeru itu,Datuk Sahar telah mengarahkan agar anak-anaknya berkahwin dengan anak-anak rakan seperniagaannya. Namun begitu,perkahwinan tanpa persefahaman membawa derita apabila perkahwinan anak bongsunya,Athirah bersama bekas suaminya,Mazhar berakhir dengan penceraian. Datuk Sahar begitu optimis dengan pendiriannya tanpa menghiraukan perasaan anaknya sendiri apabila sekali lagi dia merancang perkahwinan Athirah yang kedua dengan menjodohkan dengan Syed Ammar sebagai pengganti untuk menerajui syarikatnya kerana tidak mempercayai anak-anak lelakinya sendiri.
    
    Novel ini banyak menceritakan tentang ketamakan seorang yang bergelar manusia  mengejar kekayaan dunia apabila berlakunya siri pembunuhan  kejam yang dirancang rapi walaupun mangsa  mereka adalah darah daging sendiri. Dalang bagi siri pembunuhan yang melibatkan ahli pernigaan ini adalah anak Datuk Sahar sendiri  iaitu Kamarul Hisyam dan perempuan simpanannya,Kelly@Khalida Azwa. Bagi mereka,nyawa manusia tiada nilainya.
      
     Apabila diri jauh daripada Allah,berlakulah pelbagai perlakuan maksiat yang begitu ditegah agama islam seperti  zina. Harta,wang ringgit dan seks seringkali menjadi tumpuan utama golongan elit negara ini. Shahrul Amin,adik kepada Kamarul Hisyam turut terjebak dengan perbuatan terkutuk apabila melanggan seorang pelacur yang telah berusia untuk melepaskan nafsu serakahnya hampir setiap malam walaupu dia telah dikurniakan seorang isteri yang baik bernama Munirah. Manusia tidak pernah rasa cukup dengan kurniaan Allah.
     
Novel ini juga menceritakan disebabkan oleh desakan hidup yang memerlukan kos sara hidup yang tinggi,manusia sanggup menggadai harga diri untuk mendapatkan sesuap nasi. Walaupun Alina memilih pekerjaan yang hina itu, Alina masih lagi mengamalkan cara hidup bermasyarakat  apabila dia prihatin terhadap jiran tetanggannya.Namun begitu, kemungkaran tetap kotor,tidak mampu menghalang kemurkaan Allah melainkan bertaubat,Ibarat sekeping hati yang inginkan ketenangan,segala kekotoran perlu dibersihkan sebelum  diserapkan nilai-nilai murni.

     Pengakhiran novel ini agar samar apabila penulis membiarkan watak Kamarul Hisyam,Amin dan Kelly terus’ hidup’ tanpa mereka mendapatkan balasan yang setimpal kerana berlaku kejam.

      Kesimpulan daripada keseluruhan kisah  didalam novel ini ialah apabila manusia hidup tanpa ‘roh’  Islam dalam diri,mereka akan memperlakukan manusia mengikut hawa nafsu.  Kekejaman,ketidakwarasan dan penipuan akan menjadi suatu kebiasaan dalam hidup seorang manusia apabila hidup mereka hanya sekadar mencari keseronokan.

NUR SAHADAH BINTI SATARI
A12SC0103
  







Tuesday, 18 March 2014

Book Review








TAJUK BUKU : MURTAD
PENULIS : HASRUL RIZWAN
PENERBIT : FIXI



Novel ‘Murtad’ karya Hasrul Rizwan telah berjaya mengubah persepsi saya sebagai pembaca yang pada mulanya meragui dengan tajuk buku ini. Bertemakan urban dan kontemporari, ianya berkisarkan tentang kembar adik-beradik yang ditugaskan untuk mengakhiri riwayat bagi setiap golongan murtad yang hanyut dalam arus duniawi. Adam dan Akhil merupakan watak kembar tersebut, berasal daripada utara dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan setelah beberapa bulan kematian ibu mereka. Ayah mereka pula telah lama meninggalkan mereka sebelum mereka lahir lagi. Walaupun tidak mendapat kasih sayang daripada seorang ayah, keadaan ini menjadikan mereka lebih mengenal erti kesusahan dan kepayahan.

                Dunia hiruk pikuk Kuala Lumpur telah menjadi simbol kepada kesibukan kota yang mereka berada ketika itu. Permulaan kehidupan mereka di sana, mereka sempat menyelamatkan insan-insan yang dalam bahaya dan daripada setiap kejadian tersebut telah diperhatikan oleh seorang individu yang berjubah dan berkopiah yang dirahsiakan pada awal permulaan penceritaan.  Sehingga suatu masa mereka berehat di sebuah masjid. Individu yang berpenampilan jubah mengambil kesempatan untuk meninggalkan kad hitam tertera syahadah yang bertulis jawi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

                Perjalanan hidup mereka kemudiannya terlakar suka dan duka apabila menerima pekerjaan sebagai pembunuh upahan untuk membunuh orang-orang murtad di sekitar Kuala Lumpur setelah mereka ini semuanya telah diberi enam kali teguran untuk bertaubat. Lelaki yang berjubah itu dikenali dengan Mr.T telah memberikan pekerjaan sedemikian dan menyediakan kelengkapan untuk membunuh golongan-golongan yang murtad ini di samping upah yang lumayan. Tugas mereka hanya menembak orang-orang yang murtad mengikut nama yang telah dihantar kepada mereka.

                Pelbagai jenis manusia yang dihadapi mereka berdua menjadikan mereka sudah mahir menggunakan pistol dan darah sebagai suatu perkara yang biasa. Namun begitu pengarang tidak lupa kepada elemen percintaan dalam novel ini. Adam telah menyelamatkan Maria dalam kebakaran dan sejak daripada itu dia tertanya-tanya gerangan jejaka yang menyelamatkannya. Hubungan mereka makin rapat dan daripada situlah pengarang meletakkan posisi Ghous sebagai ayah Maria yang mana merupakan orang terakhir yang murtad bakal dibunuh oleh mereka berdua. Manakala Akhil yang dipertemukan dengan Zulaikha dalam suatu malam yang tragis apabila Zulaikha hampir diperkosa oleh orang suruhan Ghous iaitu DInggo.

                Kemuncak kepada cerita dalam buku ini apabila berlaku pergelutan di rumah Ghous dan Maria pun terbunuh. Pada hari tersebut itu juga Adam mengetahui bahawa Mr T atau Talha adalah ayahnya dan dialah yang mengupah anaknya berdua sebelum ini. Ayahnya dibunuh. Tidak cukup dengan itu, Ghous menculik Zulaikha dan adiknya manakala ayahnya Pak Razak dibunuh di tangan Ghous. Adam dan Akhil datang menyelamatkan mereka dan akhirnya Ghous mati dibunuh di tangan Zulaikha sebanyak empat das tembakan setelah berlaku pergaduhan dan pergelutan antara Adam, Akhil dan orang suruhannya yang masih hidup.

                Pengajaran daripada buku ini adalah seharusnya kita tidak boleh membuat undang-undang sendiri kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Apa yang dilakukan Adam dan Akhil itu tidak mengikut syariat yang sebenarnya malah membahayakan diri mereka. Gejala murtad dan gerakannya juga semakin berleluasa seperti yang digambarkan pengarang. Umat islam seharusnya mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam supaya tidak tersesat jauh.


MOHD RASHID BIN ADMON
A12SC0087