Tuesday, 25 February 2014

Book Review


REVIEW NOVEL : NASI KANGKANG (AZWAR KAMARUZAMAN)




Tajuk : Nasi Kangkang
Penulis : Azwar Kamaruzaman
Terbitan : Lejen Press
Harga : RM19.90
Rate : 4.0/5.0


Pertama kalinya apabila mendapat satu tugasan untuk membuat review tentang novel yang 'independent' , saya tertanya-tanya apa itu novel yang 'independent'? Hakikatnya selama ini diri ini hanya 'membesar' bersama novel-novel cinta dari Alaf 21.Jadi,saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah novel terbitan Lejen Press yang bertajuk Nasi Kangkang. Kenapa saya memilih buku ini? Tajuknya sahaja sudah membuat saya tertanya-tanya malah dengan 'cover' hadapannya dan juga sinopsisnya membuat saya semakin teruja untuk membaca seterusnya membuat sedikit ulasan tentang novel ini. Dan yang paling menarik lagi tentang novel ini adalah penulisnya seorang anak muda yang berusia 20 tahun tetapi mempunyai bakat yang sangat besar dalam bidang penulisan. Syabas Azwar Kamaruzaman,awak sudah lakukan yang terbaik !

Secara ringkasnya, novel ini berkisarkan tentang Jannah atau lebih dikenali sebagai Jack yang merupakan seorang perempuan yang nakal dan juga berasal dari keluarga yang bermasalah. Suhaili pula yang lebih dikenali sebagai Su merupakan rakan baik Jack di mana dia sentiasa bersama Jack ketika susah mahupun senang kerana dia meminati Jack dalam diam. Saya minta para pembaca jangan terkejut pula kerana Su merupakan seorang lelaki dan bukannya seorang perempuan sepertimana namanya. Pada masa yang sama juga, Jack amat meminati Fahmie, iaitu rakan sekelasnya namun cintanya tidak pernah berbalas disebabkan Fahmie seorang lelaki yang alim dan kuat agama , berbeza pula dengan perwatakan Jack. Fahmie pula mencintai Badrina atau Ina yang berperwatakan alim dan ala-ala hipster. Rupa-rupanya Fahmie tidak bertepuk sebelah tangan apabila Ina menyatakan bahawa dia juga meminati Fahmie dan mengajak Fahmie berkahwin selepas mereka tamat peperiksaan akhir . Konflik mula berlaku apabila Jack cuba menggoda Fahmie dan Ina pula dihantui rasa cemburu dan takut kehilangan. Jadi, disebabkan perasaan cemburu yang meluap-luap,Ina mendapatkan nasihat dari ibunya namun ketika itulah rahsia keluarganya terbongkar. Maka, bermulalah kisah di mana Ina sanggup bertemu bomoh atas nasihat ibunya untuk memberi nasi kangkang kepada Fahmie agar Fahmie tunduk dan patuh pada setiap perintah dan arahannya. Manakala Jack pula ingin membalas dendam terhadap ayahnya yang pernah merogolnya di hadapan ibunya ketika dia masih bersekolah dengan cara menggunakan ilmu hitam. Dalam masa yang sama juga, Jack ingin menyelamatkan Fahmie, orang yang dicintainya dari ilmu hitam yang telah digunakan isterinya.

Keseluruhannya, saya amat tertarik dengan jalan cerita novel ini dimana penulis cuba menarik perhatian pembaca dengan konflik dan perwatakan yang unik seperti penonjolan watak anak muda yang mempunyai jiwa yang memberontak untuk memenuhi segala yang diimpikan. Hal ini dapat dilihat melalui watak Jack di mana dia mempunyai sikap balas dendam yang begitu tinggi sehingga tidak menghiraukan orang sekeliling mahupun hukum agama. Dari segi penceritaan pula,penulis menimbulkan beberapa konflik yang membentuk plot cerita. Antaranya ialah pertemuan antara Jack dan Fahmie untuk mengulangkaji pelajaran bersama yang mana menimbulkan perasaan cemburu kepada Ina. Plot cerita ini mula berubah menjadi konflik apabila Ina mula terpengaruh dengan cadangan uminya supaya menggunakan nasi kangkang bagi 'mengikat' Fahmie dan ini merupakan permulaan klimaks kepada cerita ini. Seterusnya, plot penceritaan ini bertambah menarik apabila saya sendiri tertanya-tanya apa yang akan berlaku apabila Jack cuba menyelamatakan Fahmie dari menjadi 'hamba' kepada isteri sendiri.

Di sini penulis cuba menonjolkan bahawa setiap insan di dunia ini mempunyai kelemahan yang tersendiri. Sebaik manapun ia diciptakan pasti ada kekurangannya tersendiri. Cantik diluar tidak semestinya cantik di dalam dan begitu jugalah sebaliknya. Begitulah yang terjadi kepada diri Ina yang mana luarannya tidak mencerminkan betapa busuknya dan hitamnya hati dia kerana telah mengambil kesempatan atas cinta sejati yang telah diberikan oleh Fahmie kepadanya.

Selain itu saya amat 'salute' akan penulis muda ini kerana gaya bahasa yang digunakan amat bersahaja dan mudah untuk difahami, namun perlu di ingatkan novel ini mungkin tidak sesuai untuk golongan yang masih bersekolah kerana gaya percakapannya agak kasar dan lepas. Sebagai contoh,penggunaan perkataan 'jantan' bagi menggantikan perkataan lelaki dan juga 'barua' yang memberi maksud suatu cacian atau makian. Di dalam novel ini juga dijelaskan bagaimana suatu hubungan cinta itu perlulah diakhiri dengan satu ikatan yang sah iaitu pernikahan di mana ia jelas digambarkan dalam watak Fahmie dan juga Ina yang ingin menyegerakan perkahwinan mereka agar perkara-perkara yang tidak elok dapat dielakkan.

Bagi diri ini yang dilahirkan sebagai seorang wanita yang bakal bergelar isteri dan ibu suatu hari nanti dengan izin-Nya, novel ini amatlah sesuai untuk dijadikan pedoman bagi menjadi seorang isteri yang solehah. Walaupun ayat yang digunakan agak kesat namun dalam masa yang sama juga novel ini amat baik kerana ia mengajar erti sebuah kehidupan yang perlu berlandaskan syariah Islam agar kita tidak terpesong dari agama dengan melakukan perbuatan syirik. Walau sejahat manapun insan yang bergelar ibu dan ayah itu terhadap kita, perasaan dendam itu tidak perlulah wujud di hati kerana ia akan memusnahkan diri kita kelak. Setiap umat Islam di dunia ini wajiblah percaya pada qada' dan qadar Illahi. Setiap apa yang berlaku itu pasti bersebab.

Pengakhiran novel ini bagi saya tidak mengecewakan kerana berlakunya kejadian yang amat tragis di mana akhirnya semua watak utama di dalam novel ini mati kecuali Su. Tetapi pengakhirannya agak mengelirukan kerana saya masih tertanya-tanya adakah Su memegang wasiat keluarga Ina ataupun tidak.
Pada hemat saya, mungkin novel ini mempunyai sambungannya pada masa akan datang dan kerana itulah penulis cuba membangkitkan persoalan dan tanda tanya kepada pembaca agar terus menjadi pembaca setia novel hasil karya Azwar Kamaruzaman. Bayangkan sahaja penulis yang berusia 20 tahun ini mampu berfikiran sejauh itu,pasti mengagumkan bukan?

Apapun saya berpuas hati dengan novel ini kerana ia mempunyai jalan cerita yang menarik yang berkaitan dengan kehidupan kita pada masa kini, menguji sejauh mana iman kita dan juga kepercayaan kita pada Tuhan yg satu.Akibat bertuhankan nafsu,dendam dan cinta,manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun mensyirikkan Tuhan demi memuaskan nafsu diri sendiri.


NUR FARAH NATASHA BINTI AHMAD TAMIZI
A12SC0100